April 17, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 31 JULAI – Sebuah program agihan daging korban, Kembara Korban 1442H telah dilaksanakan oleh  Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM).

Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh selaku Pro-Naib Canselor UTM, bertempat di foyer Residensi UTMKL.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sr. Hj. Rosli bin Atan, Pengerusi YBIM diiringi oleh Pengarah Pentadbiran Pejabat TNCPI KL, Prof. Madya Dr. Sheikh Ahmad Zaki bin Shaikh Salim.

Sebanyak 1,000 pek daging korban telah diagihkan kepada warga universiti dan masyarakat setempat terutamanya golongan asnaf di sekitar UTMKL.

Lokasi utama agihan adalah di Residensi UTMKL, manakala agihan lain juga turut dibuat di sembilan lokasi berbeza yang telah dikenalpasti.

Selain itu, agihan kepada wakil-wakil komuniti sekitar UTMKL juga turut dilaksanakan.

Pro-Naib Canselor melakukan flag-off sebagai simbolik sebelum sukarelawan yang terlibat bergerak ke lokasi agihan masing-masing.

Bagi mengekang penularan wabak dan mengurangkan risiko jangkitan, agihan telah dilakukan secara pandu lalu.

Agihan kepada komuniti juga disampaikan melalui wakil komuniti setempat.

Program ini telah memberi menfaat kepada lebih 500 asnaf di sekitar UTMKL yang melibatkan empat kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), dan beberapa kawasan penempatan yang lain.

PPR yang terlibat adalah PPR Sungai Bunus, PPR Seri Semarak, PPR Kg Baru Air Panas dan PPR Desa Rejang.

Selain itu, 500 warga universiti yang terdiri daripada kalangan staf, pelajar dan pekerja pembersihan juga turut sama menerima manfaat.

Setinggi penghargaan diucapkan kepada Pejabat TNCPI UTMKL dan juga pihak YBIM, atas penganjuran Program Kembara Korban 1442H ini.

Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada 24 sukarelawan yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.

Explore More