April 26, 2024

Search
Close this search box.

Konsep Bola Sepak Majlis Bersama Naib Canselor UTM Terima Pujian Ramai

JOHOR BAHRU, 14 Jul. – Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berlangsung secara maya hari ini melalui platform Facebook Live UTM Community telah menerima banyak maklum balas positif mengenai pendekatannya kali ini yang membawa kelainan iaitu konsep pasukan bola sepak.

MBNC kali ini juga telah menerima sejumlah besar tontonan iaitu kira-kira 1,700 dan komen iaitu 1,600.

Selain rekaan pada poster dan montaj, konsep tersebut juga dikaitkan dengan perisian di dalam penyampaian seperti strategi kelestarian kewangan dan lain-lain yang menjadikan MBNC kali ni lebih ‘mantap’ untuk ditonton serta menjadi titik tolak untuk terus mengadakan acara UTM yang lebih kreatif pada masa hadapan.

Dalam pengisian MBNC, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail selaku Naib Canselor UTM, telah berkongsi beberapa petikan bola sepak yang selari dengan fokus “Towards a Better Togetherness” dan “Be a Great UTM Staff” untuk dihayati oleh warga UTM.

Selain itu, Datuk Fauzi juga banyak menekankan unsur kerohanian dalam penyampaian beliau termasuklah semasa menyatakan tentang kepentingan menjaga status universiti penyelidikan bersama terjemahan surah iqra yang berkaitan.

Datuk Fauzi juga telah memberi penyampaian berupa nasihat bertajuk ‘Kesombongan yang Paling Buruk’ yang menyentuh hati untuk dijadikan teladan sesama warga UTM.

Datuk Fauzi telah berkongsi kata-kata oleh Al Imam Adz Dzahabi rahimahullah (wafat 748H) iaitu:  

“Kesombongan yang paling buruk adalah orang yang menyombongkan diri di hadapan manusia dengan ilmunya, merasa dirinya besar dengan kemuliaan yang dia miliki. Bagi orang tersebut tidak bermanfaat ilmunya untuk dirinya. Manakala siapa yang menuntut ilmu demi akhirat, maka ilmunya itu akan menimbulkan hati yang khusyuk serta jiwa yang tenang. Dia akan terus mengawasi dirinya dan tidak bosan untuk terus memperhatikannya, bahkan setiap saat dia selalu memperbaiki dan meluruskannya.” – Kitab Al-Kabair

serta memetik sabda Nabi Muhammad SAW seperti berikut:

 “Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun hanya sebesar zarah.” – Sahih Muslim

Dengan keadaan negara yang masih mencabar kerana pandemik COVID-19, Datuk Fauzi yang prihatin terhadap warga UTM telah sempat memberi input kesihatan mental dalam penyampaian beliau iaitu:

1) Terapi diri dengan melakukan sesuatu yang membuatkan kita tenang,

2) Sentiasa berhubung dengan ahli keluarga/rakan kita,

3) Berkongsi atau meluah rasa dengan orang pilihan kita,

4) Jaga pemakanan kerana minda yang sihat datang dari badan kita yang sihat,

5) Bersenam luar rumah untuk elakkan sindrom Cabin Fever,

6) Berehat dan tidur setiap kali badan kita memerlukan, dan

7) Amalkan LISTEN, ASK dan HELP.

Sebelum majlis berakhir, montaj #rinduUTM yang memaparkan memori dan suasana kampus UTM yang ceria sebelum pandemik telah ditayangkan kepada penonton.

Ramai warga UTM telah membalas dengan meninggalkan hashtag, #rinduUTM tersebut di ruangan komen sebagai tanda rindu terhadap UTM.

Warga UTM amat berterima kasih atas pengisian yang penuh bermakna daripada Naib Canselor UTM. 

Kami ambil maklum akan amanat Datuk, dan bersama-samalah kita lebih maju dan berjuang lebih gigih untuk kejayaan UTM.

Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Explore More