April 26, 2024

Search
Close this search box.

MERSING, 19 Feb. – – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui dana pembangunan usahawan bumiputera (DPUB) telah menjalankan dua projek untuk membantu menaikkan taraf hidup bumiputera terutama dalam komuniti B40.

UTM telah berjaya memperoleh dana melalui dua projek iaitu penghasilan produk nenas bernilai tinggi melalui kaedah mesra alam dan program penternakan pintar udang kara air tawar (Cherax quadricarinatus) di Johor dan Perak dengan jumlah keseluruhannya RM3.4 juta.

DPUB merupakan inisiatif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dalam memperkasakan komuniti B40 Bumiputera dengan penggunaan teknologi, penyelesaian pemasaran dan jualan melalui usahasama akademia, pihak swasta dan kerajaan.

Inisiatif ini selari dengan Agenda Nasional Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (‘WKB2030”) untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli isi rumah berpendapatan rendah, meningkatkan ekonomi luar bandar dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Dr. Haji Abd. Latiff Bin Ahmad (tengah) menyerahkan replika cek kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM, Prof Dr Rosli Md Illias dalam Sesi Libat Urus dan Majlis Pelancaran serta Penyerahan Sijil Lantikan Program DPUB 2020 Zon Selatan bertempat di Far East Planet Exotic Agrofarm, Mersing semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman (tiga dari kanan)

Selain itu, objektif program ini juga menggalakkan keusahawanan dalam kalangan masyarakat luar bandar, meningkatkan produktiviti dalam masyarakat luar bandar dan untuk mengembangkan potensi pengembangan perniagaan.

Penghasilan Produk Nenas Bernilai Tinggi Melalui Kaedah Mesra Alam

UTM telah menghasilkan ANAQUIN, iaitu sebuah jenama produk penjagaan kulit wajah yang mempunyai banyak khasiat bagi merawat pelbagai jenis masalah kulit wajah.

Produk Nenas Bernilai Tinggi Melalui Kaedah Mesra Alam melalui kerjasama projek Teraju dan UTM ini diterajui oleh Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, UTM, Prof. Madya Dr. Liza Md Salleh.

Produk berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tersebut merupakan kerjasama pensyarah UTM, iaitu Prof Madya Dr Liza Md Salleh, Ts. Dr. Mariani Binti Abdul Hamid, Ts. Dr. Mariam Firdhaus Binti Mad Nordin dan Dr. Siti Pauliena Binti Mohd Bohari.

Pelancaran produk Annaquin dilancarkan oleh YB Datuk Dr. Haji Abd. Latiff Bin Ahmad

Program inovasi ini melibatkan 40 orang peserta bumiputera daripada komuniti B40 di luar bandar di mana sumber pendapatan harian mereka berpandukan kepada hasil jualan nenas.

Prof Madya Dr Liza Md Salleh (kiri) menerangkan tentang produk Annaquin kepada YB Datuk Dr. Haji Abd. Latiff Bin Ahmad semasa lawatan ke tapak pameran

Sumber pendapatan harian mereka sering terjejas berpunca daripada permintaan yang rendah bagi nenas di pasaran dan ketidakstabilan harga nenas oleh pihak peraih.

Dengan adanya program ini, para peserta dapat menjana pendapatan melalui tiga sumber iaitu penjualan nanas, penjualan produk berkualiti tinggi berasaskan nanas (produk ANAQUIN).

Selain itu, para peserta turut diberikan bimbingan dan latihan untuk meningkatkan tahap kemahiran dalam penjualan dan pemasaran produk.

Program Penternakan Pintar Udang Kara Air Tawar (Cherax quadricarinatus) di Johor Dan Perak.

Program Penternakan Pintar Udang Air Tawar pula merupakan sebuah lagi program UTM di bawah dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) oleh pihak TERAJU.

Program yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga UTM, Prof Madya Dr Anwar bin Johar telah membangunkan satu IP bagi struktur kolam penternakan udang kara mengunakan teknik aquaponik untuk skala kecil.

Prof Madya Dr Anwar bin Johari (berjaket hitam) menunjukkan kepada YB Datuk Dr. Haji Abd. Latiff salah seekor udang kara hasil projek beliau

Struktur ini akan dibangunkan di setiap lokasi peserta yang terlibat di mana projek tersebut akan bermula pada pertengahan Februari 2021 melibatkan seramai 36 orang peserta di sekitar Johor dan 6 orang peserta di Perak.

Sasaran utama projek ini adalah untuk meningkatkan taraf hidup Bumiputera terutama komuniti B40 di luar bandar dengan sekurang-kurangnya RM1200 hingga RM1500 sebulan melalui penjualan semula hasil tuaian udang kara yang matang melalui kaedah “buy-back program”.

Para peserta akan diajar kaedah penternakan dan pembiakan udang kara dengan jangka masa projek adalah untuk tempoh lima (5) tahun iaitu dua (2) tahun pelaksanaan dan tiga (3) tahun pemantauan.

Explore More