April 19, 2024

Search
Close this search box.

Program Malam Aspirasi Kecemerlangan PEWIBAWA 2021 Raikan Mahasiswa yang Menyerlah


 
Pada 11 Disember 2021, Persatuan Mahasiswa Perancangan Bandar dan Wilayah (PEWIBAWA) UTM telah menganjurkan Program Malam Aspirasi Kecemerlangan PEWIBAWA 2021.

Program ini menjemput Pengarah Perancangan Bandar dan Wilayah UTM, Prof. Madya TPr Dr. Hairul Nizam Ismail.

Malam Aspirasi ini telah dijalankan secara dalam talian dan bersiaran langsung melalui laman Facebook rasmi PEWIBAWA UTM dari jam 8.00 hingga 10.00 malam.

Ianya dihadiri seramai 83 peserta dari kalangan mahasiswa dan 24 orang pensyarah Perancangan Bandar dan Wilayah.

Program yang berkonsepkan akademik dan kokurikulum ini merupakan agenda tahunan yang menjadi medium jabatan meraikan mahasiswa yang menunjukkan potensi dan kesungguhan dalam mencapai kecemerlangan diri.

Agenda ini bertujuan untuk memotivasikan setiap mahasiswa untuk mencontohi atau mengulangi kejayaan yang sama atau lebih baik pada tahun berikutnya.

Program ini juga penting dalam menggalakkan melahirkan mahasiswa yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam merealisasikan matlamat dan harapan jabatan Perancang Bandar dan Wilayah.

Terdapat beberapa anugerah yang disampaikan dalam Malam Aspirasi Kecemerlangan PEWIBAWA 2021 iaitu Anugerah Dekan, Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum, Anugerah  Program  Berimpak  Tinggi, Anugerah Graduan Cemerlang, dan terakhir Anugerah  Pengarah Perancangan Bandar dan Wilayah.

Setiap anugerah merupakan anugerah dipilih berdasarkan potensi setiap  ahli-ahli  PEWIBAWA yang menonjolkan diri mereka dari segi aspek akademik dan kokurikulum.

PEWIBAWA mengharapkan agar pelaksanaan program Malam Aspirasi Kecemerlangan PEWIBAWA 2021 ini menjadi pencetus semangat kepada semua mahasiswa dalam bidang perancangan bandar dan wilayah untuk mengekalkan dan mempertingkatkan prestasi bukan sahaja dari segi akademik malah kokurikulum.

Oleh itu, diharapkan Malam Aspirasi Kecemerlangan PEWIBAWA 2021 ini akan terus dilaksanakan pada tahun berikutnya untuk menjadi satu suntikan kepada mahasiswa Perancangan Bandar dan Wilayah.

Explore More