Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 6 Julai — Mutakhir ini, warga UTM khususnya dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi menjadikan media sosial sebagai platform untuk meluahkan perasaan sebagai salah satu kaedah bagi mengatasi tekanan menjelang minggu peperiksaan akhir semester 2 sesi 2020/2021.

Namun ianya menimbulkan sedikit kerisauan kerana melalui setiap posting dan komen di media sosial tersebut menampakkan emosi mereka sedikit sebanyak terjejas berikutan kawalan pergerakan yang masih lagi berkuatkuasa walaupun pekeliling universiti memberikan mereka sedikit kelonggaran untuk pergerakan yang bersifat essential.

Menyedari hakikat bahawa kesihatan mental mahasiswa merupakan elemen penting dalam menghadapi situasi masa kini, Majlis Felow Merbauan (MAFAN) telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan rondaan rutin ‘KTHO Merisik Khabar’ dengan objektif utamanya adalah untuk melihat sendiri keadaan mahasiswa dan mahasiswi yang berada di blok asrama masing-masing.

Tambahan pula, aktiviti turun padang ini membantu MAFAN dalam mengenalpasti mana-mana mahasiswa dan mahasiswi UTM khususnya yang tinggal di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) yang memerlukan bantuan, sama ada dalam bentuk kewangan, keperluan harian, sokongan emosi dan moral, di samping dalam masa yang sama menyampaikan maklumat prosedur operasi standard (SOP) terkini UTM dalam kawalan pergerakan dan hal ehwal pencegahan pandemik Covid-19.

Sebelum rondaan dimulakan, semua ahli MAFAN yang terdiri daripada Felow dan Pembantu Felow KTHO diberi taklimat ringkas oleh Dr. Norahim bin Ibrahim, Pengetua KTHO.

Ahli MAFAN kemudian dipecahkan kepada beberapa kumpulan mengikut zon dengan operasi bermula pada jam 10.00 malam. Pergerakan rondaan ‘KTHO Merisik Khabar’ ini turut disampaikan menerusi platform telegram warga KTHO bagi memudahkan mana-mana mahasiswa dan mahasiswi yang menghadapi masalah atau mempunyai pertanyaan-pertanyaan tertentu untuk bertemu sendiri dengan Pengetua dan MAFAN, bagi mendapatkan bantuan atau penjelasan.

Rata-rata warga KTHO yang ditemui bertanyakan mengenai status kebenaran pulang ke kampung halaman selepas berakhirnya peperiksaan. Ada juga yang bertanyakan status latihan industri yang memerlukan mereka merentas negeri. Terdapat juga suara kebimbangan mengenai status yuran kolej kediaman sekiranya mahasiswa dan mahasiswi terpaksa kekal berada di dalam kampus semasa cuti semester.

Hasil rondaan ‘KTHO Merisik Khabar’ mendapati mahasiswa dan mahasiswi berada dalam keadaan sihat dan kebanyakannya sedang tekun mengulangkaji pelajaran untuk persiapan peperiksaan akhir.

Pengurusan KTHO dan MAFAN akan terus memantau keadaan mahasiswa dan mahasiswi UTM yang berada di KTHO dari semasa ke semasa bagi memastikan hal ehwal kebajikan mereka terus terjaga. Semoga mahasiswa dan mahasiswi UTM yang masih berada di dalam kampus terus #cekalbersamatakwa.

Explore More