April 20, 2024

Search
Close this search box.

Kredit Gambar: https://physiogo.com.my/rawatan-kecederaan-sukan

Umum mengetahui bahawa sukan merupakan aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan seperti pertandingan, meningkatkan kemahiran, menjaga kesihatan tubuh badan dan sebagainya.

Selain daripada konteks menjaga pemakanan dalam kehidupan seharian, aktiviti bersukan juga telah lama diiktiraf sebagai sebuah rutin yang boleh dilaksanakan bagi mempraktikkan amalan gaya hidup sihat, bukan di Malaysia sahaja, namun di negara-negara lain juga turut menyarankan rakyat mereka agar sentiasa melakukan aktiviti fizikal (sukan) kerana ia diyakini berpotensi dalam melahirkan golongan masyarakat yang cergas dan cerdas.

Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan semangat dan minat rakyat Malaysia untuk bersukan, antaranya ialah mewujudkan fasiliti-fasiliti sukan yang boleh digunakan oleh masyarakat, perlaksanaan program 1Murid 1Sukan disekolah dan lain-lain.

Namun begitu, artikel ini bukan dicoretkan untuk menerangkan berkenaan sukan sahaja, namun ia ditulis bagi mengupas isu keselamatan dalam bersukan.

Tahukah anda bahawa bersukan juga mempunyai risiko kemalangan? Walaupun aktiviti bersukan ialah satu aktiviti yang sihat namun begitu ia juga mempunyai risiko kemalangan. 

Dalam keghairahan masyarakat kita bersukan dan bersenam, terdapat begitu banyak sekali terjadinya kes-kes kemalangan yang melibatkan mereka yang sedang bersukan.

Oleh itu, keselamatan dalam sukan merangkumi pelbagai aspek iaitu aspek persediaan fizikal yang terdiri daripada aktiviti pemanasan (warm-up) dan penyejukan (cooling-down) badan sebelum dan selepas perlaksanaan aktiviti fizikal, manakala aspek kedua adalah aspek persediaan alatan yang merangkumi persekitaran, pakaian, peralatan bersukan, peralatan keselamatan dan lain-lain.

Seperti yang telah diperkatakan, aspek persediaan fizikal meliputi aktiviti memanas dan menyejuk kan badan. Warm-up atau pemanasan adalah satu siri gerakan yang dilakukan bagi memastikan kesediaan komponen di dalam tubuh badan seperti jantung, sendi dan otot sebelum melakukan sebarang aktiviti fizikal. 

Aktiviti fizikal yang terlibat boleh melibatkan pelbagai jenis intensiti seperti intensiti rendah, intensiti medium dan intensiti tinggi. Ia boleh memberikan impak yang besar bukan sahaja pada badan, malah pada prestasi ketika bersukan. Warm-up dapat mengurangkan risiko kecederaan semasa dan selepas bersukan.

Peningkatan suhu otot membantu melancarkan pergerakan dan mengurangkan risiko kekejangan otot.

AKTIVITI WARM UP DALAM SUKAN

Selain itu, ia akan membuatkan jantung anda mampu beradaptasi secara berperingkat dengan aktiviti yang bakal dilaksanakan dan mengelakkan jantung dari ‘terkejut’ dengan tekanan yang datang secara tiba-tiba.

Begitu juga dengan aktiviti menyejukkan badan (cooling down). Aktiviti senaman atau sukan yang dilakukan tidak boleh di hentikan dengan serta merta kerana ia bakal memberi kesan dan risiko kesakitan kepada otot-otot yang terlibat.

Disebabkan itu, cooling down juga perlu dilakukan bagi mengembalikan denyutan jantung serta tahap pernafasan pada kadar yang normal dan menurunkan suhu badan secara beransur-ansur.

Bukan itu sahaja, ia akan mengurangkan kelenguhan otot akibat pengumpulan asid laktik dalam badan selepas bersukan dan mengelakkan dari berlakunya cramp kerana cooling down membantu mengembalikan otot kembali normal pada keadaan rehat.

AKTIVITI COOLING DOWN DALAM SUKAN

Sebelum melaksanakan sebarang aktiviti, kita perlu memastikan kawasan tersebut mempunyai ciri-ciri keselamatan yang baik dan tidak membahayakan pengguna. Ia bukan sekadar tugas atlet malahan tugas jurulatih dan pihak pengurusan untuk memantau kawasan tempat latihan. 

Hal ini bagi menghindar dari terjadinya kecederaan yang tidak di ingini. Sebagai contoh, permukaan padang yang tidak rata atau berlubang boleh menyebabkan pemain mengalami kecederaan, apatah lagi jika lubang tersebut terselindung disebalik rumput-rumput yang panjang atau terdapat benda tajam seperti batu, kayu dan sebaginya yang akan menyebabkan kecederaan menjadi lebih serius.

