Disember 22, 2024

Pembangunan pelajar adalah antara elemen utama dalam pembentukan karakter pelajar universiti. Di UTM, aktiviti pembangunan pelajar ditunjangi oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP) dengan sokongan padu institusi seperti Institusi Pembangunan Felow UTM (IPF UTM), Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman dan Majlis Felow Kolej-Kolej Kediaman, di samping pelaksanaannya menerusi badan-badan pelajar seperti Kesatuan Pelajar (Student Union), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM), persatuan-persatuan fakulti, persatuan-persatuan anak negeri, unit beruniform, kelab-kelab dan student chapter yang lain.

Tradisi

Sebelum berlakunya pandemik Covid-19, rata-rata aktiviti pembangunan pelajar dilaksanakan secara fizikal. Aktiviti-aktiviti berbentuk outdoor dilihat mendominasi perancangan aktiviti setiap kelab dan persatuan di UTM, sebagai contoh seperti penganjuran sukan seperti Kejohanan Sukan Antara Kolej Mahasiswa (SUKAM), aktiviti lasak (hiking, camping), kursus-kursus kepimpinan pelajar (Kem Pembentukan JKM, Kem Pemantapan JKM, Kursus Pengurusan Persatuan), program First Year Experience (FYE), Global Outreach Program (GOP), aktiviti kesukarelawan dan servis komuniti, majlis-majlis anugerah dan hari terbuka peringkat kolej dan fakulti.

Penganjuran aktiviti-aktiviti bercorak outdoor ini sememangnya menjadi tunjang dalam pembentukan jati diri pelajar UTM untuk menjadi lebih berani dan terkehadapan dalam menonjolkan sifat kepimpinan masing-masing.

Malah, semua program ini boleh dikatakan sebagai program tradisi organisasi masing-masing, dan ditambahbaik daripada aspek pengisian dari tahun ke tahun.

Program sukan sememangnya akan dianjurkan hampir setiap hujung minggu semasa sebelum berlakunya pandemik Covid-19.
Antara pengisian aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) dalam kursus kepimpinan pelajar sebelum berlakunya pandemik Covid-19.
Hiking sememangnya menjadi antara aktiviti pilihan pelajar UTM yang sukakan aktiviti lasak.

Transisi

Pandemik Covid-19 yang mula tersebar mulai sekitar Februari dan Mac 2020 telah menyebabkan aktiviti pembangunan pelajar terpaksa disemak semula terutama dalam aspek penganjuran dan pelaksanaannya. Umpama satu kejutan budaya, program-program tradisi sama ada di peringkat kolej atau fakulti terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan demi mematuhi operasi prosedur standard (SOP) penjarakan fizikal. Namun, ia tidak sesekali menghalang aktiviti pembangunan pelajar untuk terus dianjurkan dengan norma baharu. Mulai saat ini, platform-platform pertemuan secara maya (virtual conference) seperti Google Meet, Cisco Webex dan Zoom dilihat mula mengambil alih peranan sebagai lokasi pertemuan di alam maya.

Adaptasi

Dengan kebanyakan warga universiti dilihat semakin mula dan dapat menyesuaikan diri dengan penggunaan platform-platform pertemuan secara maya, penganjuran program dilihat turut beradaptasi seiring dengan situasi. Yang nyata, program-program berbentuk webinar, seminar, forum, bicarawara dan jerayawara dilihat menguasai perancangan aktiviti setiap organisasi. Malah, jika dilihat daripada segi kekerapan publisiti program-program berbentuk seperti ini melalui medium media sosial rasmi UTM, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), kolej kediaman dan fakulti, tidak mustahil sebenarnya untuk mengatakan bahawa jumlah penganjuran program pembangunan pelajar dilihat agak meningkat berbanding fasa sebelum berlakunya pandemik Covid-19. Penggunaan teknologi pertemuan secara maya dilihat amat membantu dalam penganjuran program-program seperti ini memandangkan teknologi tersebut bersifat dinamik (tidak mengira masa dan lokasi) jika dibandingkan dengan kaedah penganjuran program secara konvensional yang bersifat statik (dipengaruhi pemilihan masa dan lokasi).

Program berbentuk bicarawara antara yang mendominasi aktiviti pembangunan pelajar semasa era pandemik Covid-19.
Pertemuan secara maya memudahkan interaksi antara pakar rujuk industri dengan pelajar UTM.
Pertandingan debat merupakan antara bentuk aktiviti yang dilihat mampu beradaptasi sesuai dengan situasi semasa.

Implikasi

Dalam pada kita melihat program pembangunan pelajar kekal meriah terutama dalam aspek bilangan penganjurannya, pelajar-pelajar sebenarnya menghadapi cabaran daripada segi kurangnya sentuhan insaniah (human touch). Sentuhan insaniah ini mahal harganya kerana ia terbukti berkesan dalam mentransformasi seseorang pelajar daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Rata-rata pelajar mesti merindukan suasana mendapat bimbingan, nasihat dan konsultasi secara fizikal daripada penasihat program. Suasana mesyuarat dan gerak kerja secara fizikal yang sepatutnya menjadi memori di sanubari, pengukuh ikatan perhubungan, tidak mampu direalisasikan. Hilai tawa, rasa sedih dan kecewa tidak lagi dirasai bersama, disebabkan gerak kerja aktiviti yang dirasakan tiada jiwa. Walaubagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan, jatidiri pelajar harus dikuatkan. Semoga sentuhan insaniah yang didamba, kembali dirasai dalam melahirkan generasi pelajar UTM yang menjulang martabat keilmuan demi perkhidmatan kepada watan.

Explore More