April 18, 2024

Search
Close this search box.

Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama UTM Alumni telah menganjurkan Program Wacana Hussein Onn (WHO) Siri 1: Santai Bersama Alumni pada 30 November lalu.

Wacana ini merupakan satu inisiatif JKM KTHO dalam usaha untuk memberi pendedahan kepada warganya untuk menjadi lebih kompetan dalam aspek pengurusan kendiri dan pengurusan masa sekali gus membentuk mahasiswa yang lebih berketrampilan, berkeyakinan dan berdaya saing.

Dua alumni UTM yang juga merupakan alumni KTHO telah dijemput sebagai panel dalam wacana ini, iaitu En. Norkhairilnizan bin Azimbazri (alumni UTM 1995-1998) dan En. Mohammed bin Mohd Hasni (alumni UTM 2003-2006).

Program yang dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi siaran langsung Facebook Live ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 150 orang warga KTHO.

Program ini dimulakan dengan pusingan pertama di mana kedua-dua panelis berkongsi mengenai pengalaman mereka memegang jawatan sebagai JKM semasa menjadi mahasiswa.

Dalam masa yang sama, barisan panelis sangat menekankan kepentingan pengurusan masa yang efektif agar prestasi akademik dan penglibatan dalam aktiviti kepimpinan kekal seimbang.

Pada pusingan kedua pula, barisan panelis menyentuh sedikit sebanyak mengenai cara untuk mengasah bakat kepimpinan norma baharu, di samping menjawab persoalan mengenai keperluan mahasiswa untuk menceburkan diri ke bidang politik dalam usaha untuk menggilap bakat kepimpinan.

Pada pusingan akhir, kedua-dua panelis mengutarakan pendapat masing-masing tentang sejauh manakah penglibatan kepimpinan di peringkat universiti membantu atau mempengaruhi seseorang dalam alam kerjaya, dalam masa yang sama menekankan kemahiran insaniah yang perlu dikuasai oleh mahasiswa untuk berjaya kelak.

Sebagai alumni yang telah menempuh onak duri dalam alam kerjaya, kedua-dua panelis sangat menekankan kepentingan penglibatan dalam aktiviti pembangunan pelajar kerana ia merupakan satu wadah terbaik untuk memperoleh pengalaman dalam aspek kepimpinan dan pembentukan karakter.

Input yang diperoleh daripada program ini secara tidak langsung dapat memberi inspirasi kepada warga KTHO untuk terus kekal aktif dan bersemangat melibatkan diri dalam bidang kepimpinan.

JKM KTHO berharap program wacana seperti ini akan terus dianjurkan pada masa akan datang dalam usaha untuk membentuk dan melahirkan mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan tanah air yang berketrampilan, kompeten dan berakhlak mulia.

Disediakan oleh Nurulain binti Azahar (JKM KTHO), Syamil Ayman bin Suhailan (JKM KTHO) dan Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Felow Penyunting KTHO)

Explore More