April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Jul. — Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah mengadakan lawatan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru sempena hari pertama UTM beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kategori Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Integrasi, di sini hari ini.

UTM telah dijadikan PPV IPT Integrasi dan mula beroperasi pada 19 Julai hingga 31 Oktober 2021 bertempat di Dewan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS).

Lawatan YB Menteri bersama delegasi Kementerian Pengajian Tinggi tersebut disambut oleh Naib Canselor UTM, Y. Bhg. Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail bersama Jawatankuasa Kerja Pengurusan PPV UTM yang diketuai oleh Encik Abdul Razib bin Hj Shahuddin selaku Pendaftar UTM.

Delegasi KPT merakamkan kenangan bersama urus setia PPV IPT Integrasi UTM

Hadir bersama YB Menteri di PPV ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini b. Omar.

Turut hadir pula ialah Pegawai Daerah Kulai Merangkap Pengerusi CITF Daerah Kulai, Haji Zainor bin Adani, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, APC Rupeah binti Abdul Wahid, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kulai, Encik Zulnoren bin Bain serta wakil Pegawai Kesihatan Daerah Kulai dan wakil Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulai.

UTM melalui jawatankuasa khas yang diwakili oleh pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) telah bekerjasama dengan :

1) Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor

2) Pejabat Daerah Kulai

3) Kementerian Kesihatan Malaysia 4) Polis DiRaja Malaysia

5) Protect Health Sdn Bhd

dan lain-lain jabatan/agensi;

untuk memastikan kesemuanya berjalan lancar.

PPV ini bakal beroperasi setiap hari bermula jam 8:00 pagi hingga 9:00 malam dengan kapasiti kira-kira 1,500 dos vaksin sehari.

Operasi PPV IPT Integrasi UTM melibatkan petugas seramai 196 orang termasuk 111 orang warga UTM yang terdiri daripada pelajar dan staf yang turut tidak ketinggalan terlibat sama menjadi sukarela bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan semua pihak lain.

Untuk hari pertama operasi PPV tersebut, sejumlah 702 suntikan telah diberikan dan akan diikuti dengan 1,500 suntikan setiap hari untuk hari berikutnya dengan sasaran utama PPV ini ialah penduduk yang berada di sekitar Johor Bahru dan Daerah Kulai.

Dalam sesi lawatan tersebut, YB Menteri dibawa melihat operasi PPV IPT Integrasi UTM serta turut menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas di sana.

Usai lawatan ke PPV, YB Menteri turut berkesempatan untuk menyaksikan pelepasan pelajar pulang dengan bas UTM ke kampung halaman melalui Program Ops Hantar Pelajar 3.0 di Dewan Alumni.

Sebelum mengakhiri sesi lawatan beliau turut meluangkan masa menyantuni pelajar yang memilih untuk berada di Kolej Kediaman masing-masing.

Dalam sesi tersebut yang bertempat di Kolej 9, YB Menteri turut menunjukkan keprihatinan kepada pelajar dengan menyerahkan sumbangan, mengadakan sesi Sembang Santai serta melawat ke beberapa bilik di kolej tersebut.

Warga UTM sangat menghargai kesudian YB Menteri serta keprihatinan beliau terhadap pelajar di UTM.

Explore More