April 26, 2024

Search
Close this search box.

Kemajuan teknologi pada masa kini semakin berkembang pesat di seluruh dunia tidak kira di dalam Malaysia mahupun di luar negara. Teknologi maklumat dan komunikasi merupakan satu teknologi penting yang telah menguasai global secara berleluasa disebabkan kewujudannya yang memberikan banyak kebaikan dalam semua aspek termasuklah penyebaran maklumat yang berkesan berkaitan dunia sukan melalui komunikasi massa.

Komunikasi massa bermaksud maklumat disampaikan melalui perantaraan media kepada khalayak yang terdiri daripada sekumpulan individu tanpa bersemuka. Perantaraan media yang di gunakan ialah media massa seperti televisyen, surat khabar, jurnal, internet, majalah, radio dan pelbagai lagi. Media-media massa tersebut merupakan medium utama penyebaran maklumat bukan sahaja di negara kita malah negara-negara luar juga. Melaluinya, komunikasi sukan di dalam dan di luar negara , mendapat perhatian di mata masyarakat.

Menurut (Sarimah Ismail, 2011) sukan dan media saling memerlukan antara satu sama lain bagi meraih populariti dan juga kejayaan komersial. Gough (2020) menyatakan sebanyak 69% peminat sukan seluruh dunia bersetuju perkembangan teknologi komunikasi telah menambahbaik pengalaman mereka menonton sukan di platform media sosial. Oleh yang demikian, tujuan artikel ini adalah untuk membahaskan berkenaan peranan media massa dan penyiaran terhadap sukan. Paparan pertandingan dan berita sukan membolehkan rakyat mengetahui apa yang berlaku dan bagaimana pengorbanan yang telah dilakukan oleh atlet sukan. 

Peranan media massa adalah sebagai jaringan informasi sukan. Selari dengan peranan media iaitu memastikan maklumat yang terkini sampai ke segenap lapisan masyarakat, maka tidak terkecuali juga bagi peminat-peminat sukan tanah air mahupun luar negara. Media massa menyalurkan maklumat semasa seperti pencapaian, perkembangan sesebuah kelab sukan, prestasi semasa dan juga isu-isu kontroversi sesebuah sukan.

Memetik kata (Sarimah Ismail, 2011)dalam artikel Peristilahan Dalam Dunia Sukan, beliau menyatakan bahawa perkembangan akhbar yang diterbitkan sebelum negara mencapai kemerdekaan sekitar tahun 1876 menunjukkan berita berkenaan sukan tidak disiarkan sama sekali. Jadi ia tidak boleh didokumentasikan dan menjadi bahan rujukan negara terhadap perkembangan sukan tanah air.

Menurutnya lagi, berita penyiaran berkenaan sukan di dada akhbar mula menunjukkan peningkatan sekitar tahun 1970-an dan ia terus berkembang sehinggakan kebanyakan akhbar membuat satu ruangan tetap untuk menyiarkan info sukan  dan ia berterusan hingga ke hari ini. Jika di lihat pada akhbar seperti Utusan Malaysia pada hari ini masih lagi memperuntukkan ruangan khas untuk info sukan dalam akhbar tersebut. Bukan itu sahaja, stesen televisyen juga telah menyediakan beberapa saluran (channel) khas yang hanya menyiarkan berkenaan sukan semata. Contohnya Fox Sports (ESPN Star Sports), Astro ARENA HD, Astro SUPERSPORT, RTM sukan dan banyak lagi.

Selain itu, info sukan juga dipaparkan di majalah-majalah sukan seperti Majalah Mingguan Sukan, Majalah Arena Bola Sepak, Majalah Dunia Sukan dan lain-lain. Malah, stesen-stesen radio juga turut membahaskan isu-isu sukan dalam dan luar negara pada setiap hari.

Tidak seperti beberapa tahun yang lalu di mana hak penyiaran untuk sesebuah perlawanan sukan biasanya diberikan kepada stesen-stesen TV berdaftar yang mempunyai monopoli besar dalam media penyiaran sahaja.

Contohnya stesen TV berbayar Astro. Ini menimbulkan masalah kepada orang ramai yang ingin menonton perlawanan berprestij tinggi seperti Piala Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Antarabangsa dan sebagainya jika mereka tidak mempunyai kemudahan stesen TV berbayar di rumah seperti Astro.

PINGAT GANGSA BEREGU BADMINTON LELAKI NEGARA

Oleh itu, pada Disember 2011, telah berkuatkuasa bagi stesen-stesen TV seperti RTM, Media Prima TV3 dan lain-lain mendapatkan kebenaran menyiarkan perlawanan sukan yang mempunyai kepentingan negara. Ini menunjukkan bahawa sukan semakin mendapat perhatian dihati masyarakat masa kini. Sukan juga kini adalah antara faktor penyumbang besar ekonomi negara. Kemenangan atlet negara di peringkat dunia, sekaligus membuka mata dunia tentang kehebatan dan kewujudan negara Malaysia. Sekaligus menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa atas kemampuan dan kebolehan atlet dan pemain Malaysia.

