April 24, 2024

Search
Close this search box.

Mendepani Era Digitalisasi Media Penstriman Menerusi Program ‘Future Streamer: A Guide for Beginners’

JOHOR BAHRU, 31 Dis.- Penularan COVID-19 di seluruh dunia menjadi titik perubahan kepada metodologi penyampaian ilmu, daripada kaedah konvensional bersemuka secara fizikal kepada penggunaan aplikasi persidangan video atau penstriman langsung.

Oleh yang demikian, Biro Media dan Penerangan, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program ‘Future Streamer: A Guide for Beginners’, dengan objektif utamanya adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta dalam usaha untuk memperkasa kemahiran teknikal penggunaan platform media penstriman yang sesuai dijadikan sebagai wadah untuk menyampaikan sesuatu ilmu pengetahuan.

Program yang bermula pada jam 9 pagi dimulakan dengan ucapan pembukaan Dr. Mohd Farizal Bin Ahmad Kamaroddin, selaku Felow Penasihat Biro Media dan Penerangan JKM KTHO. 

Menerusi ucapan yang disampaikan, beliau berharap agar setiap peserta yang hadir mendapat ilmu yang disampaikan sekali gus dapat menerapkan kemahiran mengendalikan aplikasi media penstriman menerusi penganjuran program-program dalam talian. 

Program yang berlangsung selama hampir 3 jam ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran 90 orang peserta yang rata-ratanya merupakan warga KTHO. Antara intipati utama program adalah perkongsian teknikal pengendalian aplikasi media penstriman StreamYard dan OBS Studio yang efisien dan berkesan.

Program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Dr. Mohd Farizal Bin Ahmad Kamaroddin, Felow Penasihat Biro Media dan Penerangan JKM KTHO.

Program dimulakan dengan segmen penggunaan dan pengendalian media penstriman OBS Studio yang disampaikan oleh En. Muhamad Hasif Aiman Bin Januri, Pembantu Pelatih IP Minda Training & Consultancy.

Menerusi segmen ini, beliau berkongsi cara untuk merakam skrin, merakam melalui kamera web, dan merakam media yang terdapat dalam komputer. Selain itu, beliau juga menunjukkan pelbagai ciri OBS Studio seperti  menambah perkataan ataupun gambar di atas skrin bagi tujuan rakaman.

Di samping itu, cara untuk melaksanakan penstriman dengan menghubungkan media sosial seperti Facebook Live dan YouTube turut ditunjukkan. Malah, beliau turut memberi tips kepada peserta untuk memuat turun ‘Game Caster’ bagi memudahkan sesi penstriman langsung permainan tanpa perlu melalui langkah-langkah manual yang menyusahkan.

En. Muhamad Hasif begitu bersemangat membimbing para peserta untuk menggunakan OBS Studio.

Program diteruskan dengan segmen kedua, iaitu penggunaan dan pengendalian media penstriman StreamYard, yang disampaikan oleh En. Muhammad Irham Aidid Bin Sabri, yang mempunyai pengalaman menjadi ahli jawatankuasa teknikal Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2021, satu acara bertaraf antarabangsa. 

Melalui sesi perkongsian selama satu jam itu, beliau telah berkongsi cara memasukkan klip video, perkataan dan gambar  di dalam skrin semasa membuat penstriman secara langsung. Cara membuat bingkai skrin video dengan menggunakan Canva Pro turut ditunjukkan.

Menurut beliau, antara kelebihan StreamYard adalah ia boleh memainkan video pra-rakaman pada masa yang ditetapkan ataupun menetapkan jadual untuk video secara langsung. 

Di akhir segmen, beliau turut menerangkan cara penstriman secara langsung terus ke Facebook Live dan juga YouTube.

En. Muhammad Irham dengan penuh tekun mengajar cara asas menggunakan StreamYard dengan berkesan.
Sesi soal jawab diadakan supaya peserta dapat mengajukan soalan jika mereka ada sedikit keraguan mengenai aplikasi tersebut.
Sesi fotografi yang melibatkan barisan tenaga pengajar dan peserta program.

Pendedahan yang diberikan oleh kedua-dua tenaga pengajar diakhiri dengan sesi soal jawab yang interaktif. Biro Media dan Penerangan JKM KTHO berharap agar penganjuran program ini dapat memberi impak positif kepada mahasiswa terutama warga KTHO, dalam usaha untuk mempertingkat dan memperkasa kemahiran penggunaan media penstriman, agar ia memberi lebih keyakinan kepada mahasiswa dalam penganjuran aktiviti akademik dan aktiviti pembangunan pelajar yang rata-ratanya pada waktu ini dikendalikan secara dalam talian.

Disediakan oleh: Siti Nur Fatin Hakimah Binti Ibnuzaman (JKM KTHO), Choo Kai Jie (JKM KTHO) dan Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Felow Penyunting KTHO)

Explore More