CEE UTM Anjur Persidangan Serantau Pendidikan Kejuruteraan dan Penyelidikan dalam Pendidikan Tinggi 2021 Perkasa Graduan Kejuruteraan

JOHOR BAHRU, 2 Dis. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Pendidikan Kejuruteraan (CEE) dan Persatuan Pendidikan Kejuruteraan Malaysia (SEEM) telah menganjurkan Persidangan Serantau ke-9 Pendidikan Kejuruteraan dan Penyelidikan dalam Pendidikan Tinggi 2021 (RCEE & RHEd 2021).

Bertemakan “Mencarta Masa Depan Pendidikan Kejuruteraan”, program yang dijalankan dari 29 November hingga 2 Disember tersebut merupakan platform terbaik bagi menyatukan para pendidik kejuruteraan untuk membincangkan cabaran masa depan berkaitan dengan pendidikan kejuruteraan.

RCEE & RHEd 2021 dihadiri oleh lebih 200 peserta terdiri daripada pemimpin, penyelidik, dan pengamal pendidikan kejuruteraan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Afghanistan dan UAE secara dalam talian.

Ia juga dijalankan untuk mengenal pasti dan menyediakan pendedahan tentang dasar dan amalan terbaik berkaitan pendidikan kejuruteraan kepada pihak berkepentingan.

Persidangan ini mengumpulkan 33 pakar pendidikan kejuruteraan dari seluruh dunia untuk membuat pembentangan dan perbincangan dalam forum plenari, sesi khas, bengkel, bengkel pra dan pasca tentang kaedah dan amalan terbaik pendidikan kejuruteraan sepanjang persidangan ini berlangsung.

Dua penceramah ucap utama tersohor dijemput untuk pembentangan secara langsung iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Akreditasi Kejuruteraan dan Teknologi (ABET), yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Dr. Michael Milligan, dan Pengarah Urusan Kumpulan, Dagang NeXchange Bhd (DNeX), Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Penyampaian ucap tama daripada Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

Pengarah CEE UTM, Dr. Zaki Yamani Zakaria berkata kemajuan dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan serta kualiti pendidikan kejuruteraan adalah antara aspek yang menjadi teras kepada pembangunan sesebuah negara pada masa kini.

“Cabaran abad ke-21 menuntut perubahan drastik dalam semua aspek kehidupan untuk Malaysia terus berdaya saing dan makmur.

Untuk berubah dan maju, kerjasama sinergi dengan rakan strategik daripada kerajaan, industri dan akademia, dari dalam dan luar negara adalah perlu untuk melahirkan masyarakat ekonomi berpengetahuan yang inovatif,” kata beliau.

Pengarah CEE UTM, Dr. Zaki Yamani Zakaria sedang mempengerusikan sesi ucap tama bersama Dr. Michael Milligan

Menurut beliau, RCEE & RHEd 2021 adalah platform bagi pelbagai pihak untuk membentuk kerjasama bagi membuahkan hasil jangka panjang dalam konteks pembangunan kualiti graduan dalam bidang kejuruteraan.

“Ini sangat berketepatan pada masa kini kerana RCEE & RHEd 2021 mampu memberi inspirasi kepada para peserta untuk menjadi pemangkin dalam membentuk masa depan pendidikan kejuruteraan, dan membentuk komuniti yang mampan dalam pendidikan kejuruteraan dengan program dan aktiviti yang sistematik.

Persidangan ini diharapkan akan memberikan impak yang amat diperlukan untuk pendidik kejuruteraan yang mengambil bahagian untuk berkembang dan matang sebagai pendidik yang berkesan dan penyelidik prolifik, sekali gus memberi manfaat kepada negara dengan graduan jurutera berkualiti tinggi dan bersedia berkhidmat untuk negara,” akhiri beliau.

Dr. Zaki Yamani Zakaria

Pengarah Pusat Pendidikan Kejuruteraan

Universiti Teknologi Malaysia

Date    : 2 Disember 2021