April 26, 2024

Search
Close this search box.

Sejak bertahun-tahun, keusahawanan dan perniagaan telah berkembang pesat dalam industri sukan. Kebelakangan ini, beberapa situasi seperti penutupan kedai sehingga peniaga terpaksa gulung tikar, masyarakat hilang pekerjaan serta perluasan perniagaan secara dalam talian telah membuka minda masyarakat tentang bidang keusahawanan dan perniagaan menyebabkan ia semakin dikenali umum.

Keusahawanan merupakan sebuah bidang yang mengetengahkan konsep penjual, pembeli dan pembekal. Keusahawanan itu sendiri berasal daripada perkataan usahawan yang bermaksud orang yang mengusahakan sesuatu perniagaan.

Perniagaan pula merupakan sebuah proses yang melibatkan penjual dan pembeli. Oleh yang demikian, dalam memahami konsep keusahawanan dan perniagaan perlu mempunyai tiga komponen iaitu pembekal barangan atau produk, penjual dan pembeli. Hal ini kerana setiap satu komponen amat berkait antara satu sama lain bagi memastikan terhasilnya usahawan dan perniagaan.

Di Malaysia, antara contoh yang terbaik untuk perniagaan barangan sukan adalah  Al-Ikhsan telah berkembang maju sehingga mempunyai lebih 125 cawangan di Semenanjung Malaysia yang telah diasaskan oleh alumni UTM, Tuan Haji Ali Hassan Mohd Hassan. Sikap gigih beliau dalam mengusahakan barangan sukan tanpa putus asa sepatutnya dicontohi oleh setiap individu generasi masa kini.

Dengan berbekalkan modal sebanyak RM50, dari menjual jersi semasa belajar sehingga menjadi pusat menjual peralatan sukan gergasi di Malaysia. Al Ikhsan telah berjaya bertahan hingga kini.

Rajah 1 : Pengasas dan Pengerusi aL-IkhsaN Sport Sdn. Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan pada temubual bersama Malaysia Gazette di Plaza Vads, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan alumni UTM
Kredit Photo: Malaysia Gazette
Rajah 2. Menunjukkan sisipan berita Harian Metro bertajuk Bekas Atlet Negara Malek Noor Boleh Jadi Usahawan

Sisipan berita di atas merupakan berita dua tahun lalu yang disiarkan pada 17 April 2018 tentang peluang tinggi yang ada kepada bekas atlet bergelar usahawan. Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd, yang merupakan pengedar barangan sukan dan aktiviti luar terbesar di Malaysia akan menyediakan kursus dan latihan kepada atlet yang berminat menyertai bidang keusahawanan dengan syarat-syarat tertentu.

Kursus dan latihan tersebut adalah untuk membimbing bekas-bekas atlet yang telah bersara dengan latihan amali selain membantu mereka menjana pendapatan sendiri bermula dengan penjualan barang-barangan sukan seperti kasut, pakaian dan peralatan untuk aktiviti luar.

Hal ini juga adalah untuk melahirkan lebih banyak usahawan yang menjual peralatan sukan dan aktiviti luar selain terus memberi sumbangan kepada masyarakat dengan memenuhi kehendak pembeli yang memerlukan barangan sukan. Dalam pada itu, atlet merupakan individu yang paling sesuai dalam kerjaya sebagai seorang usahawan sukan kerana mereka mempunyai kekuatan mental yang baik dalam mendepani sebarang cabaran selain mempunyai sifat daya saing yang tinggi.

Oleh yang demikian, mereka akan terus berusaha tanpa putus asa untuk mencapai keinginan dan matlamat dalam perniagaan yang diusahakan.

Menelusuri isu tentang keusahawanan dan perniagaan dalam sukan, individu yang berkait dengan sukan seperti pelajar-pelajar yang menuntut di universiti dalam jurusan Sains Sukan, bekas atlet dan juga bekas jurulatih sebenarnya merupakan golongan yang paling sesuai untuk meneruskan kerjaya dalam bidang keusahawanan dan perniagaan barang-barang sukan.