Jadi, tidak hairanlah suatu ketika dahulu sekitar tahun 2013, skuad Barcelona mengancam untuk membatalkan perlawanan menentang Malaysia di padang Stadium Bukit Jalil disebabkan kualiti padang stadium tersebut yang tidak memuaskan dan boleh mendatangkan kecederaan pada pemainnya.

Jika aspek keselamatan tidak dipandang serius dan diambil berat, situasi kecederaan boleh berlaku dan membahayakan atlet. Sebagai contoh, yang pernah dialami oleh atlet pelumba basikal trek professional Negara iaitu Datuk Azizulhasni Awang yang tertusuk kayu trek ketika bertanding acara keirin di Manchester, England pada Februari 2011 boleh berlaku. 

Bagaimana kayu trek boleh tertusuk di bahagian betis pelumba negara? Ini menunjukkan bahawa aspek keselamatan adalah yang pertama perlu dititik beratkan sama ada keselamatan diri/pengguna, keselamatan di gelanggang, keselamatan alatan, kawasan dan lain-lain bagi mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak di ingini seperti ini berlaku. 

PERMUKAAN PADANG TIDAK RATA
KETAHANAN MATERIAL GELANGGANG SUKAN

Keselamatan bukan sahaja hanya perlu dititik beratkan semasa melakukan aktiviti, malah ia juga perlu diambil kira sebelum dan selepas bersukan. Sekiranya aspek keselamatan diabaikan, kemungkinan ia boleh menjejaskan tahap kesihatan dan mengakibatkan atlet tidak boleh bermain semula dan bersara. Ini seperti kecederaan pelumba kereta Ferarri yang terkenal iaitu Michael Shumacher. Akibat kecederaan yang dialami menyebabkan beliau terpaksa bersara dari sukan Formula 1.

Seperti yang sedia maklum, tujuan kita bersenam adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan fizikal sama ada berasaskan kesihatan (komposisi badan, daya tahan otot, daya tahan kardiovaskular, kelenturan dan kekuatan otot) mahupun berasaskan lakuan motor (kelajuan, ketangkasan, kuasa, imbangan, masa reaksi, koordinasi).

Ini termasuklah motif bersukan sesetengah individu untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Namun, tahukah kamu bahawa bersenam secara berlebihan (ketagihan senaman) bakal mendatangkan kesan yang negatif pada tubuh?

Sesuatu yang pada awalnya mampu memberikan kesan postif akan berubah kepada yang sebaliknya jika diambil/dilakukan secara berlebihan. Begitu jugalah konsepnya dengan bersukan.

Bersukan bertujuan menjadikan badan lebih sihat dan terhindar dari sebarang penyakit seperti obesiti, jantung dan lain-lain, namun jika anda cenderung melakukannya secara berlebihan, ia akan membawa anda kepada penyakit yang tidak anda ingini. Menurut artikel “Keselamatan Semasa Bersukan : Selamatkah kita?”, senaman yang berlebihan boleh mengakibatkan kesan negatif pada jantung. Antaranya ialah Cardiac arrhythmias (degupan jantung tidak teratur), penuaan jantung, penebalan injap jantung secara tidak normal dan pelbagai lagi.

Bersukan juga memerlukan selingan masa untuk anda mendapatkan rehat dan pemulihan tenaga (recovery). Anda tidak boleh memaksa tubuh badan untuk terus menerus melakukan aktiviti dan bergerak tanpa mendapatkan waktu rehat. Hal ini kerana dibimbangi menyebabkan sel tisu otot anda akan terkoyak kerana di luar kemampuan dan badan tidak mendapat sumber oksigen yang mencukupi.

Oleh yang demikian, amat lah disarankan kepada semua individu untuk mendapatkan pengetahuan berkenaan teknik senaman yang betul daripada seseorang yang lebih pakar terutama di dalam bidang tersebut sebelum memilih jenis senaman dan melakukan sebarang jenis aktiviti sukan.

Seterusnya adalah keselamatan alatan sukan. Menurut (SULAIMAN, 2021) didalam Utusan Malaysia menyatakan bahawa sistem penyelenggaraan yang baik bukan sahaja mampu memberikan keselesaan kepada pengguna bahkan mengurangkan risiko kemalangan di tempat awam.

