Disember 9, 2024

Search
Close this search box.

Program “Oh My Tajwid” Memperkasa Pemantapan Tajwid Warga KTHO

Johor Bahru, 25 Nov. –  Biro Kerohanian Dan Sosial, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dengan kerjasama Majlis Felow Merbauan (MAFAN) telah menganjurkan program Halaqah KTHO Siri 2: OH MY TAJWID menerusi aplikasi persidangan dalam talian Google Meet.

Bertunjangkan aspirasi untuk memberi pendedahan yang meluas kepada warga KTHO dalam mendidik dan menyuntik pengetahuan tentang beberapa hukum bacaan tajwid yang terkandung dalam al-Quran, program ini telah mendapat penyertaan peserta seramai 60 orang yang terdiri daripada kalangan pelajar.

Program yang diserikan oleh kehadiran En. Mohd Fadhtul Ikmal Bin Misnal selaku penceramah jemputan yang juga merupakan Pembantu Felo KTHO UTM telah membuka tirainya pada jam 7.35 minit malam melalui perkongsian hukum hamzah wasal yang sering kali menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pembaca kerana sifat hurufnya yang tidak mempunyai sebarang baris.

Namun begitu, penjelasan yang terperinci oleh penceramah telah memberikan pencerahan kepada para peserta bahawa terdapat tiga cara membaca kalimah dengan hamzah wasal iaitu  dengan melihat pada huruf ketiga selepas hamzah wasal bagi menentukan baris bacaan bagi kalimah tersebut. Perkongsian seterusnya diikuti dengan penerangan hukum tajwid nun wasal.

Uniknya program perkongsian ilmu tajwid melalui halaqah ilmu siri kedua kali ini adalah bagaimana penceramah turut menyampaikan ilmu kepada para peserta tentang hukum-hukum tajwid yang jarang dijumpai di dalam Al-Quran contohnya, isymam, imalah, tashil, ibdal dan naqal. Hal ini, sekaligus dapat meningkatkan keyakinan dan mengembalikan semula ingatan para peserta tentang pengaplikasian bacaan tajwid yang betul  dan tepat ketika membacakan ayat-ayat suci Al-Quran setiap hari.

Sehubungan itu, diharapkan para peserta dapat memperoleh manfaat melalui perkongsian ilmu ini dan melihat program ini sebagai satu wadah untuk mereka menanam rasa ketenangan dan rasa minat yang tinggi untuk membaca Al- Quran yakni istiqamah untuk membaca dengan penuh rasa rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. supaya kita sama-sama dapat menjadikan Kalamullah ini sebagai dasar dalam kehidupan kita untuk menjadi seorang insan yang bertakwa kepada Allah dan memperoleh manfaat daripadanya.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W. maksudnya: “Bacalah Al-Quran, maka sesungguhnya dia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”.

Program dimulakan dengan perkongsian hukum tajwid huruf muqata’ah.
Antara perkongsian hukum tajwid yang jarang dijumpai di dalam Al-Quran.
Sesi bergambar para peserta yang telah turut serta mengimarahkan program Halaqah Ilmu Siri 2: Oh My Tajwid.

Disediakan oleh: Nurul Hazmira Hani Haznan (JKM KTHO) dan Mohd Fadthul Ikmal Misnal (felow penyunting KTHO)

Explore More