Pasangan Cekal Hadapi Dugaan Sepanjang Mengejar Segulung Sarjana

JOHOR BAHRU, 12 Dis – Majlis konvokesyen kebiasaanya disinonimkan dengan acara yang menggembirakan bagi semua graduan dalam meraikan kejayaan mereka meraih ijazah.

Namun, bagi sebuah pasangan graduan Ijazah Sarjana di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-64, kehadiran mereka di Dewan Sultan Iskandar, Kampus Johor Bahru, diiringi dengan perasaan yang bercampur baur kerana terkenangkan kisah pilu di sebalik segulung sarjana mereka.

Pasangan graduan tersebut adalah Encik Mohd Zulhair bin Mohd Ripin, graduan Ijazah Sarjana Sains (Keselamatan, kesihatan dan Alam Sekitar) dari sekolah kejuruteraan Kimia dan Tenaga dan Puan Syazila binti Rahman, graduan Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Industri) dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal.

Selain menguruskan keluarga, kerjaya dan pengajian dalam masa yang sama, pasangan cekal ini pernah diduga dengan kehilangan pekerjaan serta ibu dan bayi dalam kandungan semasa tempoh dua tahun pengajian sarjana mereka.

Syarikat Puan Syazila berkhidmat yang terpaksa ditutup telah menyebabkan beliau kehilangan pekerjaan dan perlu menukar projek tesis yang hampir selesai berkaitan syarikat tersebut. Berkat doa keluarga, Puan Syazila mendapat pekerjaan baharu yang berdekatan dengan rumah arwah ibunya di Pasir Gudang.

Arwah Ibu Puan Syazila yang sentiasa ingin bertemu anaknya merupakan insan yang paling gembira dengan perkhabaran pekerjaan tersebut. Perjumpaan terakhir Puan Syazila dengan arwah Ibunya sebelum meninggal adalah semasa perjalanan beliau menghantar tesis akhir pengajian.

Puan Syazila Rahman dan Encik Mohd Zulhair Mohd Ripin

“Saya sempat menyinggah ke rumah mak untuk menghantar makanan dan meminta beliau untuk mendoakan tesis saya berjaya. Mak juga kelihatan begitu teruja untuk hadir ke majlis konvokesyen saya bersama suami apabila bercakap tentangnya,” ujar Puan Syazila.

Menurut pasangan itu, beberapa hari sebelum peperiksaan, Puan Syazila juga pernah mengalami keguguran ketika kandungannya berusia tujuh minggu.

Berbekalkan sokongan moral daripada keluarga terutamanya suami iaitu Encik Zulhair yang banyak membantu menguruskan anak dan lain-lain, Puan Syazila berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya meskipun hampir berputus asa.

Lebih membahagiakan, pasangan ini bakal menimbang cahaya mata kedua awal tahun hadapan.

Encik Zulhair yang merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah di UTM juga telah berjaya mendapat biasiswa daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Rezeki-rezeki yang tidak disangka menjadi kenyataan ini telah mengubati hati pilu pasangan ini.

“Bertabahlah. Tidak kira macam mana sekali pun, kita perlu habiskan juga apa yang telah kita usahakan,” kata Puan Syazila.

Kita harus redha dengan ketentuan Allah SWT kerana selagi kita hidup, kita pasti akan diuji,” tambah beliau lagi.