April 27, 2024

Search
Close this search box.

Pembangunan digital menyaksikan kemahiran penggunaan Microsoft Office terutamanya seperti Word, Excel, dan Powerpoint sebagai satu aset yang sangat bernilai yang bukan sahaja membantu mahasiswa/i merangka dokumen mereka seperti thesis dan laporan kerja dalam keadaan yang kemas dan professional, malah meningkatkan kebolehpasaran mereka untuk bekerja.

Graduan dijangka untuk mempunyai pengetahuan asas tentang penggunaan Microsoft Office dan graduan yang mempunyai pemahaman lanjut mengenai penggunaannya, dilihat sebagai aset penting oleh syarikat dan akan dibayar dengan lebih lumayan.

Oleh sebab itu, graduan yang mempunyai pengetahuan yang kukuh dan pemahaman yang utuh tentang Microsoft Office, adalah merupakan calon yang mampu berdaya saing dalam industri pekerjaan yang kian sengit terutamanya pasca Covid-19.

Program Microsoft Word Workshop ini dilihat dapat membantu mahasiswa/i dari pelbagai jenis latar belakang, sama ada mereka ingin meningkatkan kemahiran Microsoft Word untuk bekerja dalam syarikat, secara freelancing, atau apa sahaja urusan yang memerlukan penggunaannya.

Microsoft Word Workshop merupakan bengkel yang dianjurkan oleh Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI) sesi 2021/2022 yang berteraskan pendidikan dan pembangunan kemahiran bertujuan meningkatkan kemahiran dan pemahaman peserta mengenai penggunaan Microsoft Word. Sesi perkongsian ini telah disampaikan oleh saudara Fakhrullah Samerin yang merupakan thesis formatting freelancer.

Beliau seorang yang berkemahiran dalam penggunaan Microsoft Word dan telah beberapa kali dijemput oleh institusi pengajian tinggi antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menyampaikan ilmu beliau kepada mahasiswa/i insititusi pengajian mereka. Selain mengikuti jemputan program, beliau juga aktif di pelbagai platform sosial media terutamanya di platform Twitter.

Bertindak sebagai moderator adalah saudari Insyirah Binti Ash’ari. Saudari merupakan pelajar tahun 2 jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia) dengan Pendidikan dengan Kepujian. Selain itu, saudari turut memegang jawatan sebagai Exco Multimedia Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI).

Kata-kata aluan permulaan program disampaikan oleh saudari Insyirah

Perkongsian ini telah mengambil masa selama 3 jam, bermula dari pukul 2 petang sehingga 5 petang secara dalam talian menerusi platform Google Meet, yang juga disiarkan secara langsung di Facebook persatuan SEJATI.

Sepanjang sesi berlangsung, saudara Fakhrullah telah menyentuh pelbagai intipati mengenai Microsoft Word antaranya Microsoft 365, formatting table of content dan page formatting. Beliau juga banyak berkongsi tips dan teknik penggunaan alat-alat dalam Microsoft Word yang tidak diketahui peserta.

Saudara Fakhrullah menerangkan tentang formatting gambar

Pelbagai topik telah disentuh sepanjang sesi berlangsung, dan saudara Fakhrullah dilihat mesra berinteraksi dengan para peserta. Beliau tidak keberatan untuk menjawab sebarang persoalan yang diajukan dan lebih cenderung untuk para peserta bertanya bagi membantu mereka memperoleh pemahaman yang sempurna mengenai topik-topik yang dibincangkan.

Di akhir program, para peserta lebih mengetahui penggunaan Microsoft Word dengan lebih jelas dan pelbagai respon positif turut diterima. Seharusnya, bengkel seperti ini sentiasa perlu diadakan bagi membantu golongan mahasiswa/i dalam usaha mereka merangka dokumen dengan lebih baik dan mengikuti format yang tepat. Bukan itu saja, kemahiran penggunaan Microsoft Word ini juga mampu memberikan nilai tambahan kepada graduan selepas tamat pengajian mereka.

Respon positif yang diterima oleh para peserta di ruangan komen

Program ini secara kasarnya tamat pada pukul 5 petang dengan kiasan pantun oleh saudari Insyirah dan sesi bergambar. Panel jemputan, saudara Fakhrullah Samerin, turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua para peserta dan pihak penganjur.

Explore More