Disember 26, 2024

Poster Karnival Belia Bebas Dadah (VIBE)

Karnival Belia Bebas Dadah Alternatif Kelab PEMADAM UTM Didik Mahasiswa Jauhi Dadah

Kelab Mahasiswa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program Karnival Belia Bebas Dadah V.I.B.E yang berlangsung daripada bulan 9 Mac 2021 sehingga 20 April 2021.

Program ini merupakan salah satu program anjuran Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM yang terpilih menjadi salah satu program Top Bidder di bawah seliaan Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UTM.

Ia dianjurkan dengan kerjasama padu daripada Pusat Kaunseling UTM, UTM International, PROSIS UTM, Persatuan Wanita Teknologi UTM, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia Negeri Johor, AAD Negeri Johor, PEMADAM Negeri Johor dan PEMADAM Kebangsaan.

Senario penyalahgunaan dadah di kalangan warga belia hari ini dilihat sangat membimbangkan.

Statistik daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (Jan-Jun 2020) mendapati bahawa seramai 61,851 orang di kalangan belia berumur 19-39 tahun telah dikenalpasti terlibat dalam penyalahgunaan atau penagihan dadah serta bahan yang terlarang.

Daripada jumlah itu pula seramai 3,664 orang daripadanya adalah dari kalangan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Malaysia.

Masalah ini berpunca daripada pelbagai faktor, samada perasaan ingin tahu individu, tekanan jiwa, latar belakang keluarga atau masalah kewangan.

Justeru, penganjuran program Karnival Belia Bebas Dadah V.I.B.E ini merupakan salah satu langkah proaktif yang diambil oleh Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM bagi menyokong usaha kerajaan mencapai sasaran Dadah Terkawal 2025.

Program ini diadakan secara berkala dengan pelbagai pengisian 7 sub-program antaranya ialah “Webinar Rokok dan Vape : Wanita Bebaskan Dirimu!”, “Forum 1.0 Jenayah berkaitan Dadah dan Mahasiswa: Hukuman dan Pencegahan”, “Forum V.I.B.E 2.0 : Before It’s Too Late”, “Pertandingan eSports Moba Experts:MLBB”, “Pertandingan Freestyle Football”, “Pertandingan Video PendekThree Minutes Messages R.I.S.E”, dan “Pertandingan Poster Infografik”.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan bukan sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan mahasiswa mengenai penyalahgunaan dadah, namun aktiviti-aktiviti yang diadakan turut melahirkan pelajar yang lebih sihat, cergas dan cerdas serta dapat mengasah bakat kreatif mahasiswa.

Pada 9 Mac 2021 sub program yang telah dijalankan adalah Webinar ‘Rokok dan Vape : Wanita Bebaskan Dirimu!’. Webinar ini diadakan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac 2021 setiap tahun bagi meraikan peranan wanita sebagai perintis kepada kemajuan generasi.

Selari dengan tema sambutan Hari Wanita pada tahun ini iaitu ‘Wanita : Bangkit Mendepani Cabaran’, keperluan dalam memberikan pendedahan tentang keburukan merokok adalah dilihat sangat penting untuk melahirkan seorang wanita bekerjaya yang sihat dan gembira.

Webinar ini menampilkan penceramah wanita muda iaitu Dr. Nor Hana binti Ahmad Bahuri yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor. Menerusi webinar ini, Dr. Nor Hana telah berkongsi ilmu dan panduan berguna bagi mengatasi gejala rokok dan vape ini.

Program yang dilaksanakan secara atas talian di dalam Facebook Kelab PEMADAM UTM ini telah berjaya mendapat sebanyak 1.2 ribu tontonan.

Para peserta yang telah mengikuti program atas talian ini terdiri daripada mahasiswa dan staf UTM, serta mahasiswa daripada IPTA dan IPTS seluruh Malaysia dan juga orang awam.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan Saudari Nurul Shafira bertindak sebagai Moderator dan Dr. Nor Hana binti Ahmad Bahuri, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor selaku penceramah Webinar ROKOK & VAPE : WANITA, BEBASKAN DIRIMU!

