April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 25 Jul. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Jabatan Perkhidmatan Digital (UTM Digital) telah membangunkan sistem statistik bagi kegunaan operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kategori Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Integrasi di UTM.

Sistem yang dipanggil Dashboard Pelaporan PPV tersebut memaparkan jumlah penerima vaksin di PPV Integrasi UTM mengikut hari dan jumlah keseluruhan dalam bentuk graf dan statistik.

Antara maklumat yang dipaparkan adalah bilangan Temujanji MySejahtera, Status Temujanji, Data tentang Bilangan Yang Hadir (Terima Vaksin), Hadir Tidak Vaksin dan Tidak Hadir.

Sistem tersebut memaparkan data melibatkan orang awam, warga UTM dan keseluruhan penerima vaksin di PPV Integrasi UTM.

Pengarah UTM Digital, Encik Nik Kamal Izuddin Bin Nik Ibrahim (kiri) semasa sesi penerangan Sistem Dashboard Pelaporan PPV kepada delegasi pelawat yang hadir.

Terdahulu UTM telah dipilih sebagai salah satu lokasi PPV dan telah beroperasi setiap hari dari 19 Julai lalu di Dewan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah dengan kapasiti kira-kira 1,500 dos vaksin sehari.

Naib Canselor UTM, Y. Bhg. Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail berkata universiti sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam memainkan peranan penting untuk memutuskan pandemik Covid-19.

Y. Bhg. Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi (tiga dari kiri) semasa sesi lawatan ke salah sebuah bilik suntikan di PPV IPT Integrasi UTM.

“Bagi menyokong inisiatif ini, UTM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang diwakili oleh pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam UTM untuk memastikan kesemuanya berjalan lancar.

Warga kerja UTM pula telah bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Daerah Kulai menggembleng tenaga bagi menjayakan UTM sebagai PPV IPT Integrasi,” kata beliau dalam sesi lawatan untuk melihat operasi PPV IPT Integrasi UTM.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pengurusan PPV UTM, Encik Abdul Razib bin Hj Shahuddin, Pendaftar UTM dan Penyelaras Pentabdiran PPV UTM, Encik Mohd Ezwan bin Abd Ghani

Sementara itu Pegawai Daerah Kulai Merangkap Pengerusi CITF Daerah Kulai, Haji Zainor bin Adani berkata, sepanjang seminggu beroperasi, urusan di PPV IPT Integrasi UTM adalah berjalan dengan lancar.

Menurut beliau, sehingga semalam, 5,803 orang warga sekitar Johor Bahru dan Kulai telah menerima suntikan vaksin dos pertama dan dijangka 1,500 lagi akan menerima pada hari ini.

Delegasi pelawat sempat beramah mesra dengan beberapa penerima vaksin di PPV Integrasi UTM

Explore More