April 25, 2024

Search
Close this search box.

MERSING, 28 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui penyelidik dari SekolahKejuruteraan Elektrik (SKE) telah mengadaptasikan teknologi solar bagi menggantikan penggunaan diesel kepada bot nelayan bagi tujuan kelestarian alam.

Projek yang dipanggil UTM Smart Eco-Photovoltaic Boat tersebut merupakan projek pembangunan sistem solar Photovoltaic (PV) pada bot nelayan dan telah dijalankan di Kampung Mersing Kanan, Mersing, Johor.

Pasukan dari Sekolah Kejuruteraan Elektrik, UTM semasa pemasangan panel solar ke bot nelayan

Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pembangunan sistem solar fotovoltaik (PV) pada bot nelayan ini ditaja oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM khusus kepada pemilik bot di Mersing.

Ketua projek, Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Elektrik UTM, Dr. Syed Norazizul bin Syed Nasir berkata objektif utama pembangunan sistem solar PV ini adalah untuk menggalakkan penggunaan solar PV pada bot nelayan sekaligus mewujudkan persekitaran yang lestari.

Perasmian projek ini disempurnakan oleh Pengarah LKIM Negeri Johor, Cik Suhaila binti Othman dan turut dihadiri oleh kumpulan penyelidik UTM dan komuniti nelayan di Mersing.

Dr. Syed Norazizul bin Syed Nasir (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Cik Suhaila binti Othman semasa sesi perasmian

Menurut Dr Azizul, penggunaan janakuasa diesel telah menjadi kebiasaan bagi bot nelayan untuk menghidupkan peralatan elektrikal seperti lampu, sonar, alat komunikasi dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, penggunaan janakuasa diesel mempunyai kesan sampingan negatif kepada alam sekitar selain kebergantungan kepada bahan api fosil, kata beliau.

“Oleh itu, adaptasi penggunaan tenaga solar PV yang didedahkan kepada komuniti nelayan dijangka akan memberi pilihan yang lebih mengutamakan alam sekitar kepada pemilik-pemilik bot nelayan sekaligus mengurangkan perbelanjaan belian diesel.

Program yang dijalankan oleh UTM merupakan insiatif khidmat masyarakat di bawah geran program pemindahan kepakaran kepada pemilik bot nelayan B40,”kata beliau.

Tambah beliau lagi, melalui program ini sebuah bot telah dipilih untuk diadaptasi sistem tenaga solar PV dan kerja-kerja pemasangan sistem solar PV telah siap dipasang pada April 2021 dan masih digunapakai sehingga kini.

“Bagi memudahkan pemilik bot megendalikan sistem solar PV ini, sebuah buku garis panduan penggunaan dan penyelenggaraan iaitu “Adaptasi Sistem Solar Fotovolta pada Bot Nelayan” telah dibangunkan oleh UTM.

Garis panduan ringkas ini diterbitkan hasil kajian penyelidikan terhadap sistem solar PV yang dibangunkan,”kata beliau.

Dengan adanya modul ringkas yang menggunakan ilustrasi yang mudah difahami dan dapat dijadikan rujukan oleh pemilik bot akan sistem solar PV dalam memastikan sistem sentiasa dalam keadaan baik.

Bot nelayan yang telah siap dipasang panel solar

Explore More