April 25, 2024

Search
Close this search box.

Kem Pembentukan JKM KTC Bangunkan Bakat Kepimpinan yang Tinggi di Kalangan Pelajar

Kem Pembentukan Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) Kolej Tuanku Canselor (KTC) telah dianjurkan selama dua hari pada 6 dan 7 Ogos 2021. Program ini telah dijalankan secara atas talian menggunakan medium ZOOM rentetan pandemik COVID-19 yang masih belum reda lagi.

Barisan JKM bagi sesi 2021/2022 telah dipilih melalui sesi temubual yang telah dilaksanakan pada 3 Ogos 2021. Terdapat seramai 22 orang ahli JKM telah dilantik sebagai pemimipin kolej yang baharu.

Penganjuran program Kem Pembentukan ini bukan sekadar melaksanakan aktiviti tahunan yang wajib semata-mata, malah program ini adalah amat penting bagi setiap ahli JKM memahami peranan masing-masing dalam mengetuai organisasi kolej dan menjadi pemimpin tertinggi dalam kalangan pelajar di KTC.

Selain itu, hubungan yang erat antara barisan Majlis Felow dan ahli JKM dapat dibina dan diperkukuhkan melalui penganjuran program ini bagi memastikan kelancaran dalam pengurusan pelajar dan penganjuran program di KTC kelak. 

Barisan Majlis Felow telah bersama-sama menggembleng tenaga dalam menyusun pelbagai modul dan ceramah-ceramah yang menarik serta bermanfaat sebagai panduan ahli JKM pada masa yang akan datang.

Program telah dimulakan dengan sesi ucaptama dari pengetua KTC, Prof Ir Dr Sharul Kamal bin Abdul Rahim. Pengetua telah menekankan tentang hala tuju JKM serta pengenalan kepada ahli Majlis Felow dan diakhiri dengan perasmian program Kem Pembentukan JKM sesi 2021/2022.

Terdapat empat siri ceramah telah diadakan dalam Kem Pembentukan ini. Ceramah pertama berkaitan kepimpinan telah disampaikan oleh Encik Syafiq Rahmat yang merupakan seorang pegawai tadbir di Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).

Slot ceramah kedua pula memfokuskan kepada ‘Pengurusan Kewangan’ oleh Puan Nur Fatihah binti Md Rafi yang bekerja di Unit Kewangan Hal Ehwal Pelajar. Pelbagai perkongsian maklumat yang telah disampaikan oleh beliau dalam menguruskan kewangan kelab dan sesebuah program yang berimpak.

Selain itu, ceramah berkenaan ‘Aktiviti Pelajar’ telah disampaikan oleh Encik Masnawi bin Miskam. Manakala, slot ceramah yang terakhir telah dikongsikan oleh Puan Rubiah binti Abd Aziz yang bertajuk ‘Pengurusan Kolej’. Kedua-dua slot ceramah telah memberi pendedahan awal kepada peserta untuk dimanfaatkan sepanjang memegang amanah sebagai Majlis Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa Mahasiswa.

Di samping itu, terdapat tiga modul yang interaktif serta menarik telah disusun oleh unit modul khususnya bagi membina hubungan kerjasama dalam kumpulan, ketrampilan dan sahsiah diri, menyemai ciri-ciri kepimpinan, kemahiran menyelesaikan masalah, pengurusan masa serta komunikasi yang berkesan. Program Kem Pembentukan JKM diakhiri dengan Majlis Penutupan yang telah diadakan pada akhir program. Rumusannya, objektif utama kem pembentukan ini telah tercapai dengan jayanya sepanjang dua hari program ini berlangsung.

Disediakan oleh: Siti Nur Aisyah binti Mohd Sharan dan Fatin Afiqah binti Md. Azmi.

Explore More