April 26, 2024

Search
Close this search box.

PUTRAJAYA, 20 Dis – Mahasiswa tahun dua Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nadratul Huda Ahmad telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan dalam program Debat DiRaja Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021.

Pertandingan debat ala Parlimen Asia edisi ke-22 anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu telah disertai oleh 42 pasukan yang mewakili 23 IPT di Malaysia manakala kategori penyertaan pula dibahagikan kepada Bahasa Melayu dan Inggeris.

Pertandingan sengit yang dijalankan secara hibrid (fizikal dan dalam talian) ini adalah yang pertama selepas tidak dijalankan akibat pandemik COVID-19 pada tahun 2020 yang lalu.

Pertandingan Debat DiRaja Antara IPT kali ini menyaksikan pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara keseluruhan dan membawa pulang piala, wang tunai RM5,000.00, sijil penghargaan dan buku terbitan DBP.

Empat pasukan mara ke pusingan suku akhir dalam kedua-dua kategori bahasa Melayu dan Inggeris iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Turut mara bagi kategori Bahasa Melayu adalah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) manakala kategori Bahasa Inggeris pula menyaksikan Universiti Multimedia (UMM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mara ke peringkat seterusnya.

UPNM telah dipilih untuk menjadi tuan rumah buat kali pertamanya bagi edisi ke-22 pertandingan tahun 2021 selepas acara berprestij itu tiada pada tahun lalu ekoran kebimbangan penularan Covid-19.

Explore More