April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 28 Sept. — Dua pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada Fakulti Kejuruteraan telah muncul Johan dan Naib Johan dalam pertandingan Robocon Malaysia 2021 yang diadakan secara dalam talian pada 20-23 September 2021.

Pasukan UTM terdiri daripada 28 mahasiswa dari tiga sekolah kejuruteraan iaitu Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE – 19 pelajar), Sekolah Kejuruteraan Mekanikal (SKM – 7 pelajar), dan Sekolah Komputeran (SK – 2 pelajar).

Pengurus pasukan adalah Prof Madya Ir. Dr. Mohd Ridzuan bin Ahmad (SKE) dan dibantu oleh Dr. Saiful Azimi Mahmod (SKE).

Dalam pertandingan ini, pasukan UTM A telah muncul Johan manakala pasukan UTM B muncul sebagai Naib Johan.

Johan menerima sijil kemenangan dan wang tunai RM10,000, manakala Naib Johan pula menerima sijil dan wang kemenangan RM5,000.

Selain muncul Johan dan Naib Johan, pasukan UTM juga memenangi 4 anugerah khas iaitu Anugerah Kelestarian, Anugerah Rekebentuk Terbaik, Anugerah Teknologi Terbaik, dan Anugerah Kejuruteraan Terbaik.

Setiap anugerah memberikan sijil dan wang tunai RM2,000 menjadikan pasukan Robocon UTM berjaya meraih wang kemenangan terbanyak iaitu RM23,000.

Dengan kemenangan ini, pasukan Robocon UTM akan mewakili Malaysia di dalam pertandingan peringkat antarabangsa iaitu ABU Robocon 2021 yang juga diadakan di atas talian di Jimo, China pada bulan Disember 2021 nanti.

Tahniah diucapkan kepada pasukan Robocon UTM!

Didoakan semoga kejayaan akan berpihak kepada pasukan Robocon Malaysia di pertandingan ABU ROBOCON 2021.

Explore More