Ini berikutan kerana mereka mempunyai ilmu dan pengalaman untuk mengenal pasti jenis barang sukan yang sesuai dengan kehendak pengguna. Contohnya, pelajar sains sukan mempelajari subjek Biomekanik, mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan mereka apabila pembeli mencari kasut dengan ciri-ciri tertentu samada untuk larian ataupun senaman ringkas.

Atlet pula dapat menggunakan pengalaman mereka seperti pemakaian yang sesuai mengikut jenis sukan yang akan melancarkan proses bersukan seperti baju yang ringan dan nipis, dapat mengurangkan rintangan angin agar pelari dapat berlari lebih laju dan selesa.

Pelajar jurusan Sains Sukan di UTM misalnya turut mengambil subjek Introduction To Entrepreneurship yang membantu mereka mempelajari dan mengaplikasikan keusahawanan dan perniagaan dalam kehidupan seperti memulakan perniagaan kecil sehingga mereka berjaya mencapai matlamat jualan sebagai tugasan subjek tersebut.

Tambahan pula, pelajar juga dapat mempelajari kaedah pemasaran digital dan penggunaan aplikasi Go E-Commerce dalam memasarkan produk jualan. Hal ini membuktikan bahawa graduan Sains Sukan mempunyai peluang besar untuk mengembangkan industri sukan melalui perniagaan peralatan sukan dan keusahawanan barangan sukan.

Namun begitu, hal ini juga tidaklah membuktikan bahawa golongan bukan sukan tidak boleh menjadi usahawan sukan sebaliknya sesiapa sahaja yang mempunyai minat dalam mengembangkan industri sukan, berfikiran terbuka dalam menggunakan peluang yang ada dan suka bekerja sendiri boleh meneruskan kerjaya mereka dalam industri sukan sebagai usahawan atau peniaga barangan sukan.

Ini kerana setiap individu tidak terkecuali daripada melakukan aktiviti sukan sejak kecil lagi iaitu di sekolah rendah, tadika mahupun sekolah menengah. Perniagaan sukan adalah merupakan salah satu peluang job creator yang terbaik.

Sudah tentu terdapat individu yang mula menyimpan hasrat sejak kecil untuk mencipta sebuah barangan sukan yang akan menggalakkan orang untuk bersukan seperti kasut yang boleh meningkatkan daya tolakan untuk atlet lompat tinggi, pakaian yang ringan untuk berlari tetapi dalam masa yang sama menutup aurat dan peralatan sukan yang lain seperti alatan teknologi sukan buatan malaysia iaitu smart jam dan smart sensor.

Dalam hal pembuatan barang-barangan dan alatan sukan tersebut, keperluan ahli sukan, ahli mekanikal dan ahli kimia amat penting dalam memastikan keberhasilan material, produk testing dan performance barangan tersebut.

Di samping itu, peniaga atau usahawan barangan dan peralatan sukan juga merupakan orang yang banyak berbakti kepada masyarakat dengan membantu dan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat iaitu dengan bersukan. Apabila menjual barangan sukan, secara tidak langsung mendapat pahala kerana membantu orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.

Dalam hal ini, setiap usahawan dan peniaga barangan sukan perlulah berniat melakukannya ikhlas dan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menggalakkan budaya bersukan. Apabila mengenakan alatan sukan seperti kasut sukan dan baju yang sesuai dan selesa akan menarik minat seseorang individu untuk terus mempraktikkan sukan sebagai gaya hidup.

Tambahan pula, penampilan warna-warna yang ceria dan sesuai dengan keadaan emosi pada waktu itu akan menyumbang kesungguhan dalam diri individu untuk terus bersukan secara berkala pada setiap minggu. 

Namun begitu, bidang keusahawanan dan perniagaan bukanlah perkara yang mudah kerana memerlukan kesabaran dan tekad yang tinggi. Hal ini adalah kerana urusan ini melibatkan hubungan sesama manusia yang mempunyai pelbagai kerenah, misalnya terdapat pembeli yang ingin membeli tetapi setelah diperkenalkan beberapa barangan, mereka akan mengambil masa untuk berfikir dan ada kalanya akan terus menolak. Oleh itu, mereka perlu bersabar dan terus berusaha bagi menjual sesuatu barang atau produk sukan.

