April 19, 2024

Search
Close this search box.

Genggam Ijazah Pada Usia 50 Tahun, Graduan Semangat Untuk Terus Sambung Belajar

Faktor usia bukanlah penghalang bagi David Gungkak untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Geomatik) pada usia 50 tahun pada Majlis Konvokesyen ke-64 Universiti Teknologi Malaysia.

David yang merupakan Lulusan Diploma Ukur Bahan dari UTM tahun 1992 akhirnya berjaya untuk menyambung pengajiannya pada 2015 setelah lebih 20 tahun menunggu peluang ini.

“Saya pernah menerima tawaran dari UTMSPACE untuk sambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda sebanyak tiga kali sebelum ini tetapi terpaksa menolaknya.

“Kali pertama saya teima tawaran pada 2015 namun terpaksa menolaknya kerana pada ketika itu saya masih belum bekerja.

Kemudian saya terima tawaran pada 2003 dan sekali lagi 2005 tetapi komitmen pada kerja dan faktor jarak dari Sabah dan Kuala Lumpur yang jauh menjadi kekangan untuk saya menerimanya pada ketika itu.

Namun atas dorongan dan semangat yang diberi oleh isteri dan anak-anak membuatkan saya menerima tawaran untuk menyambung pengajian pada tahun 2015,” katanya.

Terpaksa berulang-alik antara Sabah dan Kuala Lumpur setiap hujung minggu untuk menghadiri kelas pengajian pada usia 50 tahun bukanlah sesuatu yang mudah.

Tetapi semangat yang kuat untuk menghabiskan pengajian dan sokongan keluarga menjadi kunci kepada kejayaannya pada hari ini.

Menurut beliau, pengalamannya sepanjang perjalanan mendapatkan Ijazah Sarjana Muda ini telah membangkitkan minat beliau untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya pada masa depan.

“Wujud perasaan seronok dan gembira apabila setelah lebih 20 tahun akhirnya saya dapat kembali ke bilik kuliah untuk belajar, membaca buku, membuat tugasan dan sebagainya.

Perasaan ini membuatkan saya ingin menyambung lagi pengajian saya ke peringkat seterusnya lebih lebih lagi apabila pengajian UTMSPACE kini sudah ada di Sabah.

“Selain dapat membaiki kualiti hidup, ini juga dapat menjadi contoh dan pembakar semangat kepada tiga orang anak saya untuk terus belajar kelak,  katanya lagi.

Majlis konvokesyennya ini menjadi antara kenangan yang indah bagi David kerana dapat hadir dan merasai suasana konvokesyen walaupun dengan SOP yang ketat.

Ia sedikit sebanyak mengubat ralat di hati beliau yang tidak dapat hadir ke majlis konvokesyen peringkat diplomanya pada 1992 disebabkan kekangan dari segi kewangan dan jarak yang jauh.

Tahniah diucapkan!

Explore More