April 26, 2024

Search
Close this search box.

JKM Day 2021 Wadah Keluarga Merbauan Perkasa Pembangunan Mahasiswa

JOHOR BAHRU, 6 Nov. – Pelaksanaan program pembangunan pelajar di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) terus digiatkan dengan penganjuran JKM Day 2021, sebuah program yang menjadi platform bagi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dan kelab-kelab naungan KTHO untuk mempromosi Rakan Biro JKM, kelab-kelab dan aktiviti-aktiviti berimpak tinggi anjuran JKM KTHO bagi sesi 2021/2022.

Program tahunan anjuran JKM KTHO dengan kerjasama Majlis Felow Merbauan (MAFAN) ini dilaksanakan menerusi platform aplikasi persidangan video dalam talian Cisco Webex, turut diserikan dengan kehadiran Dr. Norahim bin Ibrahim, Pengetua KTHO dan barisan MAFAN.

Program pada kali ini juga dimeriahkan dengan penyertaan seramai 400 orang warga KTHO, sama ada yang berada di kampus atau kediaman masing-masing.

Program JKM DAY 2021: Perkongsian Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn sesi 2021/2022

Program dimulakan dengan ucapan daripada Pengerusi JKM KTHO sesi 2021/2022, saudara Ahmad Fawwaz Muzakkir bin Abd Patar. Dalam ucapannya, beliau menyeru warga KTHO untuk menyertai Rakan Biro serta kelab-kelab naungan KTHO demi menambah pengalaman daripada aspek kepimpinan dan penglibatan dalam aktiviti luar kuliah.

Sementara itu, pengarah program, saudara Syamil Ayman bin Suhailan memperkenalkan barisan JKM KTHO yang terdiri daripada Majlis Tertinggi, barisan Ketua Biro dan jawatankuasa biro-biro JKM.

Ucapan daripada Pengerusi JKM KTHO dan Pengetua KTHO

Program diteruskan dengan ucapan daripada Pengetua KTHO, Dr. Norahim bin Ibrahim.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar warga KTHO mengambil peluang dalam mengasah bakat kepimpinan dan menonjolkan diri menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pelaksana aktiviti-aktiviti pembangunan pelajar yang telah dirancang sepanjang sesi 2021/2022.  

Selepas memperkenalkan barisan Majlis Felow Merbauan (MAFAN), agenda program diteruskan dengan pembentangan daripada kelab-kelab naungan KTHO seperti Merbau Adventure and Recreation Club (MARC), Merbauan Volleyball Club (MVC), Kelab Siswa Aktif (KESIA) dan Kelab Hikmah.

Pembentangan daripada Kelab-Kelab naungan Kolej Tun Hussein Onn

JKM KTHO sesi 2021/2022 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga KTHO yang terlibat dalam menjayakan JKM Day 2021.

Sesungguhnya, program ini dilihat mampu menjadi wadah dalam usaha untuk memperkasakan lagi penglibatan warga KTHO dalam aktiviti-aktiviti pembangunan pelajar, sekali gus mencapai matlamat UTM sebagaimana yang telah digariskan dalam UTM enVision 2025 iaitu untuk melahirkan bakat holistik dengan membangunkan graduan berkualiti tinggi.

Sesi kuiz atas talian menerusi platform Kahoot!

Disediakan oleh: Keshvine Raguraman (JKM KTHO) & Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Felow Penyunting Penerbitan, KTHO)

Explore More