Mac 1, 2024

Search
Close this search box.

Pasukan UTM Juarai Pertandingan Simulasi Perniagaan Peringkat Kebangsaan 2021

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui pasukan lima pelajar bersama seorang pensyarah selaku Penasihat pasukan telah diumumkan sebagai juara pada Majlis Penutup Pertandingan Simulasi Perniagaan Institusi Pendidikan Tinggi Awam Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 pada hari ini bertempat di Sunway Hotel, Kuala Lumpur.

Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad telah menyampaikan hadiah kemenangan bernilai RM10,000 dan sebuah trofi kepada pasukan UTM yang diketuai oleh Syed Abdul Quddus Al-Khered Bin Syed Jamal Abdul Nasir sebagai CEO pasukan di bawah pimpinan Encik Kamaruzzaman Abdul Rahim, pensyarah dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) selaku penasihat.

Pasukan ini turut dianggotai oleh dua orang pelajar dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) iaitu Andi Nur Aqilah Binti A Karim dan Nur Atiqah binti Nuar serta dua orang pelajar dari Fakulti Kejuruteraan iaitu Nada Hesham Ahmed Elsherbeny dan Omar Khaled Elhossiny Mohamed Abdouelmagd.

Pertandingan Simulasi Perniagaan ini telah dianjurkan oleh Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia (UUM), melibatkan semua Universiti Awam dan Politeknik yang bermula pada bulan Mac 2021 hingga bulan Ogos 2021 secara dalam talian/ norma baharu.

Pada peringkat awal pertandingan ini, 5 orang pelajar yang mewakili setiap IPTA perlu menyediakan pelan perniagaan dan membuat pembentangan untuk dinilai dari aspek pembangunan perniagaan dan keusahawanan. Keseluruhannya, sebanyak 20 buah IPTA telah bertanding pada peringkat awal yang diadakan pada bulan April 2021.

Berdasarkan penilaian oleh pihak juri, 6 pasukan telah terpilih untuk menyertai peringkat akhir selama 10 hari yang bermula pada 26 Julai 2021 hingga 4 Ogos 2021.

Pada peringkat akhir ini, setiap pasukan perlu menjalankan simulasi perniagaan syarikat masing-masing bermula daripada proses penubuhan syarikat sehingga peringkat penjualan produk. Setiap pasukan juga perlu membuat dua pembentangan kepada pihak juri yang bertindak sebagai pemodal teroka (venture capitalist) dan sebagai pihak bank yang akan menentukan bantuan kewangan kepada setiap pasukan.

Pasukan UTM melalui syarikatnya Medici Sdn. Bhd., mempertaruhkan produk inovatif “Pillit” iaitu smart pill dispenser, produk pertama seumpamanya di Malaysia.

Dari kiri: Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain, Pengarah UTMXCITE, UTM iLeaGue; Encik Kamaruzzaman A. Rahim, Penasihat Pasukan, Pensyarah AHIBS; Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi; Andi Nur Aqilah A. Rahim, pelajar tahun 4 (Perakaunan) AHIBS; Nur Atiqah Nuar, pelajar Tahun 4 (Perakaunan) AHIBS; dan Nada Hesham Ahmed Elsherbeny, pelajar Tahun 3 (Kejuruteraan Bioperubatan) Fakulti Kejuruteraan.

Explore More