Selain itu, ia mampu memanjangkan jangka hayat sesuatu peralatan dan kemudahan. Penyelenggaraan secara reaktif dan ad-hoc tanpa perancangan sistematik akan menjurus kepada peningkatan kos dan tidak ekonomi. Pada Oktober 2017, Berita Harian Online menyiarkan temu ramahnya bersama orang awam berkenaan taman permainan yang mengancam keselamatan kanak-kanak.

Ia menyatakan bahawa seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menerima 7 jahitan pada mukanya akibat terkena rangka papan kenyataan di taman permainan (Arshad, Oktober 2017). Oleh yang demikian, sebagai pengguna kita perlu memastikan keadaan sesebuah alatan tersebut selamat digunakan dan telah diselenggara dengan baik.

Pastikan alatan tersebut tidak retak atau hampir patah, berkarat, pecah dan sebagainya. Selain itu, peralatan yang digunakan haruslah bersesuaian dengan umur, keupayaan fizikal, ketinggian dan semestinya bersesuaian dengan aktiviti yang ingin dilakukan. Hal ini bukan sahaja untuk memberi keselesaan kepada pengguna, malah ianya bagi mengelakkan dari berlakunya sebarang kemalangan atau kecederaan.

Sebagai contoh, untuk seorang pemula (beginner) yang baru menceburkan diri dalam membina otot tangan (biceps/triceps), berat dumbbell yang digunakan haruslah sesuai mengikut 1RM  (Repitition Movement) nya.

GELANGGANG SUKAN DAN PERMAINAN YANG TIDAK TERJAGA
ALAT PERMAINAN YANG ROSAK

Disamping itu, pemilihan dan penggunaan pakaian haruslah sesuai dengan sukan yang dilakukan. Pemilihan fabrik dan saiz adalah penting. Terdapat 3 jenis contoh fabrik yang boleh dipilih mengikut kesesuaian, iaitu kapas, micro fibre dan spendex.

Pakaian yang diperbuat dari kapas dikatakan sesuai digunakan untuk cuaca panas seperti di negara kita kerana ia membenarkan penyerapan dan penyejatan peluh berlaku. Ini boleh mengelakkan serta mengawal peningkatan suhu badan.

Micro fiber pula bersifat ringan dan sangat selesa dipakai namun ia tidak menyerap peluh. Manakala spendex merupakan kain jenis licin dan digunakan untuk pakaian renang kerana mampu mengurangkan rintangan air.

Pakaian yang terlalu ketat boleh menyekat peredaran darah dan akan membawa kesan yang buruk kepada pengguna. Kasut yang digunakan juga harus sesuai kerana sebahagian individu berpendapat bahawa sebuah kasut boleh digunakan untuk bermacam jenis sukan. Begitu juga dengan ‘usia’ kasut tersebut.

Tahukah anda bahawa kasut sukan juga mempunyai tempoh hayat tersendiri? Setiap kasut sukan digalakkan untuk ditukar apabila sudah melebihi tempoh jarak yang dilalui. Terutama apabila anda sering berlari di kawasan terbuka (outdoor) yang mempunyai permukaan tidak rata seperti berbatu-batu dan sebagainya.

Jika tidak diganti dan terus digunakan, ia akan memberi kesan buruk seperti berasa sakit pada tapak kaki seperti mencucuk-cucuk dan sebagainya. Ia merupakan petanda bahawa kusyen pada kasut anda sudah tiada. Apabila kusyen tiada, kaki anda tidak dapat disokong dengan baik ketika berlari dan bersukan.

Terdapat beberapa lagi tanda-tanda yang memerlukan anda menukar kasut sukan, antaranya ialah apabila tapak kasut tersebut mulai nipis dan tiada cengkaman yang boleh menyebabkan anda tergelincir.

Oleh yang demikian, dengan pemilihan pakaian yang sesuai, kita dapat menghindarkan diri dari sebarang kecederaan kerana pakaian juga aspek yang penting dalam meningkatkan keselamatan diri ketika bersukan.

Tuntasnya, keselamatan dalam bersukan dan bersenam adalah perkara yang penting dan tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat. Potensi untuk berlakunya kemalangan ketika bersukan amat tinggi jika tahap keselamatan masih rendah.

Aktiviti bersukan adalah waktu untuk menjadikan badan anda sihat dan bukan sebaliknya. Ayuh jadikan amalan keselamatan iaitu Safety first sebelum melakukan sebarang jenis aktiviti agar semuanya terjamin selamat dan tidak beri kemudaratan pada orang awam.

Penulis Bersama :-

1. Nurul Syahirah Binti Mohd Noor Halim Moon (A18PP0173)

Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Sains Sukan) UTM

2. Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip (12124)

Timbalan Pengarah Sports Innovation Technology Centre,

Institute Human Centered Engineering UTM

Explore More