Tour UTMTechmission 2.0 Demi Satu Senyuman

Disediakan Oleh : Norfazliana Binti Jaafar

KUALA LUMPUR, 28 Disember –  UTMTechmission 2.0 melalui Program Ziarah Kasih telah menjelajah lebih dari 100km dibawah koordinasi UTM Fleet merentasi Lembah Klang bagi  memberi sumbangan kepada staf yang telah terkesan sewaktu banjir baru-baru ini.  

Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, selaku Pro Naib Canselor (UTMKL) berkata, “Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat”.  Begitulah warga UTM.  Kekuatan sokongan dan keakraban hubungan antara warga UTM  tidak pernah putus untuk berkongsi idea bagi membantu semua warga UTM yang terjejas, baik staf atau pelajar. 

Rentetan dari bencana banjir ini, seramai 51 orang staf dan 30 orang pelajar telah terkesan dan pihak UTM turut bersimpati dan bersedih dengan semua mangsa yang kehilangan banyak harta benda dan sangat memerlukan sumbangan dari pelbagai pihak.  

Untuk itu, UTM telah menerima sumbangan daripada Unit Endowment Universiti sebanyak RM10,000 dan RM5,000 daripada Pusat Islam UTMKL bagi membantu meringan beban mangsa-mangsa yang terlibat.

Sumbangan diberikan mengikut kategori berdasarkan tahap kerosakan yang dialami oleh mangsa.  Antara bentuk bantuan yang akan disampaikan adalah barangan keperluan harian seperti Food Basket serta wang tunai dalam jumlah tertentu yang akan digunakan untuk membeli barang mentah untuk dimasak.

Selain daripada itu, Pusat Kaunseling Universiti telah menawarkan khidmat tele-kaunseling kepada semua mangsa-mangsa bagi memastikan kestabilan emosi dan kesihatan mental semua mangsa berada didalam tahap yang sihat.  

Program Ziarah Kasih ini diketuai oleh Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur) dan disokong oleh ketua-ketua dari pelbagai jabatan bagi menzahirkan rasa simpati kepada staf mereka sewaktu lawatan berlangsung.

Seharian dijalanan tidak terasa penatnya melihat senyuman di raut wajah yang kepenatan menyambut kehadiran pasukan UTM hadir menziarah. Sesungguhnya, bukan sumbangan yang dinantikan, tapi hati dan kebersamaan yang dinilai.  Kerana Tuhan untuk Manusia. 

Penyerahan Sumbangan kepada En. Shaari Said, Pemandu UTM Fleet, di Hulu Langat