Suatu ketika dulu negara seperti Korea dan Jepun sebaris dengan negara kita, akan tetapi kini mereka meninggalkan kita jauh ke belakang dengan kehebatan negara meraka dalam sukan di peringkat dunia. Ini menunjukan penanda aras kepada Malaysia iaitu sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kejayaan sukan negara kita.

Selain menyampaikan maklumat, media juga memainkan peranan besar dalam mempromosi dan melakukan publisiti berkenaan sesebuah sukan agar berjaya menarik perhatian masyarakat terhadap sukan. Dalam erti kata lainnya, media massa ditugaskan untuk memperkenal dan menghebahkan maklumat tertentu yang ditujukan kepada khalayak ramai atau khusus melalui media penyiaran atau liputan meluas. Ia bertujuan menarik perhatian dan merangsang minat masyarakat khususnya golongan belia terhadap bidang sukan.

Misalnya, apabila tiba musim bola sepak seperti Liga Juara-juara Eropah, media akan membuat liputan meluas sama ada melalui iklan-iklan di televisyen, akhbar, internet dan sebagainya. Ruangan-ruangan khas yang memaparkan informasi biodata para pemain, prestasi kelab, strategi permainan, dan barisan pemain utama yang akan bermain serta jadual-jadual perlawanan semestinya menjadi tarikan yang dinanti-nantikan oleh para pembaca.

Tambahan pula, sukan seperti bola sepak, skuasy, lumba kereta F1, lumba moto GP, golf dan sebagainya sering menjadikan tajuk ganjaran bernilai sehingga angka ratusan ribu ringgit yang diperolehi para pemenang sebagai tajuk berita utama di ruangan sukan. Begitu juga dengan gaji-gaji para atlet yang kebanyakannya mencecah angka puluhan ribu ringgit dan ratusan sebulan.

Paparan jumlah ganjaran yang sebegitu mampu menjadi perangsang kepada anak-anak muda masa kini agar lebih tertarik kepada aktiviti sukan untuk dijadikan sebagai salah satu kerjaya di masa depan, sekaligus  memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara.

Seterusnya, penyiaran sukan juga dikatakan berperanan sebagai hiburan. Sebilangan masyarakat berpendapat sedemikian kerana dengan adanya pelbagai jenis media, khususnya media elektronik mereka dapat menghilangkan rasa bosan, malahan menjadi keseronokan bagi mereka apabila dapat menyaksikan sukan yang mereka gemari secara langsung beramai-ramai.

Sebagai contoh, rakyat Malaysia amat gemar menonton perlawanan bola sepak di kedai-kedai makan yang menyediakan layar/skrin besar kerana ia menjadi satu suasana yang meriah apabila penonton bersorak beramai-ramai. Di samping itu, dengan adanya rangkaian internet ia memudahkan peminat sukan mengakses maklumat berkenaan sukan yang telah disiarkan oleh pihak penyiaran di media massa. Ia bukan sahaja menghiburkan, malah ia juga memberi pendedahan yang bersifat ilmiah kepada penonton mengenai teknik, strategi, cara bermain, semangat juang,  dan pelbagai lagi.

JUMLAH GAJI PEMAIN BOLASEPAK DI MALAYSIA

Namun, berbeza pula dengan hiburan sukan. Merujuk Wikipedia, hiburan sukan merupakan sejenis tontonan yang mempersembahkan satu peristiwa yang kompetitif dengan menggunakan persembahan yang menonjolkan teater yang tinggi dengan tujuan menghiburkan penonton. Ia tidak sama seperti sukan dan permainan biasa yang dijalankan untuk tujuan kesukanan, pertandingan atau rekreasi peribadi.

Hal ini kerana, motif utama hiburan sukan adalah prestasi untuk faedah khalayak dan lazimnya, hasil akhir aksi hiburan sukan tersebut telah ditentukan sejak awal kerana ia bukanlah pertandingan perlawanan yang sebenar, tetapi hanya sekadar lakonan. Contohnya World Wrestling Entertainment (WWE).

Namun, kebanyakan hiburan sukan yang disiarkan telah dikritik ramai kerana perlakuan tersebut memaparkan aksi-aksi keganasan yang boleh menyebabkan penonton meniru aksi yang dipertontonkan terutamanya para remaja. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa, sukan juga menjadi hiburan yang digemari masyarakat.

Seterusnya, peranan media massa adalah memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Dalam konteks sosialisasi, ia dilihat mampu untuk mempengaruhi kesedaran sivik masyarakat dalam mewujudkan budaya hidup sihat dan cergas. Selain itu, media sukan juga mampu memberikan pendedahan dan arah tuju kepada seseorang yang mempunyai bakat  dan minat dalam bidang sukan.

