April 25, 2024

Search
Close this search box.

Zakat Perniagaan: Kaunter Zakat UTM Terima RM100 Ribu Dari UTMHoldings

Satu majlis penyerahan mock cheque Zakat Perniagaan oleh UTM Holdings kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berlangsung pada 25 November 2021 di hadapan Kaunter Kutipan Zakat UTM-PPZ MAIWP.

Majlis yang ringkas tapi amat bermakna itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTM Holdings, Tan Sri Ramli Kushairi yang menyampaikan mock cheque dengan jumlah RM100 ribu untuk bayaran zakat perniagaan UTM Holdings, kepada  Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti, Tan Sri Azman Mokhtar yang mewakili UTM.

Majlis ini berlangsung sempena lawatan rasmi pertama Tan Sri Azman Mokhtar ke UTM Kampus Kuala Lumpur.

Penyerahan tersebut disaksikan oleh Pro-Naib Canselor Kampus UTM KL, Prof. Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh dan CEO UTM Holding, En Ahmad Kamil bin Ahmad Kushairi.

Turut hadir Ketua Pentadbiran UTMKL, Ybrs. Haji Najib bin Masroom dan Timbalan Pengarah Pusat Islam UTMKL, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Dalam ucapan alu-aluan sebelum itu, Muhammad Fathi menjelaskan bahawa pihak Pusat Islam UTMKL dan Kaunter Kutipan Zakat UTM-PPZ MAIWP amat mengalu-alukan mana-mana syarikat hiliran UTM atau syarikat milik alumni UTM untuk menunaikan kewajipan zakat perniagaan melalui Kaunter Kutipan Zakat UTM-PPZ MAIWP.

Pembayar zakat perniagaan mempunyai peluang untuk mendapat perkembalian sebanyak 25-50% melalui sistem wakalah MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf.

Tawaran ini juga terbuka kepada pembayar zakat individu yang memenuhi bayaran syarat yang ditetapkan.

Menurut Muhammad Fathi, Pusat Islam UTMKL  bersedia menyediakan khidmat pembudahcara bagi urusan pembayaran zakat dan permohonan perkembalian melalui sistem wakalah. Selain itu pihak yang memohon perkembalian dipelawa untuk mengadakan kerjasama dengan Pusat Islam UTMKL bagi melaksanakan program bantuan kepada asnaf atau program kemasyarakatan untuk membela nasib golongan terpinggir dan kurang bernasib baik.

Di samping itu, selain daripada kaunter tetap di Masjid UTMKL, pihak Kaunter Kutipan Zakat UTM-PPZ MAIWP juga membuka kaunter perkhidmatan zakat di UTM Residensi yang bermula 22 November hingga 31 Disember 2021, bagi memudahkan pembayar zakat menyempurnakan kewajipan berzakat untuk tahun 2021.  Sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan Kaunter Kutipan Zakat UTM-PPZ MAIWP boleh dikemukakan kepada En Nashry (011-13068115), atau Cik Shazwani (010-7027959).

Explore More