April 18, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 28 Mei — Kecemerlangan akademik masih lagi kekal relevan kepada mahasiswa dalam usaha mereka untuk menempuh cabaran di alam pekerjaan selepas bergraduan kelak.

Menyedari hakikat tersebut, Biro Kerohanian dan Sosial Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program Santai KTHO 2021, yang mana program ini telah menampilkan dua orang alumni UTM yang telah berjaya memperoleh Anugerah Pelajaran Diraja semasa mereka menuntut di UTM iaitu En. Anas Asalem (graduan Kejuruteraan Petroleum 2016) dan En. Kaviyaneval Arumugam (graduan Kejuruteraan Petroleum 2019).

Dalam program ini, kedua-dua alumni tersohor ini diberi ruang dan kesempatan untuk berkongsi strategi belajar, terutama dalam aspek pengurusan masa yang membolehkan mereka bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah turut cemerlang dalam aktiviti kokurikulum yang disertai.

En. Anas Asalem (graduan Kejuruteraan Petroleum 2016) selaku panel pertama Santai KTHO 2021.
Antara perkongsian menarik alam kerjaya daripada En. Anas Asalem.

Program yang berlangsung dari pukul 8.00 sehingga 10.15 malam ini dianjurkan secara atas talian melalui platform Cisco Webex Meetings telah menarik jumlah kehadiran yang amat menggalakkan daripada warga KTHO, iaitu seramai 260 orang peserta. Pengalaman En. Anas sebagai jurutera jualan (teknikal) di Schlumberger serta pensyarah pelawat di UTMSPACE dan UMPAdvance dilihat memberi kembali keyakinan kepada mahasiswa UTM khususnya warga KTHO untuk mengatur kembali strategi dalam menggapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) kelas pertama, di samping untuk terus kekal aktif dalam penglibatan aktiviti-aktiviti pembangunan pelajar.

Sementara itu, pengalaman En. Kaviyaneval sebagai jurutera teknikal Setegap Ventures Petroleum diambil kesempatan oleh para peserta untuk bertanyakan keperluan industri semasa, sekaligus menjadi panduan kepada peserta yang rata-ratanya datang daripada latar belakang Sekolah Kejuruteraan Tenaga (SKT) Fakulti Kejuruteraan.

En. Kaviyaneval Arumugam (graduan Kejuruteraan Petroleum 2019) selaku panel kedua Santai KTHO 2021.
Antara perkongsian menarik strategi belajar berkesan daripada En. Kaviyaneval.

Penganjuran Santai KTHO 2021 merupakan antara contoh bagaimana alumni UTM mampu menyumbang kembali kepada alma mater mereka, agar pengalaman mereka menjadi panduan yang berguna buat junior-junior untuk terus mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara terutama selepas bergraduan.

Malah, program ini juga dilihat sedikit sebanyak kembali menaikkan semangat pelajar UTM khususnya warga KTHO untuk terus #cekalbersamatakwa dalam mengejar kecemerlangan walaupun di dalam suasana tidak menentu pandemik Covid-19 ini.

Explore More