April 16, 2024

Search
Close this search box.

— Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi (CFiRST), UTM meneruskan Kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) bagi mempromosi Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor (MKSNJ). Untuk tujuan ini program webinar Kembara MKSNJ telah diadakan pada 21 hingga 23 Jun 2021.


Sedikit pengenalan mengenai MKSNJ ini. MKSNJ merupakan satu modul kekeluargaan yang dibangunkan oleh pensyarah UTM dalam membentuk negeri Johor yang berwibawa melalui pembentukan keluarga sejahtera. Modul kekeluargaan ini merupakan pelengkap kepada Modul Keluarga Sakinah yang dikhususkan kepada masyarakat Islam negeri Johor. Modul yang dibangunkan mengambil pendekatan yang bersesuaian dengan kepelbagaian masyarakat dan bangsa Johor yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama masyarakat negeri Johor yang juga disandarkan kepada falsafah dan hala tuju negeri Johor.

Justeru, UTM dan YPKDT komited untuk memperkenalkan modul ini dengan menjalakan kembara MKSNJ melalui webinar yang diadakan mengikut daerah-daerah. Selain daripada memperkenalkan MKSNJ, webinar ini juga untuk meningkatkan pengetahuan khususnya kepada masyarakat bukan Islam berkaitan topik-topik yang dibincangkan di dalam MKSNJ. Selain itu, webinar ini turut memperkenalkan penggunaan Massive Online Open Courseware (MOOC) dalam mempelajari modul MKSNJ ini.

Dalam webinar ini, sebanyak 3 siri webinar dijalankan dan penyertaan peserta dibahagikan mengikut zon iaitu: Zon 1: Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai; Zon 2: Pontian, Batu Pahat dan Kluang; dan Zon 3: Muar, Tangkak, Segamat dan Mersing. Sambutan yang diterima amat memberansangkan dengan kehadiran hampir 100 orang peserta bagi setiap siri webinar. Program telah dimulakan dengan ucapan aluan dari Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Puan Nurul Naqiah Binti Haji Fadzil.

Dalam siri webinar ini, peserta diperkenalkan kepada 14 modul yang terdapat dalam modul MKSNJ secara ringkas dan penggunaan MOOC dalam mempelajari MKSNJ ini. Topik-topik pilihan yang telah dikupas ialah: Modul 2: Undang-undang Keluarga Sivil; Modul 4: Adat Dan Budaya Masyarakat Majmuk Malaysia; Modul 6: Pengurusan Bimbingan dan Pendidikan Kanak-kanak; Modul 10: Pengurusan Emosi dan Konflik; Modul 11: Pengurusan Krisis Pertengahan Umur; dan Modul 13: Tanggung jawab Sosial dan Pembudayaan Positif dalam Masyarakat.

Program dimeriahkan lagi degan sesi kuiz serta cabutan bertuah diakhir setiap slot bagi melihat kefahaman peserta dan meraikan peserta-peserta yang hadir. Program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan Kerjasama erat antara YPKDT dan UTM.


Explore More