Antara contoh rancangan sukan yang disiarkan melalui media massa ialah SoccerKids dan MyTeam yang bertujuan mencari pemain bola sepak terbaik bagi menaik taraf kemajuan sukan di negara ini. SoccerKids merupakan rancangan realiti yang mencungkil bakat-bakat muda di arena sukan bola sepak negara. Ia disertai oleh kanak-kanak yang berusia bawah 12 tahun yang telah dipilih dan disaring melalui sesi ujibakat.

Sudah semestinya media massa yang mengiklan dan mempromosikan rancangan-rancangan ini sehingga ia tersebar luas dan mampu menarik minat anak-anak muda untuk menyertai sesuatu jenis sukan dengan pelbagai tujuan. Dengan begitu, negara dapat melahirkan lebih ramai lagi para pelapis sukan yang berkaliber.

Seterusnya, keuntungan merupakan faktor pendorong komersialisme. Pihak penaja akan meraih keuntungan berlipat kali ganda melalui penjualan tiket, penajaan dan hak penyiaran. Merujuk akhbar Berita Harian (2020), sukan menjadi penyumbang utama ekonomi dan pembangunan sosial sesebuah negara.

Pernyataan tersebut tidak boleh disangkal oleh mana-mana kerajaan kerana ia di ikrarkan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sukan dan hiburan mampu menjana pendapatan besar melalui penyiaran dalam pelbagai jenis peranti yang terdapat pada masa kini. Nilai global hak media dalam sukan dikatakan AS$50 bilion (RM214 bilion) setahun dan 60 peratus nilai itu datang daripada 10 liga sukan utama dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Bola Keranjang Nasional (NBA) dan Liga Bola Sepak Nasional (NFL).

MOKTHAR DAHARI ANTARA PENJARING TERBANYAK DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Pihak media amat diperlukan bagi mempromosi pelbagai kejohanan dan acara yang bakal berlangsung di sesuatu tempat. Hal ini kerana, dengan bantuan publisiti mereka, tiket perlawanan laris dijual. Menurut Brady dan Howlet (1996), salah satu sumber utama pendapatan bagi ‘tuan rumah’ adalah melalui jualan tiket. Kejohanan sukan Olimpik dunia dianjurkan 4 tahun sekali, statistik jelas menunjukan setiap kali penganjuran Olimpik, jumlah tiket yang terjual meningkat naik.

Selain itu, lebih menguntungkan lagi sekiranya negara tersebut menjadi tuan rumah untuk sesuatu kejohanan atau perlawanan. Hal ini kerana, sudah tentu warga asing yang datang untuk menonton perlawanan akan menginap di hotel-hotel berhampiran dan duduk selama seminggu atau 2 minggu di Negara tersebut. Dengan itu, ia dapat meningkatkan pelancongan negara dan sekaligus menaikan tahap ekonomi negara.

Kesimpulannya, tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan satu platform yang sangat berkesan pada masa kini dalam menyampaikan maklumat terkini berkenaan sukan kepada masyarakat. Liputan media melalui media cetak dan media elektronik adalah tunjang utama dalam mempromosikan kejohanan yang akan dilangsungkan.

Media massa berperanan di dalam melakukan iklan dan promosi sebelum kejohanan berlangsung, liputan semasa kejohanan berlangsung dan rumusan selepas pertandingan berakhir. Media elektronik seperti internet adalah medium paling berpengaruh dalam memberi info berkaitan sesuatu kejohanan sukan seperti melaporkan kedudukan terkini pingat, maklumat pasukan yang bertanding, iklan produk tajaan, jadual pertandingan dan liputan secara terus menerus di negara tuan rumah kejohanan berlangsung.

Maklumat berkaitan kejohanan sukan boleh diakses melalui laman web, blog dan laman web kerajaan seperti Tourism Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta laman web rasmi kejohanan yang diadakan. Kepentingan dan keberkesanan internet sebagai saluran komersial dalam konteks menyediakan maklumat kepada pelancong telah banyak diperkatakan dalam kajian terdahulu (Bonn, Furr dan Susskind, 1999; Marcussen, 1997).

Oleh yang demikian, penggunaan media massa pada masa kini memberikan banyak faedah dalam bidang sukan. Semoga melaluinya, Malaysia dapat melahirkan lebih ramai lagi individu yang berpotensi mengharumkan nama Malaysia dalam dunia sukan dan penyiaran sukan.

HARAPAN DI MASA DEPAN KEJAYAAN PASUKAN MALAYSIA DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Penulis Bersama,

1. Nurul Syahirah Binti Mohd Noor Halim Moon (A18PP0173 )

Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Sains Sukan)

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian ( FSSH UTM)

2. Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip (12124)

Pensyarah Kanan SKBSK

Fakulti Kejuruteraan (FK UTM)

Explore More