April 19, 2024

Search
Close this search box.

Pada 28 Oktober hingga 30 Oktober yang lalu, pihak Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan Program Pameran dan Perkongsian Ilmu Bangunan Warisan Kampung Kuchai Perak Bersama Komuniti, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pihak Berkepentingan.

Program ini ditaja oleh Dana Aim4star ‘Industry and Community Networking Program’ sebagai galakan dan insentif kepada penyelidik untuk memulakan jaringan kolaborasi bersama pihak industri, agensi kerajaan dan komuniti tempatan melalui ketua program Ar. IDr. Ts. Noraslinda Binti Abdul Rahman, Pengarah KALAM.

Barisan pakar dari UTM sebelum berangkat ke Ipoh, Perak

Pameran ini adalah kesinambungan daripada program Lukisan Terukur yang pernah dijalankan di Kampung Kuchai, Ipoh, Perak pada tahun 2017 oleh pelajar senibina bersama pihak KALAM.

Hasil kajian dikongsi bersama komuniti serta pihak berkepentingan berkaitan sejarah dan seni bina tempatan.

Program Pameran dan Perkongsian Ilmu dimulakan dengan perbincangan bersama pihak berkepentingan untuk melaksanakan kolaborasi penyelidikan pada masa akan datang. Galeri Panglima Kinta dihiasi dengan poster-poster serta model fizikal untuk tatapan pengunjung.

Sesi perbincangan terfokus juga dilaksanakan bagi membantu komuniti dalam menaikkan imej pelancongan sekaligus memelihara warisan melalui perkongsian kepakaran UTM.

Program ini mampu menjadi titik mula untuk menyelamatkan bangunan warisan yang sudahpun ditinggalkan, dirobohkan, malahan terdapat juga sebuah bangunan sekolah yang hampir musnah dalam kebakaran yang berlaku baru-baru ini.

Keadaan ini amat menyedihkan dan tidak seharusnya berlaku terhadap bangunan-bangunan warisan kita yang sudah tentu mempunyai nilai sejarah dan kesenian yang amat tinggi.

Tidak terhenti disitu, perbincangan juga terarah kepada perancangan masa hadapan bagi kawasan tersebut.

Antara pihak yang terlibat dalam menjayakan  program ini adalah Tourism Perak, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta Komuniti Masjid Panglima Kinta dan Masjid Paloh. UTM dibarisi oleh pakar-pakar penyelidik pelbagai bidang; Ar. IDr. Ts. Noraslinda binti Abdul Rahman (Senibina, Rekabentuk Dalaman, Perancangan Pelancongan), PM. Dr. Raja Nafida binti Raja Shahminan (Senibina Warisan), Sr. Dr. Zuhaili bin Mohamad Ramly (Ukur Bahan), Dr. Noor Aimran bin Samsudin (Perancangan Bandar dan Wilayah), TPr. Dr. Norhazliza binti Abd Halim (Perancangan Pelancongan), Dr. Muhamad Solehin Fitry bin Rosley (Senibina Landskap) serta pegawai-pegawai penyelidik KALAM.

Lawatan sekitar Kampung Kuchai bersama Tourism Perak dan Ahli jawatankuasa Masjid Panglima Kinta
Salah sebuah bangunan di Kampung Kuchai yang semakin rosak dan dimamah usia

Seterusnya, pada 30 Oktober 2021, pihak KALAM dan Tourism Perak telah meneruskan ekspedisi menjejaki bangunan-bangunan warisan bersama Majlis Daerah Batu Gajah, Perak. Barisan pakar UTM telah dibawa untuk melawat pelbagai tempat menarik termasuklah sebuah pekan kecil yang kian dimamah usia setelah ditinggalkan oleh waris terdahulu.

Pekan sepi yang dimaksudkan ialah Pekan Papan yang pernah menjadi kawasan pelombongan biji timah dan diketuai oleh seorang penghulu yang bernama Raja Billah. Ekspedisi warisan menjejak Istana Raja Billah yang masih tersegam indah di sebalik deretan rumah kedai yang kian usang.

Kemudiannya delegasi dibawa ke Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 (TT5) untuk melihat sendiri sebuah kapal perlombongan bijih timah yang sudah berusia 83 tahun dan seterusnya melawat sebuah bangunan yang sangat istimewa di negeri Perak iaitu Kellie’s Castle.

Lawatan sekitar Istana Raja Billah bersama Tourism Perak dan Majlis Daerah Batu Gajah
Lawatan ke Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 (TT5)
Deretan rumah kedai di Pekan Papan yang terbiar sepi
Sebuah surau lama yang terletak berdekatan dengan Istana Raja Billah di Pekan Papan

Program yang berlangsung selama tiga harini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada pihak KALAM apabila melihat sendiri warisan senibina yang sangat berharga ini tidak terjaga, dimamah usia dan semakin dilupakan.

KALAM berazam untuk membantu pelbagai pihak bagi memelihara dan memulihara bangunan-bangunan warisan negara.

Menyelamatkan warisan adalah tanggungjawab bersama, tekad inilah yang menjadi inspirasi kepada semua peserta. Melalui program ini, sebuah jalinan kolaborasi bersama pihak-pihak berkepentingan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Pihak KALAM juga ingin mengucapkan terima kasih semua kepada semua.

Barisan Pakar dari UTM bersama YDH. Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja Dato’ Ab. Wahab bin Dato’ Seri Azizul Hassan (lapan dari kiri) dan ahli Jawatankuasa Masjid Panglima Kinta.

Artikel ini disediakan oleh Sr Dr. Zuhaili bin Mohamad Ramly dan Ar. IDr. Ts. Noraslinda binti Abdul Rahman

Explore More