Julai 27, 2024

Search
Close this search box.

Kumpulan Penyelidikan Applied Algebra and Analysis Group (AAAG), Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains dan Frontier Material Research Alliance, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Kelab Keluarga UTM International (UTM-i) telah berjaya menganjurkan Program “Fun & Easy Math” yang melibatkan anak-anak staf UTM-i di kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Program yang sedang berlangsung dan akan berterusan selama empat bulan itu, iaitu dari bulan September 2021 sehingga Disember 2021, merupakan program yang julung kalinya diadakan secara dalam talian.

Menurut penyelaras bagi program ini iaitu Penolong Pengarah, Global Strategy and Engagement di UTM-i dan juga staf akademik di Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, UTM, Profesor Dr. Nor Haniza Sarmin, idea bagi Program “Fun & Easy Math” ini tercetus semasa beliau mengadakan satu sesi perkongsian bersama-sama staf UTM-i mengenai kepentingan Matematik dengan tajuk “Tak Kenal Maka Tak Cinta” .

Menurut beliau lagi, program sebegini dalam skala yang besar pernah diadakan secara fizikal iaitu Kem Matematik di sekolah-sekolah yang terpilih.

Disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia pada masa ini, program secara fizikal tidak dapat diadakan. Oleh itu, antara tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membantu dan meringankan beban ibu bapa dalam pembelajaran subjek Matematik anak masing-masing.

Program khidmat masyarakat ini seiring dengan empat nilai teras UTM iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan, dan Kelestarian (ISES). Program ini sangat membantu ketika ramai dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah yang menghadapi pelbagai kesukaran untuk memahami apatah lagi menguasai pelbagai mata pelajaran termasuklah Matematik sepanjang tempoh pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) ini.

Di samping itu, program khidmat masyarakat ini juga dapat menjadi medium untuk menambah baik kemahiran insaniah para pelajar UTM serta mengaplikasikan ilmu-ilmu yang dipelajari untuk dikongsikan dengan masyarakat.

Program ini melibatkan enam orang pemudahcara iaitu pelajar-pelajar PhD Matematik yang juga ahli Kumpulan Penyelidikan AAAG yang diketuai oleh Athirah Zulkarnain sebagai Pengarah Program, Dr. Nuridayu Alimon, Nurhidayah Zaid, Nurfarah Zulkifli, Nur Athirah Farhana Omar Zai, dan Muhammad Nur Syiham Abdul Razak. Selain itu, seramai 19 orang murid dari kalangan anak-anak staf UTM-i yang berusia antara 7 hingga 17 tahun menyertai program ini.

Pemudahcara Program Fun & Easy Math bersama Penyelaras Program dan Ketua AAAG


Proses pengajaran dan pembelajaran bagi program ini dilakukan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom. Setiap pelajar dibahagikan kepada beberapa kelas mengikut peringkat umur. Setiap pemudahcara diberi tugas untuk mengendalikan dua kelas pada setiap minggu yang diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu selama satu hingga dua jam untuk setiap sesi.

Para pemudahcara akan membantu murid yang terlibat mengikut jadual yang telah ditetapkan pada setiap minggu. Sesi pembelajaran mengikut silabus sekolah adalah dengan menggunakan kreativiti masing-masing untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada murid-murid tersebut seperti penyediaan nota yang ringkas tetapi menarik dan padat.

Penerapan penyelesaian masalah Matematik menggunakan permainan secara dalam talian akan lebih menarik minat murid dan nampak lebih mudah. Oleh kerana semua pemudahcara yang terlibat adalah juga ahli Kelab Pidato Bahasa Inggeris UTM ( UTM Toastmaster s Club) , pelajar-pelajar tersebut juga akan diterapkan dengan skil pengucapan awam dan komunikasi berkesan.

Majlis Perasmian bagi Program “Fun & Easy Math” ini telah diadakan pada 2 September 2021 dan dirasmikan oleh Pro-Naib Canselor (Antarabangsa) UTM-i, Profesor Madya Dr. Mohd Ismid Md Said secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom yang dihadiri oleh dif-dif jemputan iaitu Dekan Fakulti Sains, Profesor Madya Chm. Dr. Zaiton Abdul Majid, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi) Fakulti Sains, Profesor Dr. Suhairul Hashim, Pengarah Jabatan Sains Matematik, Dr. Zarina Mohd Khalid dan Ketua Kumpulan Penyelidikan AAAG, Profesor Madya Dr. Nor Muhainah Mohd Ali.

Selain itu, majlis perasmian ini juga dimeriahkan dengan kehadiran para ibu bapa, murid-murid yang terlibat, para pemudahcara, dan staf UTM-i.

Majlis Perasmian Program Fun & Easy Math pada 2 September 2021


Majlis ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Encik Ahmad Hilman Borhan selaku Pengerusi Kelab Keluarga UTM-i merangkap Pengarah Bersama program. Ini diikuti dengan ucapan oleh Dekan Fakulti Sains. Profesor Madya Chm. Dr. Zaiton Abdul Majid

Menurut Profesor Madya Dr. Zaiton, program seperti ini adalah julung kali diadakan yang melibatkan pelajar di Fakulti Sains.

“Sesungguhnya inisiatif mengadakan program seperti ini patut dipuji dan dicontohi. Diharap program ini dapat memberi manfaat dan membantu sedikit sebanyak dari segi emosi dan mental pada anak-anak serta ibu bapa”, katanya lagi.

Antara intipati ucapan perasmian yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Ismid Md Said, beliau mengatakan program ini sangat bagus dan beliau amat menyokong program-program seperti ini kerana dapat memberi manfaat kepada anak-anak dan ibu bapa terutamanya staf UTM-i.

“Terima kasih kepada pihak AAAG dan Kelab Keluarga UTM-i kerana mengadakan program seperti ini yang saya percaya dapat membantu anak-anak dan ibu bapa di UTM-i”, katanya.

Program ini juga mendapat sokongan penuh dari Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA). Menurut Profesor Madya Dr. Nor Muhainiah, yang juga Ahli Majlis PERSAMA, para pemudahcara yang terlibat adalah kesemuanya ahli Seumur Hidup PERSAMA. Kem Matematik juga adalah salah satu aktiviti tahunan PERSAMA dan UTM telah beberapa kali mengambil bahagian secara aktif bagi sekolah-sekolah di zon selatan.

Sesi “Ice-Breaking” bersama penyelaras dan pemudahcara sebelum kelas pertama bermula

Adalah diharapkan agar program seumpama ini dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada anak-anak murid tersebut tetapi juga kepada para pemudahcaranya iaitu pelajar-pelajar UTM.

Di samping murid-murid yang terlibat dapat belajar dan memahami subjek Matematik dengan lebih mudah, para pemudahcara juga dapat berkongsi ilmu dan mengasah kemahiran insaniah seperti skil komunikasi dan pengucapan awam.

Kelas bersama Dr Nuridayu Alimon
Perjumpaan antara pemudahcara dan penyelaras bersama semua anak staf dari UTM-i Kuala Lumpur

Program perkongsian ilmu ini juga diharap dapat memupuk dan menambah minat murid-murid tersebut kepada subjek Matematik dan secara tak langsung dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk berusaha dengan lebih tekun dan berjaya hingga ke menara gading.

Disediakan oleh,

Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin
Prof. Madya Dr. Nor Muhainiah Mohd Ali
Arina Syairah Maslani
Ahmad Hilman Borhan
Athirah Zulkarnain

Explore More