Tiada jalan mudah atau jalan pintas dalam mencapai kejayaan, apa yang boleh kita lakukan adalah dengan belajar dengar orang yang telah makan garam terlebih dahulu supaya kita tidak terjatuh dari landasan sebenar.

Rajah 3. Menunjukkan sisipan berita 4 Jun 2021 bertajuk “Dari pemain bola sepak profesional kepada peniaga makanan laut secara digital”

Baru-baru ini berita tentang seorang bekas atlet telah memberi kejutan kepada industri sukan. Berita tersebut menceritakan tentang seorang bekas atlet profesional yang telah meneruskan kerjaya sebagai pengusaha makanan laut dalam talian dengan jenama Hero Seafood. Hal ini membuktikan bahawa atlet juga mampu untuk berjaya dan mengembangkan potensi diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Hero Seafood yang diusahakan oleh beliau telah berjaya menjual hampir 1000 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan, 500kg udang, sotong ketam dan ayam dalam masa tiga hari beroperasi. Beliau yang merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggunakan kaedah pemasaran digital dalam perniagaannya selain mempelajari panduan pemasaran digital menerusi Go E-Commerce.

Teknik dan cara yang dilakukan oleh bekas atlet ini sepatutnya dipelajari dan dicontohi oleh individu-individu yang berminat untuk melaksanakan perniagaan dalam sukan agar lebih ramai orang di seluruh Malaysia dapat memperoleh barangan sukan dengan hujung jari dan dengan harga yang berpatutan.

Pihak KBS dan MSN boleh menganjurkan kursus perniagaan sukan secara percuma kepada bekas atlet negara. Selain itu, kejayaaan bekas pemain yang berjaya dalam dunia perniagaan boleh menjadi contoh kepada bekas pemain dan atlet negara yang masih struggle dalam kehidupan setelah bersara dalam arena sukan.

Sebagai bekas pejuang dalam padang dan gelanggang, mereka juga harus teruskan perjuangan mereka dalam kehidupan. Ia pasti suatu jalan yang sukar dan tidak mudah, tapi percayalah ALLAH swt tidak akan membebankan hambaNYA melebihi dari tahap kemampuan nya.

Tugas atlet adalah untuk terus istiqamah mencari sesuap nasi untuk keluarga dan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk berjaya dunia dan akhirat. Jika dahulu mereka mampu menjadi pejuang di dalam gelanggang sukan, walaupun sakit, jatuh, sedih mereka tetap bangun untuk meneruskan perjuangan hingga ke minit terakhir permainan bagi membantu kejayaan pasukan. Mengapa tidak perjuangan tersebut diteruskan dalam kehidupan yang penuh onak dan duri berliku ini.

Rajah 4 : Bekas Pemain Kebangsaan Menjadi Gelandangan
Rajah 5 : Bekas Pemain Kebangsaan Menjual Kasut Emas kerana meneruskan kelangsungan hidup

Rajah 6: Bekas Pemain Negara tinggal dalam HUTAN

Natijahnya, bidang sukan merupakan sebuah bidang yang luas yang mampu menggerakkan setiap individu kearah kejayaan dengan usaha dan tekad yang tinggi. Peluang  keusahawanan dan perniagaan dalam industri sukan dapat membuka jalan kepada ramai generasi muda dan tua untuk meneroka dan mencari sumber rezeki yang halal dalam perniagaan sukan selain mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sekiranya mereka pernah menjadi pejuang di atas padang atau gelanggang, pasti juga mereka mampu untuk bercita-cita besar untuk berjaya dalam kehidupan, dengan bantuan dan sokongan kerajaan mereka pasti mampu untuk mencipta sendiri peluang pekerjaaan dan seterusnya menyumbang bakti kepada masyarakat. Kami mendoakan kepada semua bekas atlet dan pemain negara yang pernah berkorban jiwa dan raga untuk negara bangkit semula meneruskan kehidupan yang sementara ini. Yang kekal pasti di Akhirat jua. Ayuh bangun dan bangkit.

Penulis Bersama :

1.Siti Nor Nadzirah binti Suhaime (A18PP0188)                                                                             

Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Sains Sukan)  

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM

2.Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip (12124)

Pensyarah Kanan SKBSK

Fakulti Kejuruteraan UTM         

Explore More