Seterusnya, Program Karnival Belia Bebas Dadah diteruskan lagi dengan sub program Pertandingan Freestyle Football.

Pertandingan ini dijalankan secara atas talian bermula 9 Mac 2021 sehingga 20 April 2021 dimana para peserta perlu memuat naik video mereka mengolah bola selama 2-3 minit mengikut terma dan syarat pihak penganjur di instagram/facebook masing-masing dan para peserta perlu tag Pemadam UTM berserta dengan hashtag istimewa yang telah diberikan kepada peserta.

Pendaftaran Program Freestyle Football ini dijalankan secara percuma. Tujuan program ini adalah untuk menarik minat mahasiswa dan memberi pendedahan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang sihat dan seimbang sekali gus dapat memberi kesedaran kepada Mahasiswa UTM bahawa Bola Sepak adalah sukan yang dapat menyihatkan badan.

Melalui program kesukanan, mahasiswa dapat melihat bahawa terdapat perkara berfaedah yang boleh dilakukan daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Pertandingan ini akan diadili oleh beberapa orang juri jemputan iaitu Encik Ahmad Syafeeq bin August fouzy, Encik Mohamad Faiz Bin Rahmat @ Manis dan Encik Mohamad Irfan Aqmar Bin Mohd Zaki.

Tahniah diucapkan kepada Saudara Mohamad Afnan Bin Tarnesh atas pencapaian Tempat Pertama bagi Pertandingan Freestyle Football.

Program Pertandingan Video Pendek Three Minutes Messages atau singkatan program ini R.I.S.E dengan kerjasama PEMADAM Negeri Johor dan PEMADAM Kebangsaan turut dijalankan pada 9 Mac 2021 sehingga 20 April 2021.

Kelainan program ini adalah dimana program ini dimulakan pada 27 Mac 2021 dengan taklimat serta bimbingan video grafik secara percuma daripada panel jemputan En. Faridz Alwi Bin Mohd Bakri yang juga merupakan Pemenang Utama Mereka Bentuk Video Pendek anjuran Majlis Rekabentuk Malaysia.

Taklimat tersebut mendapat sambutan dengan penyertaan seramai 12 individu dan seterusnya diteruskan dengan tempoh penghantaran hasil karya video sehingga 9 April 2021.

Tujuan program ini dianjurkan merupakan satu medium pendedahan langkah – langkah yang efektif  bagi membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat terutamanya dalam kalangan mahasiswa IPT di seluruh Malaysia melalui penghasilan karya – karya yang kreatif.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Google Meet’ menunjukkan berlangsungnya taklimat dan kelas bimbingan yang diketuai oleh Pengarah sub program Pertandingan Video Pendek Three Minutes Messages, Anis Durrah Elfirha Binti Dahalan. Kelas bimbingan disampaikan daripada Encik Faridz Alwi Bin Mohd Bakri.
Tahniah diucapkan kepada Saudari Nor Afikah Binti Abdul Khalil diatas pencapaian penghasilan video kreatif dalam Pertandingan Video Three Minutes Messages (R.I.S.E)

Pada 9 Mac 2021sehingga 20 April 2021, Pertandingan Poster Infografik turut dijalankan dan melibatkan mahasiswa serta orang awam. Pertandingan Poster Infografik ini dilakukan adalah untuk mengasah bakat mahasiswa mahasiswi dari segi kreativiti dalam menyediakan poster bertemakan “UTM BEBAS DADAH/ROKOK/VAPE/ALKOHOL”. Kegunaan poster seperti ini adalah merupakan salah satu platform untuk memberi kesedaran kepada Mahasiswa/siswi serta orang awam bahawa keburukan dadah, rokok, vape dan alkohol dalam kehidupan seharian. Program ini turut menyediakan kelas bimbingan secara percuma pada 27 Mac 2021 yang dibimbing oleh Puan Zalawati Binti Sufian. Pertandingan ini turut mendapat galakan daripada pelbagai pihak. Program ini terbuka untuk semua warga UTM dan orang awam secara percuma.

