April 19, 2024

Search
Close this search box.

Satu-satunya perkampungan rumah rakit yang menggunakan bekalan elektrik bolehbaharu solar di Malaysia.

JOHOR BAHRU, 28 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi turun padang dalam membantu komuniti dengan menjalankan projek pemasangan tenaga elektrik solar di Perkampungan Rumah Rakit Tanjung Surat, Johor bagi membekalkan tenaga elektrik berterusan kepada penduduk.

Selaras dengan inisiatif ‘Mensejahterakan Kehidupan’, projek yang diketuai oleh Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE) UTM bersama rakan kerjasama dari pelbagai institusi ini telah bersinergi mewujudkan sistem tenaga elektrik solar bagi kegunaan mereka.

Ketua Projek, Pensyarah Kanan SKE, Ts. Dr. Zulkarnain Bin Ahmad Noorden berkata projek ini membantu penduduk di 13 buah rumah yang sebelum ini tiada bekalan elektrik yang berterusan.

“Ada sebahagian penduduk hanya membuat pendawaian sendiri menggunakan bekalan elektrik dari darat yang terlalu jauh dan tanpa sistem perlindungan elektrik yang selamat.

Perkampungan ini juga telah menjadi satu-satunya perkampungan rumah rakit di Malaysia yang menggunakan bekalan elektrik bolehbaharu solar, ” kata beliau.

Rumah yang telah siap dipasang panel solar

Menurut beliau, projek ini merupakan salah satu program di bawah CSR bersama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) melalui program Sadaqa House.

“Ianya adalah projek CSR ketiga antara pihak BIMB dan UTM selepas kejayaan projek Eco-Balai Rawatan Solar PV di Kampung Orang Asli Pucur, Kluang, Johor pada tahun 2017 dan Projek Teknologi PV Solar Berpusat di Kampung Orang Asli Woh Intake Tapah, Perak pada tahun 2020.

Dengan tajaan sepenuhnya dari Sadaqa House Bank Islam dan inisiatif pemasangan oleh UTM dan rakan kerjasama, sistem tenaga elektrik solar yang dibekalkan ini membolehkan penduduk menggunakan bekalan elektrik berterusan yang selamat bagi beban lampu dan kipas di kesemua 13 rumah,” tambah beliau.

Secara umum, projek ini terdiri daripada tiga fasa.

Dalam fasa pertama, pemindahan ilmu berkaitan sistem tenaga elektrik solar kepada penduduk telah diadakan bagi memastikan penduduk mendapat pendedahan awal kaedah keberfungsian dan penyelenggaraan sistem yang akan dibekalkan tersebut.

Fasa kedua melibatkan aktiviti pendawaian elektrik bagi semua rumah termasuk pemasangan sistem perlindungan arus ulang-alik dan arus terus, kipas dan lampu yang dijalankan.

Penghad tenaga turut digunakan untuk mengawal penggunaan tenaga elektrik sehari bagi setiap rumah.

Ianya secara tidak langsung, akan menggalakkan budaya penjimatan tenaga elektrik di kalangan penduduk.

Dalam fasa ketiga iaitu fasa yang terakhir, pemasangan sistem tenaga elektrik solar yang lengkap, termasuk pemasangan panel solar, “inverter” dan bateri solar telah dijalankan.

Dr Zulkarnain (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed ( tengah ) dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Bin Hj Ahmad ( dua dari kanan ) menunjukkan salah sebuah rumah yang telah siap dipasang panel solar.

Antara rakan kerjasama dalam projek ini adalah dari Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas, Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang, Politeknik Port Dickson, Politeknik Ibrahim Sultan dan Kolej Komuniti Segamat 2.

Projek ini telah dirasmikan oleh Tuan Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Bank Islam Malaysia Berhad pada 28 Disember 2021 bertempat di Tanjung Surat dan turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Bin Hj Ahmad.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Pengarah-pengarah Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas dan Pasir Gudang, Pengarah-pengarah Politeknik Ibrahim Sultan dan Port Dickson dan Ketua Program Kolej Komuniti Segamat 2.

Explore More