April 26, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar Pengurusan dan Keselamatan Makmal Teroka Alternatif untuk Jalankan Eksperimen Secara Dalam Talian Ketika Pandemik

Pada 18 November 2021, satu webinar bertajuk Classical Mechanics Experiment using smartphone sensors telah diadakan secara dalam talian.

Program ini dianjurkan oleh Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan Kerjasama Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia.

Webinar ini telah disertai oleh seramai 55 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Pengurusan dan Keselamatan Makmal Seksyen 1 dan 2.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk melahirkan seorang guru yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam menggunakan teknologi khususnya dalam menjalankan eksperimen secara maya.

Webinar ini telah disampaikan oleh seorang pakar Fizik dari Universitas Negeri Semarang, Indonesia iaitu Mr Prasetyo Listiaji. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Fizik Tulen dan merupakan pensyarah di Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA). 

Menurut Mr Prasetyo, dengan menggunakan aplikasi Phypox dalam telefon bimbit guru boleh menjalankan eksperimen Fizik secara maya bersama pelajar. Dalam webinar tersebut, Mr Prasetyo menegaskan walaupun tidak dapat bersemuka dengan pelajar di dalam makmal ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), guru masih boleh menjalankan pembelajaran secara aktif dan dua hala  melalui penggunaan aplikasi Phypox yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit sahaja.

Program webinar ini diketuai oleh Pengarah program iaitu Nuri Nazmi Bin Abu Bakar dari seksyen 1, dan Khairudin Helmy Bin Kamaruzaman dari seksyen 2 dan ahli jawatankuasanya yang terdiri dari beberapa pelajar dari kursus Pengurusan dan Keselamatan Makmal (SHPN 2052).

Selain webinar, program turut diserikan dengan sesi soal jawab antara pelajar dengan penceramah. Bagi menarik perhatian peserta mengikuti program ini dari awal hingga akhir, satu pertandingan telah diadakan diakhir program ini. Tiga peserta yang mendapat markah tertinggi diberikan hadiah misteri oleh pihak ahli jawatankuasa.

Dapat disimpulkan, webinar ini telah berjaya mendedahkan pelajar kepada Apps dalam telefon bimbit yang boleh digunakan untuk menjalankan eksperimen Fizik bagi tajuk Mekanik.

Justeru, tiada halangan kepada pelajar ketika pandemik Covid-19 berlaku. Pelajar masih boleh menjalankan ekperimen secara maya walaupun tidak dapat hadir ke sekolah dan bersemuka dengan guru secara fizikal. Akhir sekali, pihak jawatankuasa ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penceramah, penasihat, moderator, ahli jawatan kuasa dan juga para peserta yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan webinar ini.

Disediakan oleh: Marlina Ali, Khairudin Helmy Kamaruzaman dan Nuri Nazmi

Explore More