Disember 22, 2024

Penularan wabak Covid-19 telah memberikan impak yang besar kepada seluruh aspek kehidupan masyarakat dunia khususnya di negara kita.

Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sendiri, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau lebih dikenali sebagai PKPD yang dilaksanakan oleh kerajaan telah mendatangkan pelbagai kesan kepada anggota masyarakat terutamanya warga UTM yang terlibat.

Hal ini dikatakan demikian adalah kerana peraturan yang ketat semasa PKPD dilaksanakan serta pengalaman yang dialami sudah pasti memberi makna yang tersendiri kepada mereka.

Pada 23 Mei hingga 3 Jun 2021 baru–baru ini, UTM telah dikenakan PKPD oleh kerajaan memandangkan kawasan tersebut mempunyai kumulatif kes positif Covid-19 yang agak tinggi.

Salah seorang mahasiswi UTM, Nurlaila Binti Syamsul Bahar, 27 , pelajar Doktor Falsafah bagi kursus Kejuruteraan Gas berkongsi pengalaman beliau.

“PKPD yang dikenakan menyebabkan segala fasiliti UTM ditutup dan situasi ini secara tidak langsung mengakibatkan perkembangan penyelidikan yang dilaksanakan oleh pelajar terbantut.

Pada masa yang sama, pengalaman dikuarantinkan semasa PKPD memberikan sedikit tekanan kerana tidak dibenarkan bergerak keluar dari kawasan UTM namun dalam masa yang sama, ianya mengajar saya untuk menjadi seorang yang lebih rasional serta tabah,” kata beliau.

Selain penuntut, Nurlaila turut bertugas sebagai Pembantu Felo di Kolej Datin Seri Endon, UTM kampus Johor Bahru dan turut membantu pengurusan kolej dan Jabatan Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar) UTM dalam memastikan kebajikan pelajar adalah terjaga.

Nurlaila berhubung dengan rakan-rakan melalui aplikasi dalam talian

Aslan Bin Saripudin, 23 tahun dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan pula menyatakan pelaksanaan PKPD menyebabkan dia terpaksa belajar secara bersemuka semula.

Pada mulanya, dia berasa sukar untuk beradaptasi kerana tinggal berseorangan namun UTM sentiasa memberikan bantuan kepada golongan mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dengan PKPD.

Aslan turut menegaskan bahawa PKPD mempunyai kebaikannya yang tersendiri kerana ia sangat berkesan dalam membendung penularan wabak berbahaya ini.

“Mungkin amat mencabar kerana segala pergerakan adalah terbatas namun natijahnya penurunan kes di UTM memberi kelegaan kepada semua warga yang telah bertungkus-lumus bertugas sepanjang pelaksanaan PKPD tersebut.

Semoga kita beroleh kemenangan dalam usaha meratakan lengkung Covid-19 ini, insya-allah,” akhiri beliau.

Aslan, pelajar Tahun 3, Pendidikan Sains Sukan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Muhammad Marzuqi , staf UTM XCITE yang bertugas di dalam kampus UTM Johor Bahru sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan

Bagi salah seorang kakitangan UTM pula, Muhammad Marzuqi Bin Zainal Abidin mengakui bahawa pada awalnya dia terkejut apabila mengetahui PKPD akan dilaksanakan di UTM.

Beliau merupakan antara 3,227 orang warga dan komuniti UTM yang tinggal di dalam kampus UTM dan terlibat dengan pelaksanaan PKPD.

Perkara pertama yang dilakukannya ialah membeli barangan dapur dan PKPD menyebabkan aktiviti harian terbantut.

Namun di sebalik pergerakan yang terbatas tersebut dalam masa yang sama, beliau mengatakan PKPD telah membolehkan beliau meluangkan banyak masa untuk keluarga dan mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.

Menyingkap kenangan pahit manis PKPD, beliau diarahkan bertugas di UTM sebagai jurukamera untuk merakam segala perkembangan yang berlaku di dalam kampus dan ianya merupakan salah satu kenangan manis bagi beliau.

Pengalaman PKPD yang dialami oleh warga UTM yang terkesan mungkin amat berbeza bagi setiap antara mereka.

Ada yang berkorban kerana terpaksa bertugas dan tinggal di dalam kampus, ada yang berjuang melawan jangkitan Covid-19 dan mendisiplinkan diri mematuhi Prosedur Operasi Standard ( SOP ) dan yang bertugas dari rumah ( BDR) tetap turut sama bertugas dan memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan dalam skop dan kapasiti masing-masing dan semua memainkan peranan masing-masing dalam usaha UTM memutuskan rantaian Covid-19 ini.

Walau apapun, keputusan kerajaan melaksanakan PKPD adalah sangat wajar demi kebaikan bersama.

Pengajaran yang diperolehi menerusi pengalaman PKPD amat besar sekiranya dimaknai dengan sepenuh jiwa dan melatih untuk menjadi insan yang lebih bersyukur dan redha dengan ketentuan ilahi.

Semoga semua warga UTM khususnya mereka yang terlibat dengan PKPD tabah dan tetap kuat dalam menjalankan kehidupan seharian.

Sesungguhnya pengalaman PKPD ini mencatat pelbagai momen indah di sebalik terkurung di pagar kawat besi UTM.

Explore More