April 26, 2024

Search
Close this search box.

Tafsir Surah Al -Ankabut

Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 69 ayat. Dinamakan surah Al-Ankabut (perihal labah-labah) kerana misal contoh perbandingan yang berhubung dengannya ada disebutkan pada ayat 41.

Intisari kandungannya menegaskan bahawa orang-orang Islam tidak cukup dengan hanya beriman dan mengaku menjadi Islam sahaja, akan tetapi hendaklah mereka sabar dan tabah hati menerima ujian, sama ada ujian itu berupa perintah-perintah agama yang wajib dilaksanakan atau berupa larangan-larangan agama yang wajib dijauhi, atau berupa kesusahan dan kemalangan yang menimpa diri dan harta benda.

Dengan ujian yang demikian, mereka akan beroleh pahala disebabkan kesabaran mereka, dan akan ternyata pula orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan yang sebaliknya.

Setelah menerangkan bahawa amal-amal soleh itu menghapuskan dosa dan menggandakan pahala, lalu menyatakan tentang wajibnya manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, kecuali jika mereka mendesaknya melakukan perbuatan syirik maka janganlah iya menurut kehendak mereka yang salah itu.

Kemudian Allah S.W.T menerangkan dalil-dalil yang membuktikan keesaan dan kekuasaan-Nya, kebenaran rasul-rasul-Nya, kedatangan hari kiamat, lalu mendedahkan kebodohan kaum kafir musyrik yang menyembah benda-benda yang tidak dapat memberikan sebarang pertolongan.

Perbuatan meraka yang kafir itu adalah ibarat “LABAH-LABAH” yang membuat sarangnya untuk melindunginya dari sesuatu bahaya sedang sarang yang dibuatnya itu amatlah rapuh dan tidak dapat memberikan kepadanya sebarang perlindungan.

Kemudian Allah S.W.T memerintahkan Nabi Muhammad S.A.W dan umatnya membaca Al-Quran, memahami dan mengamalkannya, serta mendirikan sembahyang dengan tetap dan sempurna, ikhlas dan khusyuk, kerana sembahyang yang demikian keadaannya akan mencegah orang yang mengerjakannya daripada perbuatan-perbuatan yang keji dan munkar; dan hendaklah sentiasa menyebut dan mengingati Allah S.W.t, kerana yang demikian sangat besar manfaatnya.

Diterangkan pula, kalau berlaku perbahasan agama antara orang-orang Islam dengan golongan ahli kitab (Yahudi & Nasara), hendaklah berbahas dengan mereka dengan cara yang baik, lemah lembut, dan dengan mengemukakan hujah-hujah yang benar yang menunjukkan kebenaran Islam dan kesesatan kaum Kafir.

Kecuali orang-orang yang menceroboh di antara mereka, maka gunakanlah cara yang keras untuk menentang pencerobohannya.

Ditegaskan pula, bahawa Al-Quran Karim tetap datangnya dari Allah dengan tidak syak lagi, bahkan ia ayat-ayat keterangan yang jelas nyata, yang terpelihara didalam hati orang-orang yang berilmu.

Oleh kerana orang-orang Islam dalam zaman nabi telah diganggu dan dihalang daripada menjalankan agamanya kerana mereka masih kecil jumlahnya, lalu diizinkan oleh Allah S.W.T keluar berhijrah supaya dapat beribadah dengan bebasnya.

Surah Al-Ankabut ini diakhiri oleh Allah S.W.T dengan menerangkan perjuangan suci yang sewajibnya dijalankan selagi nyawa dikandung badan. Yakni orang-orang yang beriman, yang berjuang menegakkan Islam, akan bertambah lagi mendapat hidayah petunjuk dan taufiq ke jalan Allah yang membawa kepada keselamatan di dunia dan di akhirat.

Berjuang untuk menegakkan Islam, sudah tentu dengan berusaha mengembangkan ajaran-ajarannya dan kebudayaannya, menangkis tuduhan-tuduhan golongan lain dengan syarahan dan tulisan, dan mengangkat senjata menentang pencerobohan musuh yang menyerang umat Islam dan negara Islam.

Explore More