April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 12 Dis. – Hari kedua Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-64 di Dewan Sultan Iskandar (DSI), UTM Kampus Johor Bahru telah diserikan dengan kehadiran graduan-graduan Ijazah Sarjana yang rata-ratanya adalah individu berkerjaya.

Antara graduan yang diraikan adalah rakan sekelas bagi program Pesisir UTM di Perak iaitu Encik Mohamad Noor Arif bin Zakaria, Puan Nur Aifa Farihah binti Mad Nor, Encik Mohd Fadzilah bin Samsuri dan Puan Farahazliza Hazie binti Abu Hari dari Program Sarjana Kejuruteraan (Pengurusan Pembinaan), Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan.

Encik Arif, Pengurus Pelaburan, Perak Investment Management Centre dan Puan Aifa, Penolong Pengarah Kejuruteraan, Majlis Bandaraya Ipoh adalah merupakan pasangan graduan termuda dalam kelas mereka iaitu masing-masing berumur 29 tahun.

Pasangan ini akui sikap positif tenaga pengajar UTM amat mengharukan mereka terutamanya semasa pensyarah menyambut kejayaan mereka menamat pengajian ini.

“Sepatutnya kami yang menyediakan hadiah kepada pensyarah tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Baik betul pensyarah UTM ni”, ujar Encik Arif.

Pensyarah yang hadir mengajar kami sangat baik, terbuka, dan ikhlas. Keselesaan bersama dan umur yang tidak jauh beza membuatkan kami akrab”, tambah beliau.

Pasangan ini telah berkenalan sejak menjalani pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Petronas dan semangat mengejar ilmu mereka itu telah dibawa hingga ke hari ini dengan bukti kejayaan segenggam Ijazah Sarjana UTM.

“Pengalaman kerja dan ilmu pengajian perlu seimbang dalam memastikan perkhidmatan kerjaya yang kita sampaikan adalah berkualiti.

Oleh itu,  sebagai seorang yang bekerjaya, proses pembelajaran yang berstruktur serta sijil akreditasi dari sesebuah universiti yang bertauliah adalah penting untuk terus melangkah ke tahap yang seterusnya dengan cemerlang”, ujar Encik Arif.

Encik Mohamad Noor Arif bin Zakaria dan Puan Nur Aifa Farihah binti Mad Nor

Manakala bagi pasangan Encik Fadzilah, Pengurus Projek Pembinaan dan Puan Farahazliza, Arkitek Jabatan Kerja Raya Perak Darul Ridzuan pula telah berkongsi tentang cabaran mereka yang disulami dengan peluang baik sepanjang pengajian Ijazah Sarjana.

“Cabaran utama kami semasa dua tahun pengajian ini adalah mengusahakan kerjaya, pengajian dan keluarga dalam masa yang sama”, ujar Encik Fadzilah.

Dalam dua tahun pengajian mereka, pasangan hebat ini juga telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan diri dengan menyertai penilaian Professional Technologist dan kursus-kursus singkat yang lain untuk menyumbang nilai kepada kerjaya.

Pasangan ini telah berkenalan sejak di bangku sekolah dan merupakan anak kandung UTM yang setia menyambung pengajian mereka di gedung ilmu yang sama semenjak Diploma.

Dalam jadual harian yang padat dengan keperluan menghadiri kelas pesisir di Politeknik Ungku Omar, pasangan ini bijak mengambil peluang mengupah penjaga anak-anak mereka di kalangan pelajar-pelajar muda dari politeknik tersebut.

Dalam masa anak membesar dikelilingi warga berpendidikan tinggi. Encik Fadzilah dan Puan Farahazliza juga mendapat peluang membina hubungan baik dengan rakan sekelas persisir termasuk Encik Arif dan Puan Aifa yang mempunyai pelbagai latar belakang kerjaya yang hebat dalam bidang berkaitan pembinaan termasuk kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal, pensyarah dan lain-lain.

“Rakan sekelas yang masing-masing mempunyai latar belakang kerjaya yang berbeza telah membantu menjadi tempat rujukan dan rakan berbincang mengenai pelbagai perihal kerja.

Justeru, pengajian ini telah membuka peluang membina hubungan kerjasama antara pelbagai pakar bidang pembinaan”, kata Puan Farahazliza.

Encik Mohd Fadzilah bin Samsuri dan Puan Farahazliza Hazie binti Abu Hari

Program Pesisir UTM merupakan pasca siswazah yang ditawarkan secara off-campus atau luar kampus dan direka khas untuk pelajar yang telah bekerja dalam bidang profesional.

Program yang dikendalikan oleh Sekolah Pengajian Siswazah bersama Fakulti tersebut juga diubahsuai secara khas mengikut jadual pelajar seperti pada hujung minggu di pusat latihan syarikat atau pusat pengajian lain yang terpilih.

Explore More