Seramai 31 orang telah menyertai program ini. Mereka terdiri daripada 26 peserta dari Universiti Teknologi Malaysia, 1 peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia, 2 peserta dari Universiti Teknologi Mara, 1 peserta dari Kolej Tknologi Timur dan 1 peserta dari Universiti Utara Malaysia.

Setiap pemenang akan diberikan ganjaran hadiah yang berpatutan.

Tahniah diucapkan kepada Saudari Norfazilah Binti Sing diatas pencapaian Tempat Pertama bagi
Pertandingan Poster Infografik

Selanjutnya, ketika berlangsungnya ketiga-tiga sub program “Pertandingan Freestyle Football”, “Pertandingan Video Pendek Three Minutes Messages R.I.S.E” dan “Pertandingan Poster Infografik”, pada 6 April 2021 Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM turut meneruskan program dengan menganjurkan Forum Jenayah berkaitan Dadah dan Mahasiswa: Hukuman dan Pencegahan.

Forum ini merupakan forum pertama yang telah dilaksanakan pada sesi 2020/2021. Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada mahasiwa dan orang awam berkaitan kepentingan kewujudan jaringan kerja bersepadu bagi membanteras isu penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa di kalangan belia di Malaysia.

Program ini telah disiarkan secara langsung di Facebook Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM dan Pusat Kaunseling UTM yang dikuasakan oleh Streamyard.  Ia telah ditonton secara langsung oleh seramai 546 peserta yang berdaftar. 495 peserta terdiri daripada mahasiswa UTM.

Manakala baki 51 orang lagi merupakan peserta di kalangan staff UTM yang telah mengikuti program ini.

Program ini diserikan dengan penampilan 2 orang penceramah jemputan yang berkaliber.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menampilkan dua orang panel iaitu DSP Kumar A/L K.M Perumal, Pegawai Turus Bahagian Perlucuthakan Harta, JSJN IPK Johor dan Puan Nurhafizah Binti Md Desa, Penolong Pengarah AADK Negeri Johor sedang mengulas jawapan yang diajukan oleh Pro Prof Madya Dr Siti Rahmah binti Awang (Pensyarah Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, UTM) selaku moderator.

Pada 9 dan 10 April 2021 Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM dengan kerjasama Pusat Kaunseling UTM, PEMADAM Negeri Johor dan PEMADAM Kebangsaan telah berjaya menganjurkan pertandingan e-Sports Moba Experts : MLBB buat julung kalinya secara atas talian.

Program yang julung kalinya dilaksanakan ini telah mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada mahasiswa UTM, mahasiswa IPT dan orang awam yang terdiri daripada pelajar – pelajar sekolah menengah di Negeri Johor. Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM telah berjaya menarik perhatian dan minat golongan belia untuk terlibat sama secara aktif dalam  kempen bebas dadah dan berhenti merokok yang diadakan.

Pelaksanaan program – program bermanfaat sebegini sedikit sebanyak membantu golongan ini mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah yang boleh menghindarkan diri dari terlibat dengan rokok atau dadah.

Pertandingan yang dilaksanakan selama 2 hari ini dengan yuran pendaftaran hanya RM 10 bagi setiap kumpulan telah menyaksikan pertembungan di antara16 pasukan hebat terdiri daripada 80 peserta warga tempatan dalam merebut gelaran Juara Moba Experts : MLBB.

Tangkapan skrin perlawanan antara dua buah pasukan di dalam merebut gelaran juara Pertandingan Moba Experts : MLBB baru – baru ini.

Akhir sekali sub program Karnival Belia Bebas Dadah yang dijalankan pada 11 April 2021 oleh Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM adalah Forum “Before It’s Too Late”.

