April 25, 2024

Search
Close this search box.

Pihak Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Jabatan Senibina Landskap Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) telah menganjurkan Pertandingan Mereka Bentuk Mercu Tanda KTC kepada mahasiswa jurusan Senibina Landskap, FABU.

Pertandingan ini telah berlangsung pada 1 April sehingga 9 Jun 2021.

Matlamat pertandingan ini diadakan bertujuan untuk memilih dan mewujudkan suatu reka bentuk mercu tanda KTC yang sesuai dibina di sekitar kawasan pejabat pengurusan kolej dan kolej kediaman yang menonjolkan ciri-ciri identiti kolej itu sendiri serta sebagai tarikan kepada para pelajar untuk tujuan bergambar dan mengabadikan memori mereka di KTC. 

Pertandingan ini telah disertai oleh 16 kumpulan pelajar dan telah dinilai oleh juri professional dan juri klien.

Pihak penganjur pertandingan ini telah memilih lima (5) orang juri professional dari kalangan pengarah firma serta pensyarah daripada Jabatan Senibina Landskap dan lima (5) orang juri klien dari kalangan Majlis Felow KTC.

Antara juri dari kalangan pengarah firma iaitu konsultan luar adalah Puan LAr Nor Ashikin binti Mohd Yasin dan Puan LAr Nur Zulhijjah Binti Aziz yang merupakan Pengarah DIC Design Sdn. Bhd.

Manakala juri professional yang terdiri daripada pensyarah Jabatan Senibina Landskap (FABU) ialah Prof. Madya Dr. Sapura Binti Mohamad, Dr. Zanariah Binti Jasmani dan Dr Norliza binti Mohd Isa.

Bagi juri klien pula terdiri daripada Majlis Felow KTC iaitu Dr. Fatin Afiqah binti Md. Azmi, Dr. Nurzal Effiyana binti Ghazali, Pn. Rafidah binti Mohamad, Dr. Amirjan Bin Nawabjan dan Cik Nur Afifah binti Ahmad Ahyad.

Sesi penjurian ini telah dijalankan secara atas talian mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan iaitu pada 13 Jun 2021 hingga 20 Jun 2021 dengan menilai laporan cadangan rekabentuk mercu tanda KTC dan video pendek para peserta pertandingan.

Manakala pada 23 Jun 2021 sesi penjurian khas penentuan pemenang Emas, Perak dan Gangsa telah diadakan secara dalam talian.

Sesi penjurian ini telah berlangsung dengan kehadiran semua para juri professional dan juri klien serta ahli Majlis Felow Kolej Tuanku Canselor.

Dalam sesi ini terdapat beberapa perbincangan mengenai markah semua kumpulan dan juga beberapa rekabentuk mercu tanda KTC bagi menentukan pemenang Emas, Perak dan Gangsa.

Di akhir sesi perbincangan ini, kesemua juri telah mencapai kata sepakat dan keputusan pertandingan merekabentuk mercu tanda KTC adalah muktamad.

Juara pertandingan ini dimenangi oleh kumpulan Eglaf yang telah menerima wang tunai sebanyak RM200.00, manakala Naib Juara ialah kumpulan The Composer yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM100.00 serta bagi pemenang tempat ketiga disandang oleh kumpulan Smart yang menerima wang tunai sebanyak RM70.00.

Rekabentuk mercu tanda yang telah berjaya dipilih sebagai pemenang akan dibina di sekitar kawasan KTC kelak.

Disediakan oleh: Nurfasihah Mohd Razali dan Fatin Afiqah Md. Azmi

Explore More