April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 27 Nov. — Universiti Teknologi Malaysia sekali lagi menyumbang kepakaran dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19, kali ini melalui Pembangunan Peranti Mudah Alih Saringan dan Pemantauan COVID-19 (iBreath) oleh pasukan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK), Fakulti Kejuruteraan.

Projek tersebut mendapat peruntukan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui dana Strategic Research Fund (SRF) sebanyak RM 1.05 juta.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, iBreath merupakan satu prototaip yang boleh membantu dalam usaha mencegah dan mengawal penularan Covid-19 dengan kepantasan keputusan hanya dalam tempoh 20 saat.

Katanya, ia merupakan satu kejayaan baharu dalam kaedah ujian Covid-19 selain kaedah Polymerase Chain Reaction (PCR) atau ujian pantas (RTK) antigen yang digunakan pada masa ini.

“Kelebihan iBreath adalah alat yang dibangunkan dengan teknologi termaju dan ia akan digunakan di tempat yang penting untuk mendapat keputusan pantas sehingga 20 saat bagi mengesan kehadiran Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mendengar penerangan tentang iBreath oleh kumpulan penyelidik UTM

Menurut kajian klinikal Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sensitiviti peranti iBreath sehingga 93 peratus dengan hanya perlu bernafas menggunakan peranti mudah alih itu untuk menjana keputusan dalam masa singkat. Kita jangkakan iBreath dapat dipasarkan tahun depan,” katanya.

Melalui iBreath, pesakit COVID-19 hanya perlu bernafas menggunakan peranti mudah alih iBREATH yang akan memudahkan proses saringan pesakit COVID-19 dengan menghasilkan keputusan saringan yang pantas iaitu dalam tempoh 20 saat.

Dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19, langkah pencegahan dan pengawalan COVID-19 boleh dilaksanakan dengan menempatkan peranti mudah alih iBREATH di laluan masuk premis awam dan persendirian bersama-sama alat pengimbas suhu.

Menurut Ketua Projek, Prof Madya Ir Dr Malarvili A/P Bala Krishnan, inovasi sinergi bersama kumpulan penyelidik Pemprosesan Biosignal (BSP-RG) UTM, kumpulan penyelidik Hospital Pulau Pinang yang diketuai oleh Dr. Teo Aik Howe dan Pusat Perubatan Universiti Malaya, PPUM yang diketuai oleh Dr. Anhar Kamaruddin telah membuka pintu untuk potensi penggunaan mod baharu penilaian dan pemantauan pernafasan ini.

Ketua Projek, Prof Madya Ir Dr Malarvili A/P Bala Krishnan (kanan) menerangkan tentang iBreath kepada Menteri Kesihatan

“iBreath mengukur parameter daripada hembusan nafas , melalui nasal cannula yang hanya memerlukan usaha dan tindakan pengguna yang minimal untuk menilai dan memantau fungsi pernafasan secara berterusan.

Ia dilengkapi dengan skrin yang memaparkan ciri pernafasan yang telah disepadukan dengan IoT. Kemudahan ini membolehkan pengguna atau pakar perubatan memantau keadaan pengguna melalui telefon pintar bagi mengelakkan sentuhan fizikal.

Peranti ini adalah mudah alih, ringan dan mudah digunakan di rumah dan di mana-mana pusat penjagaan kesihatan. Ia dilengkapi dengan storan data kad USB/SD yang dikuasakan oleh bateri yang boleh dicas semula,” kata beliau.

Menurut beliau, iBreath telah diuji untuk membezakan keadaan pernafasan seperti asma, SARS dan COVID-19 kategori 1-3.

“Tahap penyakit pernafasan dipantau menggunakan peranti ini memiliki tiga sifat penting iaitu – mudah alih, tidak invasif dan integrasi dengan aplikasi mudah alih. Oleh itu, reka bentuk ini mematuhi kriteria dan selaras dengan Revolusi Industri 4.0 Malaysia (IR4.0),” kata beliau.

iBreath merupakan usaha bersama dengan syarikat tempatan, Infinecs Systems Sdn Bhd dan telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Ia telah dianugerahkan pingat Emas, Anugerah Khas dan Anugerah Inovasi Terkemuka pada Pertandingan Inovasi Reka Cipta Antarabangsa Ke-6 di Kanada, (iCAN 2021) yang dianjurkan oleh Persatuan Inovasi & Kemahiran Lanjutan Antarabangsa Toronto ( TISIAS).

Explore More