April 20, 2024

Search
Close this search box.

Artikel ini disediakan oleh Ar. IDr. Ts. Noraslinda binti Abdul Rahman dan  Sr Dr. Zuhaili bin Mohamad Ramly

Bersesuaian dengan aspirasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) ke arah memperkasa akademia, industri, kerajaan dan masyarakat melalui transformasi secara bersinergi, Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) telah mengadakan lawatan kerja ke negeri Perak selama dua hari.

Lawatan ini telah memanfaatkan peruntukan yang diterima melalui dana konsortium AIMS4STAR, disertai oleh 6 orang penyelidik dan pegawai daripada KALAM. Ia mendapat kerjasama yang erat dari pihak Tourism Perak, melalui Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Cik Normalis binti Musa serta pegawai Tourism Perak.

Delegasi Pusat KALAM bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Cik Normalis binti Musa di perkarangan Masjid Panglima Genta.

Agenda pada hari pertama dimulakan dengan mesyuarat bersama pihak Tourism Perak bagi menjalinkan kerjasama antara kedua-dua pihak. Deraf Memorandum Persefahaman (MoU) juga telah disediakan dan akan dimajukan untuk proses kelulusan.

Perbincangan turut memberikan fokus kepada perancangan Tourism Perak dalam usaha mempromosi produk pelancongan di negeri Perak yang dipecahkan kepada 6 kluster geografi utama produk pelancongan berfokus seperti ‘Heritage Trail’, ‘Mosque Trail’, dan ‘Bikers Trail’.

Program diteruskan dengan pameran dan perkongsian ilmu bersama komuniti Kampung Kuchai, yang merupakan sebuah penempatan asal orang Melayu di persisiran Sungai Kinta.

Program ini disokong dengan penglibatan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui perkongsian oleh En. Zulkefli bin Osman, Pegawai Perancang Bandar, MBI.

Melalui perkongsian tersebut, KALAM dan komuniti Kampung Kuchai telah mendapat manfaat dengan mengetahui perancangan pihak MBI di Kawasan Kampung Kuchai.

Perkongsian dan perbincangan pihak-pihak berkepentingan di Kawasan kampung Kuchai, Ipoh.

Ruang pameran yang disediakan di perkarangan Masjid Panglima Genta telah memaparkan hasil penyelidikan KALAM terhadap penempatan dan penghasilan Lukisan Terukur (Measured Drawing) bagi beberapa bangunan bersejarah di Kampung Kuchai.

Senarai projek Lukisan Terukur di Kampung Kuchai oleh kumpulan pelajar Sarjana Muda Senibina pada tahun 2017.

Hasil daripada maklumbalas pameran, KALAM akan membuat semakan semula terhadap pelan induk pembangunan kawasan Kampung Kuchai dan akan dibentangkan kepada pihak MBI, dengan sokongan Orang Besar Jajahan Kinta, YDH. Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Sri Amar Bangsa DiRaja Dato’ Ab. Wahab bin Dato’ Seri Azizul Hassan.

Delegasi Pusat KALAM bersama Orang Besar Jajahan Kinta (OBJ) di hadapan Galeri Panglima Kinta, Masjid Panglima Genta.

Hari kedua lawatan kerja diteruskan dengan lawatan ke tapak-tapak bersejarah yang menjadi produk pelancongan negeri Perak. Lawatan ini telah dikoordinasi oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) yang meliputi lawatan ke Istana Raja Bilah, Tanjung Tualang Tin Dredge (TT5) dan Kellies’ Castle.

Delegasi Pusat KALAM bersama pegawai unit korporat & Perhubungan Awam di Bangunan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG)
Delegasi Pusat KALAM bergambar di hadapan TT5
Delegasi Pusat KALAM bersama tim Tourism Perak di perkarangan Kellie’s Castle

KALAM merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak-pihak yang telah menjayakan lawatan kerja dan program-program yang telah dirancang secara langsung mahupun tidak langsung.

Tentang KALAM
KALAM merupakan sebuah Pusat Kecemerlangan (CoE) yang telah ditubuhkan pada tahun 1996. KALAM telah mendokumentasikan lebih daripada 600 bersejarah di Nusantara. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.utm.my/kalam/

Explore More