Program ini merupakan salah satu sub program yang diadakan di peringkat Kebangsaan dimana menampilkan 2 orang panel jemputan dan seorang moderator iaitu Profesor Madya Mohd. Ariffin Bin Abu Hassan (Penolong Pengarah Pendidikan & Pengalaman Global (GEE) UTM International), Dr Haslina Binti Mohd Yusof (Pakar Psikiatri Penagihan, Hospital Permai) dan Saudara Jekan A\L Asokumaran (Pelajar tahun akhir Sekolah Kejuruteraa Kimia dan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan). Program ini merupakan lanjutan daripada kejayaan program Forum Jenayah Berkaitan Dadah & Mahasiswa: Hukuman Dan Pencegahan yang telah dilaksanakana pada 6 April 2021 tahun ini.

Program ini telah dijalankan selama satu hari menerusi platform ‘Facebook Live’ telah berjaya mendapat sebanyak 1000 tontonan.

Para peserta yang telah mengikuti program atas talian ini terdiri daripada mahasiswa dan staf UTM, serta mahasiswa daripada IPTA dan IPTS seluruh Malaysia dan juga orang awam seluruh Malaysia.

Melalui program forum ini juga pelbagai input yang diperoleh daripada perkongsian di antara kedua-dua panel. Masalah mental seperti kemurungan akan mengakibatkan seseorang itu terjerumus ke dalam kancah jenayah dadah.

Dr Haslina Binti Mohd Yusof menekankan bahawa masalah kemurungan adalah masalah yang kritikal dan memerlukan kawalan yang rapi serta perlu mendapatkan nasihat dari pakar perunding.

Di samping itu juga, alkohol ada musuh utama kita dalam mencapai keamanan negara makmur.

Generasi kini perlu lebih berjaga-jaga dalam pergaulan dan pengaruh negatif yang semakin mencabar kian hari.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan gandingan barisan panel iaitu Profesor Madya Mohd. Ariffin Bin Abu Hassan (Penolong Pengarah Pendidikan & Pengalaman Global (GEE) UTM International) dan Dr Haslina Binti Mohd Yusof (Pakar Psikiatri Penagihan, Hospital Permai) sedang mengupas persoalan yang diajukan oleh Moderator iaitu Saudara Jekan A\L Asokumaran (Pelajar Tahun Akhir, Sekolah Kejuruteraa Kimia dan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan).

Kejayaan program Karnival Belia Bebas Dadah ini membuktikan bahawa Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM tetap relevan dan komited dalam usaha menganjurkan program dan aktiviti pendidikan dan pencegahan di kampus. Ini selaras dengan misi pihak pengurusan UTM untuk menjadikan UTM sebagai kampus bebas dadah, rokok, vape dan lain-lain.

Walaupun kini negara kita sedang dilanda Pandemik Covid-19 yang menghadkan program fizikal dijalankan, namun penganjuran program ini tetap meriah dan dapat mencapai objektif yang digariskan melalui penganjuran program secara atas talian dalam norma baharu.

Ahli jawatankuasa program, moderator dan panel jemputan yang terlibat telah mematuhi SOP yang ketat seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Adalah diharapkan  semoga program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Gambar menunjukkan Penasihat Kelab Pemadam UTM, Puan Noorhadayah Binti Ahmad (pertama dari kiri), Penolong Pengarah Pendidikan & Pengalaman Global (GEE) UTM International, Profesor Madya Mohd. Ariffin Bin Abu Hassan (kedua dari kiri), Pakar Psikiatri Penagihan Hospital Permai, Dr Haslina Binti Mohd Yusof (ketiga dari kiri), Pengarah Pusat Kaunseling, Dr. Zulfikar Bin Ahmad (ketiga dari kanan), moderator, Saudara Jekan A/L Asokumaran (kedua dari kanan) dan Pengarah Program, Siti Nur Aishah Binti Md Yasin (pertama dari kanan), yang berkampung di UTM bagi bersiap sedia untuk siaran langsung program yang akan dipancarkan secara langsung di “ Facebook LIve” Kelab Pemadam UTM yang dijanakuasa oleh platform ‘Streamyard’

Explore More