Disember 23, 2024

Oleh Syuhaida Ismail

Sekumpulan penyelidik dari kumpulan penyelidikan Green Cities and Construction (GCC), Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini telah menerima satu geran antarabangsa bertemakan respons COVID-19 dan keperluan komuniti setempat dari institusi kejuruteraan berprestiij, The Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) di bawah projek “Special Interest Group on Humanitarian Technology (SIGHT)” bernilai USD 5,000.

Geran ini yang bertajuk “Smart Urban Farming IoT-Cementbiosis Solar Hydroponic for Pressing B40 Urban Poor Need amid COVID-19” merupakan program libatsama universiti-komuniti-industri selama 6 bulan berakhir Mac 2022 yang antara lain turut disokong oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa, Persatuan Penduduk PPR Seri Semarak, Jawatankuasa Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak dan Perbadanan Pengurusan PPR Seri Semarak.

Gambar 1: Mesyuarat pertama antara para penyelidik UTM dengan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa, Persatuan Penduduk PPR Seri Semarak, Jawatankuasa Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak dan Perbadanan Pengurusan PPR Seri Semarak

Melalui projek ini, Laman Agro Seri Semarak yang terbiar disebabkan oleh kekangan pergerakan ekoran pandemik COVID-19 akan mula diberi nafas baru melalui pembinaan infrastruktur hidroponik yang dibekalkan dengan teknologi IoT.

Seramai kira-kira 30 orang penduduk 5 blok PPR Seri Semarak yang dipilih berdasarkan minat dan kecenderungan ke arah bidang pertanian dari kalangan masyarakat B40 dijangka akan dilatih oleh penyelidik dari UTM untuk menjadi petani hidroponik melalui projek ini.

Walaupun dalam pelbagai kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), UTM masih menghulurkan bantuan khususnya kepada golongan yang memerlukan seperti masyarakat B40 melalui pelbagai projek penyelidikan berteraskan libatsama komuniti dan industri.

Adalah menjadi harapan UTM agar masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini dapat meneruskan kelangsungan hidup melalui pencapaian matlamat projek ini.

Gambar 2: Lawatan tapak ke Laman Agro Seri Semarak bersama komuniti sasaran dari kalangan masyarakat B40 PPR Seri Semarak bagi perancangan awal pembinaan infrastruktur asas hidroponik

Explore More