April 20, 2024

Search
Close this search box.

CCIN Bersama Komuniti Kebun Kejiranan Bandar Sg. Bunus Memelihara Sungai Dan Alam Sekitar Sempena Hari Sungai Sedunia 2021

Kuala Lumpur, 22 Sept. – Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Local Agenda 21 (LA21) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mengadakan Program Aktiviti Penilaian Kualiti Air, Pembersihan dan Pengindahan Kebun Kejiranan Sg Bunus yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) Kementerian Wilayah Perseketuan, YBhg. Dato’ Haji Che Roslan bin Che Daud.

Program mini yang bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 11.00 pagi ini melibatkan 11 komuniti rakan kongsi Kebun Bandar LA21 yang terdiri daripada Sukarelawan E-Hijau, PP Seri Perlis, SK Sentul 1, Flat Seri Terengganu, SK Air Panas, PPR Raya Permai, Sunway SPK, Kg Malaysia Tambahan, Kolej Desa Mahkota, Sekolah Seri Hartamas, dan SM Sentosa. Antara aktiviti yang dilakukan bersama adalah mengecat tayar, membersihkan kebun dan ujicuba kit kualiti air. Semua peserta program telah mematuhi SOP dengan baik dan menjaga penjarakan fizikal semasa melakukan aktiviti.

Program ini diserikan lagi dengan lawatan singkat Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) Kementerian Wilayah Perseketuan, YBhg. Dato’ Haji Che Roslan bin Che Daud bersama pihak LA21 yang berhasrat meninjau keadaan dan persekitaran Kebun Kejiranan Bandar Sg Bunus.

Semasa lawatan beliau, pihak CCIN berkesempatan melakukan demonstrasi ujicuba kualiti air menggunakan Water Monitoring Kit. Dalam demonstrasi ini, sampel air Sg Bunus telah digunakan dan diuji tahap pH air sungai untuk menentukan kelas indeks kualiti air.

Pegawai Penyelidik CCIN melakukan demonstrasi ujicuba kualiti air menggunakan Water Monitoring Kit kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) Kementerian Wilayah Perseketuan, YBhg. Dato’ Haji Che Roslan bin Che Daud

Susulan demonstrasi ujicuba kit kualiti air tersebut, YBhg. Dato’ Haji Che Roslan bin Che Daud berasa gembira dengan hasil positif di mana air Sg Bunus boleh dikelaskan dalam Kelas II iaitu sesuai untuk pengairan tanaman dan selamat diminum selepas dirawat.

Usai program, pihak LA21 dan rakan kongsi Kebun Kejiranan Bandar Sg Bunus menzahirkan maklumbalas positif dan berterima kasih atas inisiatif CCIN UTM mengadakan program seperti ini saban tahun. Pihak LA21 berharap agar program seperti ini dapat dilakukan lagi di masa hadapan.

😄

#worldriverday#watersustainability#communitygarden

Explore More