April 20, 2024

Search
Close this search box.

Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej 9&10 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjalankan Program ‘Mind Your Mind’ dengan jayanya pada hari Sabtu yang lalu, 5 Jun 2021, dengan anggaran 95 orang peserta yang mengikuti program ini.

Program ini berlangsung selama tiga jam, iaitu bermula dari pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari, secara dalam talian menggunakan platform Cisco Webex.

Pengerusi Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, Prof Madya Dr. Siti Aisyah binti Panatik @ Abdul Rahman telah dijemput untuk berkongsikan pandangan beliau tentang isu yang berkait rapat dengan kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Program yang bertemakan ‘Mind Your Mind’ ini telah memfokuskan kepada tajuk yang berbunyi, “Langkah untuk Mengekalkan Kesejahteraan Mental yang Baik supaya Pelajar dapat Menuju Kejayaan dan Impian”.

Prof. Madya Dr. Siti Aisyah telah berkongsikan banyak input kepada audiens mengenai kesihatan mental dan cara bagaimana untuk menanganinya dengan baik.

Beliau menekankan bahawa kita mesti memahami dan meneliti emosi diri untuk mengenali diri kita dengan lebih baik.

Untuk mengenali diri kita dengan lebih baik, kita mestilah memahami emosi kita terlebih dahulu. Apabila berjaya memahami emosi diri, kita pasti boleh menangani masalah sama ada dalaman mahupun luaran dengan lebih mudah. Begitulah yang diperkatakan oleh beliau kepada audiens yang hadir.

Untuk menarik perhatian audiens, Prof. Madya Dr. Siti Aisyah telah berkongsikan satu borang survey DAS yang merupakan ujian psikometrik untuk menilai tahap kemurungan, kebimbangan, dan tekanan yang dihadapi oleh seseorang individu

Majoriti respons daripada pihak audiens setelah mengisi ujian psikometrik tersebut adalah dalam keadaan baik. Umum mengetahui, ketiga-tiga aspek tersebut berkait rapat dengan kehidupan kita terutamanya para pelajar yang menghadapi pelbagai cabaran sepanjang pengajian terutamanya semasa wabak Covid-19 ini.

Beliau juga menekankan bahawa sewajarnya seseorang individu itu untuk terus berjumpa dengan pakar professional sekiranya mengalami simptom-simptom yang berkait dengan kemurungan dan kebimbangan.

Program diteruskan lagi dengan pengumuman pemenang bagi pertandingan video tiktok yang bertemakan kesihatan mental yang dibuka penyertaannya dari 15 Mei 2021 hingga 28 Mei 2021. Pemenang bagi pertandingan video tiktok ini jatuh kepada Dwi Nur Aini binti Sayudi, yang merupakan pelajar dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Program dimeriahkan lagi dengan sesi cabutan bertuah, di mana 20 orang pelajar telah dipilih secara rawak semasa program sedang berlangsung. Hadiah yang bernilai wang ringgit diberikan kepada para pelajar yang bertuah.

Berdasarkan ucapan daripada Pengarah Program ‘Mind Your Mind’, Qhumaira binti Mohamad Hasnisham, beliau mengharapkan bahawa sesi program kali ini dapat dimanfaatkan bersama memandangkan isu kesihatan mental adalah sesuatu topik yang perlu diambil berat.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada penceramah jemputan, Professor Madya Dr. Siti Aisyah yang sudi menerima jemputan untuk memberikan perkongsian mengenai topik ini.

Explore More