November 22, 2024

Search
Close this search box.

Bengkel Pemantapan Debat “Konsep Perspektif dan Pemikiran Kritis”

Pada 28 Mei 2021, Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) telah menganjurkan Program Pemantapan Debat “Konsep Perspektif dan Pemikiran Kritis” yang dijalankan secara atas talian menerusi platform Cisco Webex Meeting bermula jam 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari.

Objektif utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah menengah dan pelajar UTM mengenai teknik menyampaikan hujah secara berkesan berdasarkan konsep perspektif dan pemikiran kritis.

Program ini telah menarik penyertaan seramai 60 orang peserta dari UTM dan beberapa pelajar dan guru dari sekolah menengah sekitar Johor Bahru.

Sesi perkongsian daripada saudara Muhammad Khusairi dalam Bengkel Pemantapan Debat.

Bengkel Pemantapan Debat ini telah menampilkan penceramah yang sangat berkaliber iaitu saudara Muhammad Khusairi bin Md Gapar, alumni UTM (graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina sesi 2019/2020) yang telah melakarkan pelbagai pencapaian hebat dalam arena debat.

Antara pencapaian beliau adalah Johan Debat Terbuka Kemanusiaan 2020 dan tersenarai sebagai antara tiga Pendebat Terbaik Debat Keusahawanan 2019. Antara intipati perkongsian yang disampaikan ialah teknik menyampaikan hujah menerusi konsep perspektif dan pemikiran kritis, kaedah analisis serta asas perkembangan idea.

Program perkongsian ini dilihat dapat membantu pelajar UTM untuk lebih yakin semasa berdebat dan menyampaikan hujah dengan penuh fakta, bukan sekadar persepsi semasa.

Debat Piala Hussein Onn 2021 (DPHO ’21)

Pada 4 hingga 5 Mei 2021, Debat Piala Hussein Onn 2021 (DPHO ’21) telah dijalankan secara atas talian iaitu menerusi platform Cisco Webex Meeting dan FB Live. Sebanyak enam pasukan menyertai DPHO ’21, iaitu IDENTITI MAHASISWA, JKM KTHO, DYNAMIC, HAT, SMED dan AQASHA. Sementara itu, seramai 11 orang juri telah dipilih dalam kalangan pensyarah dan alumni UTM dalam DPHO ’21.

Antara panel juri ialah Dr. Ibnatul Jalilah binti Yusof, Dr. Sarah Athirah binti Saruchi, Chm. Dr. Mohd Akmali bin Mohktar, Dr. Jamarosliza binti Jamaluddin, Dr. Hj. Muhammed Fauzi bin Othman, Cik Nur’ain Mohammad Tahir, Cik Siti Aishah Arsat, En. Mat Nizam bin Uti, Pn. Nurazlin binti Masir, En. Muhammad Khusairi bin Md Gapar dan Cik Fitri Nabiha binti Mohd Rizalman.

Sekitar suasana pertandingan pusingan awal DPHO ’21.
Usul bagi perlawanan akhir DPHO ’21 yang menemukan pasukan IDENTITI MAHASISWA dan HAT.

Perlawanan Akhir DPHO’ 21 telah menemukan dua pasukan pilihan yang sememangnya sudah dijangka jika melihat kepada barisan pendebat yang ditampilkan, iaitu pasukan HAT dan pasukan IDENTITI MAHASISWA.

Dalam perlawanan akhir, pasukan IDENTITI MAHASISWA telah bertindak sebagai kerajaan manakala pasukan HAT beraksi sebagai pembangkang, yang mana kedua-dua pasukan berbahas mengenai usul “Dewan ini percaya kerajaan perlu lebih serius dalam menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar”.

Dengan barisan pendebat yang hebat daripada kedua-dua pasukan, perlawanan akhir ini telah menyajikan satu sesi perbahasan yang berkualiti dan bermutu, sehingga para penonton dilihat sukar untuk menjangka pasukan mana yang akan menggodol Johan DPHO ’21.

Detik yang berjaya dirakam dalam Perlawanan Akhir DPHO ’21.

Johan dan Naib Johan DPHO ’21, Pendebat Terbaik Perlawanan Akhir dan Pendebat Terbaik Keseluruhan telah diumumkan dalam satu majlis penutup ringkas, yang telah dirasmikan oleh Dr. Norahim bin Ibrahim selaku Pengetua KTHO. Setelah dua hari memerah isi idea dan saling berbalas hujah, Johan DPHO ’21 telah dirangkul oleh pasukan HAT dengan IDENTITI MAHASISWA berjaya meraih Naib Johan DPHO ’21.

Sementara itu, Cik Then Siew Ieek telah dipilih sebagai Pendebat Terbaik Perlawanan Akhir DPHO ’21 manakala Cik Nadratul Huda binti Ahmad telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan DPHO ’21.

Majlis Perasmian Penutup DPHO ’21 yang dirasmikan oleh Dr. Norahim bin Ibrahim, Pengetua KTHO.
Sekitar Majlis Perasmian Penutup DPHO ’21.

Penganjuran DPHO ’21 buat julung kalinya ini telah dilihat berjaya membuka lembaran baru untuk arena debat terutama untuk pelajar UTM.

Semoga DPHO akan kembali dianjurka pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih meriah, sekaligus menjadi pencetus kepada kebangkitan pendebat-pendebat UTM untuk melakar nama di persada yang lebih berprestij.

Explore More