Mei 11, 2024

Search
Close this search box.

Kelab Mahasiswa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pusat Kaunseling UTM, PEMADAM Negeri Johor dan PEMADAM Kebangsaan telah berjaya menganjurkan pertandingan eSports Moba Experts:MLBB buat julung kalinya secara dalam talian pada 9 dan 10 April lalu.

Pertandingan ini merupakan salah satu daripada 7 sub program di bawah Karnival Belia Bebas Dadah (V.I.B.E). Karnival ini merupakan anjuran Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM yang terpilih sebagai salah satu program Top Bidder bagi tahun 2021 di bawah seliaan Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM.

Program yang julung kalinya dilaksanakan ini telah mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada mahasiswa UTM, mahasiswa IPT dan orang awam yang terdiri daripada pelajar – pelajar sekolah menengah di Negeri Johor.

Sehubungan itu melalui aktiviti-aktiviti seperti ini, pihak pengurusan dan ahli jawatankuasa program Kelab Mahasiswa Pemadam UTM telah berjaya menarik perhatian dan minat golongan belia untuk terlibat sama secara aktif dalam kempen bebas dadah dan berhenti merokok yang diadakan.

Pelaksanaan program – program bermanfaat sebegini sedikit sebanyak membantu golongan ini mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah yang boleh menghindarkan diri daripada terlibat dengan rokok atau dadah.

Tangkapan skrin perlawanan antara dua buah pasukan di dalam merebut gelaran juara Pertandingan Moba Experts: MLBB baru – baru ini

Pertandingan yang dilaksanakan selama 2 hari ini telah menyaksikan pertembungan di antara 16 buah pasukan hebat terdiri daripada 80 peserta warga tempatan dalam merebut gelaran Juara Moba Experts: MLBB.

Kumpulan Kari Kambing telah muncul sebagai juara pertandingan Moba Experts: MLBB selepas berjaya menewaskan kumpulan IllustriousMinds dengan mata 2 – 0 pada peringkat akhir. Kumpulan ini telah membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM 300.

Naib juara pertandingan disandang oleh IllustriousMinds yang berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 200.

Pemenang tempat ketiga ialah kumpulan Dream Eaters membawa pulang hadiah bernilai RM 100 yang ditentukan melalui perlawanan separuh akhir pada pusingan kesembilan .

Manakala kumpulan Panglima Wali pula menjadi pemenang tempat keempat yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 50.

Jadual perlawanan Pertandingan Moba Experts: MLBB baru – baru ini yang menyaksikan Kari Kambing muncul Juara melalui konsep program secara pusingan kalah mati.

Kelancaran penganjuran pertandingan Moba Experts: MLBB ini telah mendapat pujian daripada semua peserta yang telah menyertai pertandingan ini dengan jayanya.

Penganjuran program seperti ini merupakan antara salah satu medium alternatif berkesan dalam menyebarkan mesej kepada golongan muda untuk menjauhi gejala dadah secara santai.

Kejayaan program ini membuktikan bahawa Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM sentiasa relevan dan proaktif dalam usaha menyebarkan mesej “Hidup Penuh Erti” tanpa dadah dan subtan kepada warga UTM khususnya dan komuniti sekitar amnya.

Walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19, ia bukanlah satu halangan untuk pihak Kelab meneruskan misinya dalam bentuk yang lebih kreatif dan inovatif dalam memberikan komitmen padu bagi menyahut saranan kerajaan mencapai matlamat Dadah Terkawal 2025.

Explore More