April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 26 Okt. – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) sesi 2021/2022 dengan kerjasama Majlis Felow Merbauan (MAFAN) telah menganjurkan program Santai Bersama Pengetua KTHO: Perkongsian Pengalaman Melanjutkan Pengajian di Jepun.

Program yang bermula pada jam 8:30 malam ini dijalakan secara langsung menerusi platform aplikasi dalam talian Cisco Webex.

Program Santai Bersama Pengetua KTHO: Perkongsian Pengalaman Melanjutkan Pengajian di Jepun dijayakan oleh Dr. Norahim bin Ibrahim

Seramai 300 orang pelajar telah menyertai program perkongsian yang disempurnakan oleh Pengetua KTHO, Dr. Norahim bin Ibrahim. Dalam sesi perkongsian ini, Dr. Norahim berkongsi pengalaman beliau ketika melanjutkan pengajian di negara Jepun sekali gus memberi pendedahan dengan lebih mendalam mengenai budaya dan suasana di negara Jepun kepada para pelajar.

Program ini secara tidak langsung memberi peluang kepada para pelajar untuk mempelajari beberapa asas Bahasa Jepun seperti sistem tulisan Kanji, Hiragana dan Katakana. Program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti kuiz atas talian menerusi platfrom Kahoot.

Pelbagai soalan menarik telah disediakan oleh pihak jawatankuasa program bagi menguji kefahaman dan tumpuan para pelajar sepanjang sesi perkongsian berlangsung.

Peserta mendapat peluang belajar asas Bahasa Jepun bersama Pengetua KTHO

Selain itu, program ini merupakan wadah untuk mengeratkan hubungan antara warga KTHO bersama Dr. Norahim. Program perkongsian ini membolehkan para pelajar terutamanya dalam kalangan penghuni KTHO mengambil kesempatan untuk berinteraksi dengan lebih dekat sambil mengetahui dengan lebih lanjut mengenai latar belakang beliau.

Pada akhir sesi ini, Dr. Norahim sempat menyampaikan pesanan dan motivasi kepada para pelajar untuk terus gigih menuntut ilmu walaupun dalam keadaan norma baharu yang memaksa pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian.

Perkongsian ini diharapkan menjadi medan bagi warga KTHO untuk mencontohi budaya dan nilai positif daripada masyarakat Jepun untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian dalam usaha untuk menjadi mahasiswa dan mahasiswi yang unggul.

Program dimeriahkan dengan sesi aktiviti kuiz atas talian melalui platform Kahoot

Disediakan oleh: Muhammad Hakim Mohd Zain dan Mohd Fadthul Ikmal Misnal (felow penyunting KTHO)

Explore More