April 23, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 9 Jan. — Dua pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga merupakan usahawan telah diumumkan sebagai pemenang SUPERB 2021 bernilai RM500,000.

Pensyarah tersebut ialah dari Sekolah Kejuruteraan Elektrik, UTM, Prof Ir Ts Dr Ahmad ‘Athif Bin Mohd Faudzi dengan projek beliau, INSPECTo : Duct Inspection And Cleaning Robot dan pensyarah dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Ts Dr Shaharil Mad Saad dengan projek beliau , Transformasi Sistem Pendidikan OKU Penglihatan Ke Arah Sistem Pendidikan Dalam Talian.

SUPERB merupakan program berasaskan ‘business pitching’ yang bermatlamat untuk memperkasa bakat dan kebolehan belia Bumiputera dalam keusahawanan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Menurut Prof ‘Athif, Inspecto ialah robot pembersih saluran yang bertujuan untuk memeriksa dan membersihkan sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) bangunan

“Kepentingan membersihkan saluran HVAC secara rutin sering diabaikan oleh pihak pengurusan bangunan dan orang ramai.

Saluran HVAC kotor akan memberi ancaman kepada manusia kerana penghasilan debu yang terkumpul ini akan memerangkap zarah-zarah bawaan udara yang berbahaya yang boleh menyebabkan penyakit “sick building syndrome,” kata beliau.

Menurut Prof ‘Athif, Inspecto ialah robot pelbagai fungsi yang mempunyai reka bentuk modular di mana ia dapat digunakan untuk tujuan inspeksi atau dipasang berus untuk tujuan pembersihan.

Inspecto direka dengan roda jenis trek yang kuat bagi memastikan geseran antara robot dan permukaan sentiasa konsisten. Papan antaramuka yang dibangunkan memudahkan kawalan robot dan proses merekod gambar dan video dari robot,” kata beliau.

Prof ‘Athif (dua dari kanan) bersama pasukan penyelidik beliau yang membangunkan Inspecto.

Sasaran utama bagi produk perkhidmatan ini ialah syarikat pengurusan fasiliti yang menjalankan penyelenggaraan bangunan di saluran udara.

Di Malaysia, dianggarkan terdapat sekitar 154 hospital kerajaan dan 250 hopital swasta, lebih dari 4800 hotel, dan bangunan-bangunan pejabat yang menggunakan sistem saluran udara dari air handling unit (AHU).

“Salah satu contoh syarikat yang telah terlibat sebagai pelanggan kami ialah Medivest sdn bhd, yang merupakan sebuah syarikat pengurusan fasiliti bersepadu yang menyediakan perkhidmatan dan penyelengaraan sokongan kepada hospital awam di kawasan selatan Semenanjung Malaysia.

Perkhidmatan kami telah digunakan bagi ujian lapangan inspeksi dan pembersihan di saluran pengudaraan hospital di bawah Medivest Sdn. Bhd. di Hospital Sultanah Aminah, Johor,  Hospital Permai, Johor dan Hospital Alor Gajah, Melaka,” kata beliau.

Projek Ts Dr Shaharil iaitu Transformasi Sistem Pendidikan OKU Penglihatan Ke Arah Sistem Pendidikan Dalam Talian

Mereka adalah antara 23 pemenang yang dipilih daripada 60 finalis berdasarkan potensi inovasi, pengkomersialan, daya tahan serta daya saing global dan setelah melalui beberapa proses saringan, latihan intensif ‘accelerator’ serta sesi ‘pitching’ bersama juri-juri terkemuka industri sejak September tahun lalu.

Pertandingan keusahawanan startup, SUPERB dianjurkan oleh TERAJU sejak 2014.

Explore More