April 18, 2024

Search
Close this search box.

Di bawah inisiatif #KPTPRIHATIN, Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT ) telah menjalankan Program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa KPT Prihatin @ Parit Sulong.

Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah meluangkan masa menyantuni 16 orang pelajar yang telah menerima surat tawaran melanjutkan pengajian universiti masing-masing serta Bantuan Pelan Data bernilai RM200 oleh KPT.

Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyerahkan surat tawaran melanjutkan pengajian ke UTM kepada pelajar

Universiti Teknologi Malaysia ( UTM ) turut menyokong dengan menawarkan bantuan laptop @ peranti kepada tiga bakal pelajar iaitu Nadia Asyiqin binti Mazlan, Ahmad Akhmal bin A.H Ahmad Daud dan Muhammad Syakirin bin Ali.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail berkata UTM sangat menghargai inisiatif KPT tersebut dan turut mengalu-alukan kedatangan semua pelajar baharu ke UTM.

“Sebagai warga baharu ‘Citizens of UTM’, keperluan setiap pelajar amat dititikberatkan dan bantuan seperti ini adalah antara yang disediakan oleh Universiti selain Biasiswa Endowmen dan Zakat kepada pelajar yang memerlukan.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail ( kanan) setelah sesi penyerahan sumbangan UTM

Universiti berharap dengan bantuan daripada KPT serta UTM ini akan sedikit sebanyak membantu pelajar dalam melakukan persiapan menyambut pengajian nanti,” kata beliau.

Salah seorang pelajar, Ahmad Akhmal bin A.H Ahmad Daud sangat berterima kasih kepada pihak KPT yang prihatin dengan keperluan pelajar terutamanya dari segi kewangan.

“Saya sangat gembira dengan bantuan ini dan menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan pengajian. Terima kasih KPT dan UTM dan saya berjanji untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya kelak,” katanya.

Akhmal merupakan antara 16 bakal pelajar beberapa universiti awam kawasan Parit Sulong semasa lawatan YB Menteri tersebut.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof Dr Shamsul bin Sahibuddin dan Pengarah Endowmen UTM, Prof Madya Dr Yusof bin Boon.

Explore More