April 25, 2024

Search
Close this search box.

SHAH ALAM, 26 Dis. — Selaras dengan inisiatif UTM Prihatin, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjalankan misi kemanusiaan membantu mangsa banjir di Selangor yang terjejas termasuk orang awam, staf dan pelajarnya.

Bantuan yang dihulurkan oleh Universiti adalah berupa bantuan pembersihan, barangan keperluan asas serta wang tunai.

Pada 23 Disember, UTM telah melancarkan satu misi bantuan UTM Techmission 2.0 @ Lembah Klang berikutan situasi banjir luar jangka pada 19 Disember yang lalu.

Misi bantuan ini melibatkan 80 orang sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar UTM yang sihat tubuh badan serta telah disaring dengan ketat mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN bagi memastikan keselamatan kesemua sukarelawan dan komuniti setempat.

UTM Techmission 2.0 memfokuskan kepada kediaman 51 orang staf dan 30 pelajar UTM yang terkesan di beberapa kawasan iaitu Shah Alam, Puchong, Gombak, Sungai Buloh dan Hulu Langat serta kediaman orang awam di Puchong.

Pelbagai barangan keperluan asas seperti kelengkapan solat, pek kebersihan diri, selimut, waterjet dan pakaian dikumpul hasil sumbangan warga UTM untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Pasukan UTM Techmission 2.0 juga telah bekerjasama dengan pasukan sukarelawan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kerja-kerja pembersihan dan gotong-royong kawasan perumahan yang terjejas di Puchong.

Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turut meluangkan masa ke lokasi penduduk yang terjejas dan berkesempatan menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa yang terlibat.

Dalam satu lagi misi berasingan, sinergi antara UTM bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam melibatkan 76 orang pelajar dan 21 kakitangan turut menjalankan kerja-kerja membersih rumah-rumah mangsa banjir yang terjejas.

Bagi misi ini, pasukan sukarelawan memfokuskan kepada orang awam yang terkesan di Taman Sri Muda.

Sebanyak 12 buah rumah telah berjaya dibersihkan dengan memakan masa dalam tiga hingga lima jam bagi sebuah rumah.

UTM juga telah membuka Tabung Bantuan Mangsa Banjir bagi memberi peluang kepada orang ramai menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan.

Jumlah terkini yang terkumpul ialah kira-kira RM100,422 dari pelbagai sumber penderma termasuk staf, alumni UTM dan orang awam.

Besar harapan universiti untuk terus membantu dan meringankan beban mangsa-mangsa yang terkesan akibat daripada musibah ini. 

Semoga dengan bantuan ini dapat memberikan motivasi dan menguatkan lagi kecekalan dan semangat mangsa-mangsa dalam menghadapi dugaan.

Bagi urusan akademik pula, pihak pengurusan universiti telah bersetuju untuk menangguhkan sesi perkuliahan dan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mulai 26 hingga 31 Disember 2021.

Dengan penangguhan ini diharapkan dapat meringankan beban pelajar dan staf yang terkesan untuk memfokuskan kepada urusan pembersihan dan persediaan lain agar dapat pulih seperti sedia kala.

Universiti juga mengharapkan agar semua yang terkesan akan dipermudahkan urusan bagi peringkat pemulihan ini, diberi ketabahan untuk mengharungi ujian dan cabaran serta dilindungi daripada perkara-perkara yang memudharatkan.

Explore More