April 19, 2024

Search
Close this search box.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil bahagian dalam acara Minggu Pendidikan sempena Expo 2020 Dubai pada 13 hingga 17 Disember 2021.

Expo 2020 Dubai yang berlangsung selama 6 bulan dari bulan Oktober 2021 sehingga Mac 2022 ini merupakan sebuah ekspo ketiga terbesar di dunia dari segi skala penganjurannya selepas Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

Ia diadakan pada setiap 5 tahun sekali dengan penggiliran tuan rumahnya diadakan menerusi undian.

Dengan penyertaan dari hampir kesemua negara dari seluruh dunia, ia menyasarkan kehadiran peserta dan pelawat sehingga 25 juta orang sepanjang tempoh penganjurannya.

Berdasarkan data terkini, hampir 9 juta orang dari pelbagai negara telah menyertai Expo 2020 Dubai ini.

Delegasi UTM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Ts. Dr. Mohd Hamdan Haji Ahmad telah turut disertai oleh Pro-Naib Canselor (Antarabangsa), Profesor Madya Dr Mohd Ismid Md Said bersama staf UTM International yang mewakili pelbagai segmen pengantarabangsaan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dan program bersifat global yang telah dirancang bersama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di Dubai.

Penyertaan UTM mempunyai keterlihatan yang tinggi di mana kekuatan bidang akademik dan aspek penyelidikan telah ditonjolkan kepada para peserta ekspo yang terdiri daripada 190 buah negara.

Menerusi acara utama Pocket Talk – Discover UTM yang berlangsung di Pavilion Malaysia, pelbagai keistimewaan dan kecemerlangan UTM di dalam pelbagai bidang pengajian tinggi dan kerjasama penyelidikan telah diperlihatkan menerusi perkongsian daripada empat penceramah iaitu Profesor Ts. Dr. Mohd Hamdan Haji Ahmad, Profesor Madya Dr Mohd Ismid Md Said, Profesor Dr Nor Haniza Sarmin, Timbalan Pengarah (Global Strategy & Engagement) dan Profesor Madya Dr Mohd Ariffin Abu Hassan, Timbalan Pengarah (Global Education & Experience).

Acara ini turut dipaparkan secara langsung melalui pautan Facebook Live UTM International dan telah disaksikan oleh lebih 2500 penonton secara maya.

Beberapa liputan media perdana dalam talian telah secara tidak langsung memperkasa keterlihatan UTM di persada antarabangsa. Ini termasuklah liputan berita berkenaan sesi menandantangani perjanjian kerjasama di antara UTM dengan beberapa buah universiti dari luar negara antaranya Canadian Dubai University (CUD), UAE dan United Arab Emirates University (UAEU), UAE.

Sesi menandatangani MoU UTM dengan Canadian Dubai University (CUD) juga telah mendapat liputan di Gulfnews, sebuah media arus perdana yang berpangkalan di Dubai, UAE dan mempunyai edaran pembaca ke hampir semua negara-negara di timur tengah.

Selain itu, UTM telah mengadakan pertemuan rasmi bersama wakil daripada The Nigerian Institute of Transport Technology (NITT) di Double Tree by Hilton and Residence, Al Barsha Dubai.

Manakala sesi pertemuan dua hala dan perkongsian pengalaman UTM bersama United Arab Emirates University (UAEU), UAE di dalam pengurusan pengantarabangsaan dan ranking universiti telah dibentangkan di Pavilion UAEU yang bertempat di Expo 2020 Dubai.

UTM juga telah melaksanakan satu bengkel berkaitan pengurusan pejabat antarabangsa iaitu AIMS International Workshop For International Office 2021 (IWIO 2021) bertempat di Pavilion Malaysia, Expo 2020 Dubai.

Ia dianjurkan oleh UTM sebagai hos utama bersama dengan kerjasama Southeast Asian Ministers of Education Organisation Regional Centre for Higher Education and Development (SEAMEO RIHED), Education Malaysia Global Services (EMGS) bersama 10 universiti Malaysia lain yang juga merupakan ahli AIMS.

Dengan membincangkan pelbagai topik berkaitan pengajian tinggi di Malaysia, Asia dan UAE, pemerkasaan program mobiliti pelajar dan internationalisation@home, ia telah disertai sekitar 30 orang peserta secara fizikal di Dubai dan sebahagiannya juga mengikuti secara dalam talian.

Sepanjang tempoh penyertaan lima hari tersebut, UTM turut mengendalikan kiosk UTM di Pavilion Malaysia bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan Universiti terutamanya berkaitan akademik dan penyelidikan kepada para pelawat dan peserta dari seluruh dunia.

Delegasi UTM juga turut telah mengadakan lebih 100 sesi pertemuan dan engagement dengan pelbagai wakil universiti, institusi dari lebih 60 buah negara dari seluruh dunia dalam usaha meluaskan kerjasama dan kolaborasi antarabangsa UTM dalam pelbagai bidang.

Disediakan oleh:
Ahmad Hilman Borhan
Dr Norhayati Abdullah
Prof Dr Nor Haniza Sarmin

Explore More