April 25, 2024

Search
Close this search box.

Pendekatan pembelajaran berasaskan projek (PjBL) merupakan satu inovasi dalam kaedah penyampaian bagi bidang pendidikan seiring dengan pelaksanaan pembelajaran abad ke-21.

Pendekatan ini bukan sahaja menekankan kepada strategi yang berpusatkan pelajar, malah memberi autonomi kepada pelajar untuk meneroka permasalahan secara realiti.

Pelaksanaan PjBL di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) telah dilaksanakan melalui kumpulan Future Ready Educators ataupun dikenali sebagai Kumpulan FREE.

Di bawah FREE terdapat kategori PjBL bagi sub group 5 yang diketuai oleh Puan Ramona Abdul Rahim dan lima orang ahli iaitu Dr Irmawati Norazman, Dr Zuhana Mohamed Zin, Dr Noor Aireen Ibrahim, Dr Kew Si Na dan Dr Shanti Chandran a/p Sandaran.

Perbincangan sering diadakan untuk tujuan perkongsian ilmu serta penambahbaikan termasuklah bagi kursus reka bentuk latihan yang memberi pendedahan kepada para pelajar dalam proses menghasilkan modul latihan pekerja.

Perbincangan Kumpulan FREE PjBL FSSK sub group 5

Aktiviti PjBL bagi kursus ini melibatkan projek membina modul latihan yang dijalankan dalam kumpulan yang terdiri daripada 5 orang pelajar dalam satu kumpulan. Setiap kumpulan diminta untuk mencari satu organisasi sebenar yang mempunyai masalah prestasi kerja yang boleh diselesaikan melalui program latihan. Fasa ini dapat dilakukan dengan melaksanakan analisis keperluan latihan di organisasi terbabit.

Berdasarkan dapatan, para pelajar akan dapat mengetahui kompetensi yang diperlukan oleh para pekerja dalam mengatasi masalah prestasi di tempat kerja dan mencadangkan program latihan yang sesuai.

Impak PjBL sudah tentu memberi satu suntikan baru dalam proses pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran kursus ini, apatah lagi perlaksanaan online mock training dalam menguji modul latihan yang dihasilkan.

Kesannya, kursus ini mendapat maklum balas yang positif dalam kalangan pelajar di Course Assessment Report (CAR) OBE. Diharapkan penambahbaikan dapat dilaksanakan pada masa akan datang terutama perlaksanaan inovasi dalam pendekatan PjBL ini.

Explore More